Images
  • warm up stretch
    (Gambar: Unsplash)

Penting untuk lakukan aktiviti memanaskan badan sebelum bersenam

KUALA LUMPUR: Aktiviti memanaskan badan atau 'warm up' adalah satu aktiviti di mana kita menyediakan tubuh kita sebelum melakukan sebarang senaman atau aktiviti fizikal.

Aktiviti memanaskan badan dapat merangsang penambahan oksigen dalam tubuh dan mengaktifkan pengeluaran hormon yang akan membantu dalam proses penyaluran tenaga ke bahagian otot.

Peningkatan aktiviti secara berperingkat juga secara umumnya akan meningkatkan suhu badan dan membuka liang roma untuk proses perpeluhan di mana penyejukan anggota badan diaktifkan, menurut laporan Astro Awani.

Justeru, mengapa ia penting untuk melakukan aktiviti memanaskan badan sebelum mula bersenam?

Berikut adalah tujuh sebab utama:

1. Tingkatkan kadar degupan jantung atau nadi (bpm)

Secara umumnya penambahan intensiti dalam aktiviti memerlukan tenaga, sehubungan itu jantung memainkan peranan untuk menyalurkan oksigen dan nutrisi ke seluruh tubuh badan.

Saiz salur darah mengembang bagi memudahkan proses penyaluran darah yang lebih efisien, seperti dilaporkan Astro Awani.

Peningkatan pengaliran darah ke bahagian otot pula meningkatkan penghantaran bekalan tenaga ke seluruh badan.

Selain itu, ia menyediakan sistem kardiovaskular untuk bersedia menghadapi aktiviti yang lebih berat yang akan memberi kesan terhadap jantung.

2. Tingkatkan pengeluaran hormon

Peningkatan kadar rembesan hormon endorfin, serotonin, dopamin dan hormon-hormon lain membantu untuk meningkatkan kadar kepekaan, mengurangkan tekanan dan meningkat kadar metabolisma.

Peningkatan kadar cecair Synovial di bahagian sendi bagi memberi pelinciran sendi pula bantu untuk mengurangkan geseran serta melancarkan pergerakan.

3. Mengurangkan kadar risiko kecederaan

Peningkatan suhu otot secara tidak langsung boleh menambah kepada keanjalan otot.

Peningkatan kadar oksigen dan hormon di bahagian otot juga menurut rencana Astro Awani itu membantu melancarkan pergerakan dan mengurangkan risiko kekejangan.

4. Aktifkan mekanisme pelepasan haba badan

Liang roma akan terbuka bagi memudahkan proses penyejukan badan.

Peningkatan suhu otot juga akan merangsang proses penyejukan otot.

5. Merangsang sistem saraf pusat

Aktiviti memanaskan badan juga akan merangsang transmisi dan penyaluran neuron (maklumat) saraf antara otak dan sel motor otot (peningkatan kadar oksigen di bahagian otak merangsang sel –sel otak untuk berhubung dengan lebih baik).

Selain itu, ia merangsang pemikiran untuk menjadi lebih peka kepada aktiviti, meningkatkan sistem kawalan motor otot dan meningkatkan kawalan koordinasi dalam menjalankan aktiviti fizikal.

6. Rangsang peningkatan pergerakan otot

Dengan aktiviti memanaskan badan, pergerakan otot akan menjadi lebih berkesan dan lebih teratur.

Ia juga akan mengurangkan risiko berlaku kekejangan otot di mana sistem telah dibekalkan dengan oksigen dan elektrolit dari penyaluran darah yang berkesan.

Sehubungan itu, proses pengumpulan asid laktik dapat dilengahkan.

7. Meningkatkan prestasi larian

Otot yang diregang dan dipanaskan sebelum larian menjadikan ia lebih mudah bergerak. Sendi juga boleh berfungsi dengan lebih baik.

Justeru, aktiviti memanaskan badan akan menjadikan senaman kita lebih berkesan.

- Agensi berita/HA/ha

Top