Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Peniaga Melayu juga manfaatkan populariti Pokemon Go bagi tingkatkan jualan

"Demam" Pokemon Go menimbulkan pelbagai kebimbangan sejak ia dilancarkan di Singapura seminggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: "Demam" Pokemon Go menimbulkan pelbagai kebimbangan sejak ia dilancarkan di Singapura seminggu lalu.

Namun bagi para peniaga tempatan, fenomena ini secara tidak langsung mencetus semangat niaga dan meningkatkan jualan terutama di kawasan yang menjadi tarikan utama bagi aplikasi permainan itu.

BERITAMediacorp bertemu dua peniaga Melayu yang memanfaatkan populariti permainan yang menjadi kegilaan ramai ini.

Dari pusat beli-belah merata Singapura, kepada khidmat teksi dan khidmat penghantaran makanan.

Semuanya berlumba-lumba untuk menawarkan pelbagai promosi bagi menarik pemain Pokemon - permainan realiti maya berdasarkan lokasi.

Sejak ia dilancarkan Sabtu lalu, jumlah pengunjung ke tempat-tempat tarikan Pokemon termasuk taman-taman melonjak begitu ketara.

Melihat keletah para pemain ini, Pengarah Kreatif Trippindiver, Haddi Syukri, mendapat ilham untuk mencetak pakaian berkonsepkan Pokemon.

"Taman-taman saya di belakang rumah makin ramai orang bermain Pokemon dengan telefon bijak, jadi di sana, saya lihat ada peluang. Fasal sekarang Pokemon Go sedang "panas", jadi saya buat satu rekaan untuk satu pelanggan saya dan responsnya sangat baik, jadi saya terus membuatnya," Haddi memberitahu BERITAMediacorp.

Haddi yang baru memulakan perniagaan mencetak baju secara online di Facebook dan Carousell Trippindiver, menyaksikan sambutan menggalakkan sehingga stoknya habis.

Tidak setakat mencetak T-shirt, Haddi kini meluaskan rangkaian produknya kepada topi dan pelekat.

Bagi seorang lagi peniaga, Fairos Salleh yang menguruskan restoran BriyaniBagus.com di Changi Village, kebanyakan pemain yang berlegar di kawasan berkenaan untuk menangkap Pokemon akhirnya akan datang ke kedai mereka untuk membeli minuman atau makanan selepas penat memburu.

"Untuk promosi ini, mereka datang sini dan tunjukkan kepada kita mereka sedang bermain Pokemon dan mereka harus 'Like' and 'Share' FB kami dan mendapat 10 peratus diskaun," kata Fairos.

Para pemain aplikasi interakif yang ditemui turut berpendapat, permainan ini bukan sahaja menguntungkan peniaga tetapi juga mereka.

"Promosi ini agak baik sebab ia memberi peluang bagi kita berehat sambil bermain PokemonGo," kata seorang pemain, Ananurmelati Abdul Rahman.

"Boleh datang sini, duduk, mungkin saya boleh ajak kawan saya datang sini main Pokemon dan makan," kata Taufik Zulkefly.

"Saya rasa mungkin sebab watak permainan ini comel sebab kita semua sudah jadi 'gila' sedikit. Suka-suka sahaja. Sudah 20 tahun, dari muda saya main permainan ini," menurut Sufian Sulaiman.

Walau bagaimanapun ada yang berpendapat permainan itu bawa kesan negatif dari segi keselamatan dan kelekaan.

Sama ada "demam" Pokemon GO akan terus berlarutan atau "musiman", yang pasti ia merancakkan lagi suasana niaga di sini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan