Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Penyakit jantung antara risiko tidak flos gigi

Bilakah kali terakhir anda flos gigi? Walaupun tabiat membersihkan gigi nampak remeh, bakteria yang tersembunyi di bahagian yang sukar dibersihkan dengan berus gigi sebenarnya boleh mendatangkan masalah kesihatan yang serius terhadap tubuh seseorang.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyakit jantung antara risiko tidak flos gigi

(Gambar fail)

Diterbitkan : 29 Jun 2019 12:45PM Dikemas Kini : 29 Jun 2019 12:50PM

WASHINGTON: Bilakah kali terakhir anda flos gigi? Walaupun tabiat membersihkan gigi nampak remeh, bakteria yang tersembunyi di bahagian yang sukar dibersihkan dengan berus gigi sebenarnya boleh mendatangkan masalah kesihatan yang serius terhadap tubuh seseorang.

Maka itu, jangan abaikan pembersihan celah-celah gigi menggunakan flos kerana seseorang yang tidak berbuat demikian berisiko diserang sakit jantung, radang paru-paru dan Alzheimer.

Meninggalkan rutin flos gigi selama beberapa hari sahaja sudah menyebabkan nafas seseorang berbau dan mengalami gigi sensitif.

Pakar pergigian Dr Greg Grobmyer dari Amerika Syarikat berkata, memberus gigi hanya membersihkan bahagian permukaan luar dan gigi geraham, tetapi ia tidak dapat melakukan apa-apa terhadap celah-celah antara gigi.

"Flos adalah satu-satunya cara untuk menghapuskan bakteria dan makanan di ruang yang sempit.

"Bakteria dan makanan yang terkumpul di celah-celah ini boleh menyebabkan nafas berbau, gigi reput, kehilangan tulang dan keradangan gusi," jelasnya.

Apabila plak terbentuk di gigi dan gusi, toksin akan dibebaskan dan mencetuskan reaksi imun daripada tubuh.

Situasi ini akan meningkatkan aliran darah dan sel untk melawan bakteria.

Inilah punca gusi boleh berdarah bila kita menggosok atau membersihkan gigi dengan flos selepas bakteria terkumpul.

Penyakit gusi juga boleh beralih ke saluran darah dan menyebabkan peningkatan dalam protein C-reaktif, sejenis penanda keradangan dalam saluran darah.

Jumlah protein C-reaktif menjadi cara paling berkesan untuk doktor meramal penyakit jantung.

Jumlah protein yang tinggi menunjukkan terdapat keradangan dalam saluran darah seseorang itu.

"Bakteria mulut boleh masuk ke dalam saluran darah menerusi tisu yang teransang dan berakhir di injap jantung, sekali gus membawa kepada serangan jantung, angin ahmar dan lebih banyak lagi," kata Dr Grobmyer.

Bagi mereka yang mempunyai sistem daya tahan tubuh yang lemah, bakteria mulut mampu merebak dengan mudah.

Tambah Dr Grobmyer, bakteria mulut juga boleh disedut atau dihembus ke paru-paru dan membawa kepada radang paru-paru atau pneumonia.

Bukan itu sahaja, dalam beberapa kajian terkini, penyakit gusi dikaitkan dengan beberapa kes Alzheimer.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances pada tahun ini ke atas tisu otak pesakit Alzheimer menemukan patogen utama porphyromonas gingivalis yang berkait dengan penyakit gusi.

Kesimpulannya, jadikan aktiviti flos gigi sebagai rutin dalam penjagaan mulut agar dapat merendahkan risiko penyakit berbahaya terhadap kesihatan.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan