Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Perjalanan Jumali Kasmadi – bekas pelakon S’pura, kini tauke salon rambut di Perth

Masih ingat lagi dengan Jumali Kasmadi - salah seorang pelakon ‘intense’ zaman Sandiwara? Kini beliau bos salon rambut Vibrant Hair Studio di bandar Perth. Tapi beliau masih ‘rindu’ bidang lakonan. Ini ceritanya berbekalkan semangat juang anak Singapura di Australia…

Anggaran Waktu Membaca:
Perjalanan Jumali Kasmadi – bekas pelakon S’pura, kini tauke salon rambut di Perth

Encik Jumali Kasmadi dan isteri (Gambar: Facebook/Jumali Kasmadi)

BERITAmediacorp: Seorang jejaka berkulit putih keluar dari sebuah kedai dandanan rambut. Selang beberapa minit gadis berambut merah pula memasuki kedai itu. Vibrant Hair Studio terpampang di atas pintu salon rambut di Perth, Australia ini.

Apabila anda melangkah masuk ke dalam, kelihatan ramai pelanggan yang masing-masing menjalani khidmat dandanan rambut: mengerat, mewarna, mengerinting, melurus dan merawat. Rata-rata semua pelanggan terdiri dari orang berkulit putih.

Namun di kalangan mereka itu, kelihatan seorang pemuda Melayu. Beliau tekun menyapu krim pada rambut selapis demi selapis. Itulah anak kelahiran Singapura bernama Jumali Kasmadi, tauke kedai tersebut.

Nama itu memang tidak asing lagi di Singapura terutama sekali bagi mereka yang menonton sandiwara televisyen pada tahun-tahun 1980-an. Setiap kali Jumali muncul, penonton terpaku di skrin. Lakonannya yang meyakinkan membuatkan cerita itu bangkit menjadi realiti.

(Gambar: Facebook/Jumali Kasmadi)

BERANGKAT KE PERTH DENGAN ISTERI, 3 ANAK TANPA PEKERJAAN

Namun pada akhir dekad 1990-an, nama Jumali Kasmadi semakin menyepi setelah beliau berhijrah ke kota Perth, Australia, bersama-sama isteri dan tiga orang anaknya yang ketika itu berusia 18 bulan, 3 tahun dan 5 tahun.

Anehnya beliau berhijrah tanpa sebarang jaminan pekerjaan.

“Semua saudara-mara dan kawan-kawan bimbang dengan tindakan saya itu. Bayangkan saya dan isteri tidak ada kerja. Dan anak-anak pula masih kecil-kecil. Apa yang membimbangkan lagi, saya tidak ada sesiapa di Perth untuk mengadu jika timbul masalah,” dedah Jumali kepada penulis.

Beberapa bulan selepas menjejakkan kaki di Perth, Jumali terus menganggur. Tidak ada satu pun tawaran pekerjaan diterimanya padahal beliau sudahpun memiliki status Penduduk Tetap (PR).

Jumali juga memiliki kemahiran profesional bidang dandanan rambut. Sebelum berhijrah ke Perth, Jumali bertugas sebagai jururias sepenuh masa di Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), yang kini dikenali sebagai Mediacorp.

Encik Jumali Kasmadi sekeluarga (Gambar: Facebook/Jumali Kasmadi)

Jumali Kasmadi sekeluarga (Gambar: Facebook/Jumali Kasmadi)

Namun kemahiran dan kelulusan itu seolah-olah terbenam. Pengalaman pahit itu membuat beliau sedar bahawa kemahiran sahaja tidak mencukupi untuk dia bertapak. Beliau perlu mengukir nama. Tanpa nama, kemahiran besar yang dimiliki nampaknya tidak akan mampu menjulang.

Tetapi bagaimana untuknya menempah nama sedangkan beliau langsung tidak diberi peluang untuk menunjukkan bakat?

PINTU TERBUKA SETELAH MENANG BANYAK PERTANDINGAN DANDANAN RAMBUT

Jumali berkongsi bahawa beliau mencari jalan-jalan lain. Beliau memasuki pertandingan. Malah pelbagai peraduan demi peraduan dandanan rambut beliau sertai dengan harapan bakatnya akan terserlah di khalayak umum.

Berbekalkan keyakinan dan semangat juang yang tinggi, Jumali berjaya menggondol kemenangan dalam banyak pertandingan, sehingga namanya menonjol dalam persada seni dandanan rambut. Nama Jumali Kasmadi mula disebut oleh karyawan dandanan rambut sehinggalah satu hari beliau ditawarkan bekerja di Valentino Hairdressing.

Sewaktu bekerja di situ, Jumali membawa etika kerja yang memang sudah menjati dalam dirinya. Beliau memberikan dandanan yang terbaik. Bukan sahaja kerjanya berkualiti, beliau juga dapat melakukannya dengan pantas.

(Gambar: Facebook/Vibrant Hair Studio Perth)

Jumali Kasmadi di luar Vibrant Hair Studio (Gambar: Facebook/Vibrant Hair Studio Perth)

Dalam sehari Jumali dapat menguruskan lebih ramai pelanggan dibandingkan dengan rakan sekerjanya yang lain. Hal ini membuatkan beliau berfikir, kenapa tidak buka kedai sendiri?

Bagaimanapun keinginannya hanya menjadi kenyataan selepas tiga tahun bekerja makan gaji. Jumali Kasmadi akhirnya menjadi tauke salon dandanan rambut bernama Vibrant Hair Studio.

VIBRANT HAIR STUDIO PUNYA 400 PELANGGAN TETAP

Kini sudah 20 tahun, Jumali memiliki Vibrant Hair Studio. Beliau mempunyai hampir 400 pelanggan tetap. Para pelanggannya pula bukan calang-calang orang.

Mereka terdiri daripada pakar jantung, peguam, pereka lanskap, kaunselor dan ramai lagi, yang akhirnya berubah menjadi sahabatnya.

Jumali akan merujuk pada pelanggannya bagi mendapat khidmat profesional. Keadaan ini membuatkan kehidupannya di Perth menjadi selesa kerana jaringan kawan yang luas. Tambahan lagi, masyarakat Australia di Perth begitu menghormati kekaryawanan seorang pendandan rambut.

Dari segi gaya hidup orang Australia, setiap empat minggu, mereka pasti mengunjungi kedai rambut. Gaya hidup seperti ini bukan sahaja diamalkan oleh orang muda, bahkan termasuk juga mereka yang lanjut usia. Malah mereka yang berpenyakit kronik juga tidak lepas mendandan rambut.

(Gambar: Facebook/Vibrant Hair Studio)

Jumali juga mempunyai pelanggan yang berpenyakit barah, mempunyai masalah obesiti, serta mereka yang berpenyakit mental. Biarpun sakit, mereka tetap mencari khidmat dandanan rambut. Jumali malah akan pergi ke rumah-rumah mereka.

Oleh itu tidak hairanlah sewaktu bercerita tentang perniagaannya itu, terpancar rasa kepuasan di wajah Jumali. Beliau turut berkongsi sikap para pelanggan terhadap kerja tangannya.

”Satu hal orang putih ni, dia orang hormat kita. Selepas kita kerjakan rambut mereka sama ada suka atau tidak, mereka tak akan sekali-kali sentuh rambut mereka. Mereka menghormati hasil kerja kreatif kita,” ujar Jumali.

Layanan sedemikian membuatkan beliau berasa seronok menjalankan tugasnya. Di samping itu, etika kerjanya itu membuatkan pelanggan terus-terusan melekat dengannya serta menarik pelanggan baru ke Vibrant Hair Studio. Setiap dua tiga minggu, ada sahaja pelanggan baru yang diperolehinya.

TIMBANGKAN BIDANG TV ATAU BIDANG TATARIAS RAMBUT

Sebenarnya keputusan untuk berhijrah ke Perth tidak datang mudah kepadanya. Sewaktu membuat keputusan untuk berhijrah 20 tahun dulu, Jumali sebenarnya menimbangkan dua pilihan.

(Gambar: Facebook/Vibrant Hair Studio)

Sama ada menceburi industri televisyen atau dandanan rambut. Beliau mengaku bahawa industri televisyen menjadi tarikan yang kuat pada ketika itu. Ini memandangkan timbunan pengalaman yang diraihnya selaku penerbit dan pengarah dengan syarikat MYI.

Jumali menerbitkan banyak rancangan TV seperti drama, hiburan, kembara dan memasak yang ditayangkan di saluran 12. Antara program yang diterbitkan ialah Cemas, Bersama Anita Serawak, Bersama Sharifah Aini, Memasak bersama selebriti, dan peraduan memasak. Di samping mengarah, Jumali juga menjalankan kerja pentadbiran.

Jika menceburi penerbitan televisyen menjadi pilihannya, beliau perlu berpindah ke Sydney atau Melbourne. Tetapi jika dandanan rambut menjadi pilihan, beliau harus berhijrah ke Perth. Setelah menimbangkan banyak perkara, akhirnya Jumali memilih bidang tatarias rambut memandangkan permintaan besar terhadap dandanan rambut di Perth pada ketika itu.

JUMALI MASIH RINDUI BIDANG LAKONAN

(Gambar: Facebook/Jumali Kasmadi)

BeIiau sanggup terbang ke Singapura apabila diundang menjadi pereka imej bagi drama pentas. Itulah hakiki sanubari bekas pelakon TV ini. Biar apapun, dia gembira sekarang.

“Mungkin kalau saya tidak berhijrah, saya tidak mampu menghantar anak-anaknya belajar di Australia,” akui Jumali kepada penulis.

Anak sulungnya, Nur Wihdah kini bertugas sebagai peguam. Sementara Nur Haziqah lulus ijazah sarjana dalam bidang Animator/Illustrasi. Anak bongsunya pula, M. Hazim, bertugas sebagai jurutera elektrik di Melbourne.

Malah, kejayaan Jumali membina kehidupan di sana turut berjaya menarik adik dan bapa mertuanya untuk berhijrah ke Perth 10 tahun lalu. Kini Jumali tidak lagi menoleh ke belakang kerana ruang terbentang luas di hadapannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan