Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pereka fesyen lulusan NAFA ini ubah plastik bungkus roti Gardenia, biskut Hup Seng Cream jadi beg tangan unik

Ini boleh dikatakan sebagai satu usaha kitar semula tahap baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Pereka fesyen lulusan NAFA ini ubah plastik bungkus roti Gardenia, biskut Hup Seng Cream jadi beg tangan unik

(Gambar: wans.handmade/Instagram menerusi Malay Mail)

Diterbitkan : 20 Jun 2020 12:05AM Dikemas Kini : 20 Jun 2020 12:06AM

PETALING JAYA: Ini boleh dikatakan sebagai satu usaha kitar semula tahap baru.

Tidak mungkin terlintas dalam benak fikiran seseorang untuk mengubah plastik bungkus makanan menjadi beg tetapi itulah yang dilakukan oleh Cik Wan, seorang pereka fesyen di Johor.

Cik Wan, yang mempunyai perniagaan bernama Wan’s Handmade, menggabungkan makanan dan fesyen dalam keluaran terbaru jenama itu dengan memaparkan beg-beg tangan diperbuat daripada plastik bungkus roti Gardenia dan biskut cap Hup Seng Cream Crackers.

Beg-beg yang dihasilkan itu datang dalam pelbagai bentuk dan saiz - dari 'clutch' ke beg sandang.

Pereka fesyen berpangkalan di Batu Pahat itu - yang mereka pakaian kostum, beg serta boneka - dibanjiri dengan mesej dan komen setelah beliau mempromosikan satu beg tangan Hup Seng Cream Crackers berwarna kuning di Facebook pada Selasa (16 Jun).

Catatan itu menerima 1,600 reaksi, 4,300 perkongsian dan 2,300 komen yang kebanyakannya bertanya tentang perincian beg tersebut.

Menurut Malay Mail, dalam catatan itu, Cik Wan sempat berkongsi sejarah mengenai biskut ikonik Hup Seng berkenaan yang diasaskan di Batu Pahat oleh empat adik-beradik lelaki.

Selain Gardenia dan Hup Seng, Wan juga menghasilkan beg dengan menggunakan plastik bungkus roti Massimo.

Cik Wan berkongsi di Instagram bahawa kesemua beg menggunakan barang dikitar semula itu adalah sebahagian daripada Projek 'Plastic Reborn' yang memberi nafas baru kepada sisa sampah.

Beliau mengumpulkan bungkusan plastik dan memberikannya sentuhan segar dengan matlamat yang jelas lain daripada yang lain.

Cik Wan memberitahu Malay Mail bahawa beliau memulakan perniagaannya pada 2014, beberapa tahun selepas tamat pengajian di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) di Singapura di mana beliau mempelajari tentang reka fesyen.

Beg-beg di bawah Projek 'Plastic Reborn' tersebut dijual pada harga bermula dari RM79 (S$26) manakala rekaan lainnya yang tersendiri pula dijual antara RM15 hingga RM200 (S$5 - S$65).  

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan