Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pereka fesyen M'sia Hatta Dolmat hasilkan koleksi mesra alam bagi kurangkan lambakan sisa tekstil

Bertitik tolak dengan kebimbangan lambakan sisa tekstil di tapak pelupusan sampah sebanyak 195,300 tan setahun, pereka fesyen Hatta Dolmat tampil dengan koleksi yang diperbuat daripada kain perca untuk kelestarian alam sekitar.

Anggaran Waktu Membaca:
Pereka fesyen M'sia Hatta Dolmat hasilkan koleksi mesra alam bagi kurangkan lambakan sisa tekstil

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Sep 2020 08:23PM Dikemas Kini : 13 Sep 2020 08:26PM

KUALA LUMPUR: Bertitik tolak dengan kebimbangan lambakan sisa tekstil di tapak pelupusan sampah sebanyak 195,300 tan setahun, pereka fesyen Hatta Dolmat tampil dengan koleksi yang diperbuat daripada kain perca untuk kelestarian alam sekitar.

Encik Hatta yang mula berjinak-jinak dengan fesyen lestari sejak 2015 berkata beliau menghasilkan hampir 200 topi 'bucket' selain aksesori beg 'pouch' menerusi kaedah upcycle iaitu menggunakan semula barangan terpakai tanpa sebarang proses kimia, sekali gus mengurangkan pengeluaran karbon atau sebarang bentuk pencemaran.

"Mula-mula sebab rasa sayang dengan perca kain daripada satu koleksi yang materialnya saya lukis sendiri. Jadi saya mula berfikir daripada buang ke tapak pelupusan sampah, lebih baik saya jadikan perca kain ini kepada satu produk lain.

"Kemudian saya juga mula berfikir impak lebihan kain perca dan sisa tekstil yang memakan masa sehingga 200 tahun untuk diuraikan di tapak pelupusan sampah dan mencemarkan alam sekitar," katanya kepada Bernama.

Berkongsi lanjut tentang misi itu, Encik Hatta yang berpengalaman 15 tahun dalam industri itu berpendapat pereka fesyen kini bukan hanya bertanggungjawab mencipta busana indah tetapi perlu mempunyai etika dan prihatin terhadap kesan jangka masa panjang terhadap setiap penghasilan pakaian.

"Saya melihat industri fesyen kini tidak lagi seperti dahulu yang berpaksikan kepada populariti dan dunia selebriti sebaliknya ia kini sebuah industri mega yang turut menjadi sumber utama janaan ekonomi negara dan telah menjadi sebagai antara industri pengeluar sisa pepejal terbesar dunia.

"Saya melihat ia sebagai satu isu yang serius dan sekiranya saya tidak mengambil langkah awal untuk memberikan kesedaran kepada pereka lain terutamanya pereka muda, saya bimbang industri ini akan terus menjadi penyumbang sampah terbesar dunia," katanya yang juga mendapat ilham daripada jenama fesyen antarabangsa yang telah mengambil langkah berkenaan lebih awal.

Sementara itu, pengasas bersama pakaian jenama Hanya, Veen Dee yang turut memperjuangkan kaedah upcycle dalam industri fesyen berkata, pihaknya memutuskan untuk melancarkan Koleksi Upcycle baru-baru ini dengan menggunakan produk mereka yang tidak terjual, bertujuan ke arah kelestarian.

"Beberapa koleksi lama kami yang masih ada di rak dan mempunyai harga jual yang rendah diberi peluang kedua dan rumah kedua.

"Tidak ada yang memalukan untuk mengakui bahawa ada baik dan buruk dalam jualan runcit. Jenama kami bertujuan untuk upcycle koleksi yang terjual di bawah 40 peratus secara berterusan dengan melancarkan kategori ini.

"Kami telah mengambil reka bentuk ini dan menghidupkannya kembali dengan hiasan tambahan, peningkatan yang lebih baik atau sepenuhnya diberi wajah baru agar kain ini tidak berakhir di tempat pembuangan sampah," katanya.

Cik Veen Dee percaya strategi pemberian diskaun adalah perlu tetapi tidak dapat dilaksanakan dalam jangka panjang kerana ia bukan sahaja akan merosakkan imej jenama tetapi juga memberi kesan pada jajaran pengeluaran bawahan.

"Kos rendah bermaksud kos buruh yang lebih rendah. Sangat penting untuk bersikap telus seperti mereka (pengeluar pakaian). Jangan salah faham, Hanya tidak menggunakan bahan kitar semula, kami juga banyak belajar mengenai proses mengitar semula bahan dan menyedari bahawa ia juga merugikan alam sekitar tetapi tidak seburuk membuat tekstil baru. Ia juga tiga kali ganda lebih mahal bagi setiap meter berbanding bahan lain, secara purata," tambahnya.

Beliau turut meminta masyarakat memainkan peranan bersama dan lebih prihatin terhadap sampah terutama sampah isi rumah dalam menangani masalah pemanasan global dan pencemaran, serta mendidik generasi muda.

Berikutan itu, Cik Veen Dee berpendapat bahawa kehidupan lestari harus bermula dengan pengurangan, sebelum mengitar semula dan mengingatkan masyarakat untuk membeli kualiti berbanding kuantiti.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan