Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Penyakit barah punca utama kematian di negara-negara mewah

Lebih meruncing lagi, penyakit itu mungkin menjadi "pembunuh terbesar" dalam masa beberapa dekad mendatang jika trend sekarang berterusan, menurut para penyelidik hari ini (3 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Penyakit barah punca utama kematian di negara-negara mewah

(Gambar: Yannis Behrakis/Reuters)

Diterbitkan : 04 Sep 2019 12:14AM Dikemas Kini : 04 Sep 2019 12:15AM

LONDON: Penyakit barah kini menjadi penyebab utama kematian di negara-negara mewah mengatasi penyakit jantung.

Lebih meruncing lagi, penyakit itu mungkin menjadi "pembunuh terbesar" dalam masa beberapa dekad mendatang jika trend sekarang berterusan, menurut para penyelidik hari ini (3 Sep).

Menerbitkan dapatan dua kajian besar melalui jurnal perubatan, The Lancet, para saintis mengatakan dapatan itu menunjukkan bukti adanya peralihan baru "wabak penyakit" global antara beberapa jenis penyakit kronik.

Walaupun penyakit jantung buat masa ini kekal menjadi penyebab utama kematian di merata dunia bagi golongan dewasa berusia pertengahan iaitu sebanyak 40%, penyakit itu tidak pula menjadi penyebab utama di negara-negara mewah.

Kajian itu mendapati penyakit barah membunuh dua orang berbanding satu bagi penyakit jantung.

"Laporan kami mendapati barah adalah penyebab kedua bagi kebanyakan kematian pada 2017 iaitu sebanyak 26%. Namun sedang jumlah penyakit jantung terus merosot, barah berkemungkinan menjadi penyebab utama kematian di merata dunia dalam masa beberapa dekad," kata Gilles Dagenais, seorang profesor di Universiti Laval Quebec Kanada yang menerajui bersama kajian tersebut.

Daripada anggaran 55 juta kematian seluruh dunia pada 2017, para penyelidik berkata sekitar 17.7 juta disebabkan penyakit jantung yang merangkumi kegagalan jantung, angina, serangan jantung dan angin ahmar.

Sekitar 70% kes jantung dan kematian disebabkan risiko ubah suai seperti darah tinggi, kadar kolesterol yang tinggi, diet, menghisap rokok dan faktor gaya hidup yang lain.

Di negara-negara mewah, rawatan biasa untuk masalah kolesterol dan tekanan darah membantu untuk membawa jumlah penyakit jantung turun mendadak dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Pasukan penyelidik itu berkata bahawa dapatan mereka mencadangkan bahawa kadar kematian penyakit jantung di negara berpendapatan rendah sebahagian besarnya disebabkan mutu jagaan kesihatan yang kurang.

Kajian berkenaan juga mendapati bahawa jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital dan perubatan penyakit jantung agak kurang di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana berbanding yang mewah.

Kajian itu adalah sebahagian daripada Kajian Penyakit Epidemik Bandar Prospektif dan Perkampungan (PURE) yang diterbitkan di The Lancet dan disampaikan di Kongres ESC di Paris.

Negara-negara yang dianalisis termasuk Argentina, Bangladesh, Brazil, Kanada, Chile, China, Colombia, India, Iran, Malaysia, Pakistan, Palestin, Filipina, Poland, Arab Saudi, Afrika Selatan, Sweden, Tanzania, Turki, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Zimbabwe. 

Sumber : Reuters/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan