Images
  • indobowl2
    Cik Widyanty Yusope memiliki restoran Indobowl dan Royz Et Vous. (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Peniaga wanita ini ambil langkah berani buka 2 restoran halal serentak di Kampong Gelam

BERITAmediacorp: Di tengah-tengah iklim ekonomi tempatan dan global yang agak lembap sekarang ini, ramai peniaga mengadu bahawa perniagaan mereka agak lesu.

Dari Januari hingga September tahun ini, hampir 500 restoran gulung tikar, berbanding sekitar 480 restoran yang ditutup bagi keseluruhan tahun 2018, menurut satu laporan Straits Times. Semestinya, bilangannya bagi seluruh tahun 2019 ini dijangka akan lebih banyak lagi.

Bagaimanapun peniaga Singapura bernama Widyanti Mohd Yusope ini nampaknya melawan arus. Beliau mengorak langkah cukup berani dengan membuka bukan satu, tetapi dua buah restoran halal sekali gus!


(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Dua restoran berbeza itu - Indobowl dan cawangan kedua Royz Et Vous - yang melibatkan pelaburan sekitar S$300,000, terletak sebelah-menyebelah antara satu sama lain di Sultan Gate di kawasan Kampong Gelam. Ia baru dibuka kurang dua minggu lalu.

Ini bermakna, Cik Widyanti kini memiliki tiga buah restoran kesemuanya, termasuk restoran Royz Et Vous yang terletak di Telok Ayer Street.

Jadi, apa yang membuatkan usahawan makanan itu cukup berani untuk mengembangkan perniagaannya pada saat iklim ekonomi sekarang?

"Suami saya seorang akauntan dan kami sudah melakukan perkiraan. Ekonomi perlahan menjejas kami sedikit, namun keadaan kami masih okey," jawab beliau kepada BERITAmediacorp.

PEMEGANG FRANCAIS INDOBOWL PERTAMA DARI S'PURA

Pembukaan restoran Indobowl di 39 Sultan Gate itu sebenarnya mencatat satu sejarah tersendiri, kerana ia adalah francais Indobowl yang pertama 'mendarat' di Singapura. Sejak Indobowl Singapura itu membuka pintunya pada 25 Oktober, ia mencipta gelombang hebat di media sosial dan dalam kalangan penggemar makanan tempatan.

Manakan tidak, lihat sahaja pada hidangan Mumbo Jumbo Platter. Bukan sahaja besar serta dilengkapi dengan daging stik, kambing, ayam panggang dan sate ayam, ia juga cukup memikat deria mata dan rasa sesiapa yang melihatnya.


(Gambar: IndobowlSingapore/Facebook)

Ini belum lagi Nasi Goreng (Ribeye Steak), IndoMie Dendeng dan IndoMie Soto Seafood Jumbo.

Yang pasti, ramai yang ingin mencuba kelainan konsep dan hidangan 'fusion' yang dibawa Indobowl Singapura itu sehingga para pelanggan ‘menyerbu’ restoran tersebut. Ramai yang kelihatan terpaksa beratur di luar restoran sejak hujung minggu pertama ia dibuka. Restoran dua tingkat itu boleh mengambil 48 pelanggan sahaja pada satu-satu masa.

Cik Widyanty mengaku, sambutan yang sangat memberangsangkan itu membuatkan beliau terkejut. Pihaknya tak menang tangan kerana tidak menjangka akan 'diserang' orang ramai.


(Gambar: IndobowlSingapore/Facebook)

"Tukang-tukang masak kami juga masih cuba menyesuaikan dan menangani keadaan ini," kata beliau. "Kami tidak menyangka Indobowl begitu popular dalam kalangan pelanggan."

Bagaimanapun, "masalah menggembirakan" itu kian ditangani Cik Widyanty dengan langkah mengambil lebih banyak tukang masak serta kakitangan pada masa akan datang, berbanding 10 tenaga kerja bagi kedua-dua restoran tersebut sekarang.


(Gambar: IndobowlSingapore/Facebook)

Satu lagi perkembangan menggembirakan ialah, "Indobowl banyak membantu dari segi hasil jualan", kongsi Cik Widyanty.

ROYZ ET VOUS BERSAING DI KG GELAM PULA

Cawangan Royz Et Vous di Telok Ayer Street yang berusia lima tahun, beberapa bulan lalu tersenarai dalam 'SG Top Cafes 2019/2020' - satu buku panduan bagi kafe terbaik. Ia juga merangkul dua lagi gelaran sampingan - Kopi Paling Digemari dan Suasana Paling Digemari.

Tradisi makanan dan sajian minuman bermutu itulah yang mahu terus dikekalkan di cawangannya yang baru di 37 Sultan Gate. Ia boleh mengisi sehingga 62 tempat duduk di aras satu dan dua.

Kini, dalam usaha terus menambat pelanggan, Royz Et Vous menambah lagi 10 hidangan baru ke dalam menunya.


(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

"Antara hidangan baru yang disediakan termasuk Rendang Duck Pasta, Lamb Shank Tulang Merah, Kampong Buffalo Wings dan Banana Crumble.

"Kami turut menerima pertanyaan, sama ada menu di Sultan Gate sama seperti di Telok Ayer. Boleh dikatakan, 99 peratus menunya sama sahaja," jelas Cik Widyanty.

STRATEGI JIMATKAN KOS PERNIAGAAN

Membuka dua restoran serentak memang bukan satu kelaziman di kalangan peniaga makanan tempatan. Namun strategi perniagaan Cik Widyanti cukup jelas.

"Untuk mewujudkan skala ekonomi, kami membuat keputusan untuk membuka kedua-dua cawangan kami bersebelahan," kongsi Cik Widyanty.

Kedua-dua restoran itu juga sebenarnya berkongsi sebuah dapur. Dalam lain perkataan, ia juga berkongsi tukang masak dan kakitangan.

"Lebih mudah untuk saya kendalikan. Bahkan saya tidak perlu membuka pintu untuk bergerak dari satu restoran ke satu restoran," jelas ibu dua anak ini.

FRANCAIS INDOBOWL TERCETUS DARI KUNJUNGAN KE JAKARTA

Berbalik kepada cerita restoran Indobowl, Cik Widyanty berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa idea membuka francais Indobowl tercetus sejak dua tahun lalu, didorong kunjungan kerap beliau ke Jakarta bersama keluarganya.

"Keluarga kami ke Jakarta dua hingga tiga kali setahun dan kami sering ke Indobowl di sana kerana kami meminati IndoMie," ujar Cik Widyanty, yang memiliki sebuah apartmen di Jakarta sejak sekitar lima tahun lalu.


(Gambar: IndobowlSingapore/Facebook)

"Saya dapati Indobowl sangat unik dan saya juga yakin bahawa warga Singapura dan juga pelancong akan menikmati hidangan dan keunikan Indobowl."

Dari situ jugalah tertanam hasrat untuk "menjadi yang pertama untuk membawa" Indobowl ke pasaran perniagaan Singapura. Kini, angan-angan tersebut sudahpun menjadi kenyataan dan ia nampaknya tidak berakhir di situ.

SUDAH INTAI KEMUNGKINAN PERLUAS LAGI JANGKAUAN

Ditanya tentang potensi dan peluang seterusnya perniagaan beliau, terutama sekali Indobowl, Cik Widyanty berkata: "Ruang unit di sebelah Indobowl kosong sebenarnya.

"Namun kami mahu pastikan kami benar-benar stabil dari segi khidmat dan tenaga kerja dahulu."

Dalam perbualan dengan kami, Cik Widyanty nampaknya sudah cukup pasti akan terus menebarkan sayap perniagaannya kerana beliau mengaku "dapat menjangkakan satu peluasan perniagaan" masa hadapan.

Sementara itu, jika digabungkan, Indobowl dan Royz Et Vous berupaya mengisi lebih 100 pelanggan pada satu-satu masa. Jadi, tidak salah untuk menyifatkannya sebagai antara restoran terbesar di Kampong Glam pada masa ini.

Kehadiran kedua-dua restoran itu juga semestinya menambah kerencaman lubuk makanan halal di sekitar Arab Street/Kg Gelam. Namun, ia juga semestinya menambah lagi persaingan di kalangan puluhan restoran halal di kawasan itu.

- BERITAmediacorp/im

Top