Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pengusaha labu sayong manfaatkan kemahiran hasilkan patung kenit 'anime'

Lazimnya patung kenit watak kartun atau anime (animasi Jepun) diperbuat daripada bahan sintetik atau plastik seperti ABS, resin atau PVC (Polyvinyl chloride), tetapi seorang pengusaha labu sayong membuat kelainan menggunakan tanah liat untuk menghasilkannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengusaha labu sayong manfaatkan kemahiran hasilkan patung kenit 'anime'

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Apr 2021 11:12PM Dikemas Kini : 22 Apr 2021 11:14PM

KUALA LUMPUR: Lazimnya patung kenit watak kartun atau anime (animasi Jepun) diperbuat daripada bahan sintetik atau plastik seperti ABS, resin atau PVC (Polyvinyl chloride), tetapi seorang pengusaha labu sayong membuat kelainan menggunakan tanah liat untuk menghasilkannya.

Bagi Encik Izuddin Isham, 28, yang berpengalaman empat tahun membuat barangan kraf seramik, minat yang mendalam dalam seni itu ditambah dengan kegemaran menonton cerita-cerita animasi Jepun mendorong beliau menghasilkan patung kenit tempah khas sebagai produk sampingan.

"Saya sudah terbiasa dan mempunyai hobi menghasilkan patung kenit seperti ini sejak usia kecil dengan mengambil inspirasi daripada siri kartun animasi yang ditonton di televisyen.

“Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya cari peluang mendalami bidang ini untuk dijadikan bidang kerjaya," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada promosi Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri 2021 (WWA 2021) anjuran Perbadanan Kraftangan Malaysia baru-baru ini.

Antara watak patung kenit berketinggian kira-kira 10 sentimeter yang mendapat permintaan tinggi ialah Wargreymon daripada animasi Digimon, Groudon (Pokemon) dan Gomora (raksasa daripada siri Ultraman) yang dijual dengan harga RM20 (S$6.50)hingga RM40 (S$13).

"Walaupun guna bahan yang sama, teknik pembuatan figurine (patung kecil) dan labu sayong tidak sama, figurine banyak menggunakan teknik seperti picit dan cubit menggunakan jari yang lebih rumit dan teliti berbanding labu sayong yang menggunakan teknik slip casting (acuan).

"Selain senang dibawa, saiz patung yang kecil juga mempunyai risiko pembuatan yang lebih rendah kerana patung yang besar lebih berisiko untuk pecah ketika proses pembakaran atas faktor kepadatan tanah," jelasnya.

Bercerita lanjut, pemegang Diploma Seni Kraf Seramik Institut Kraf Negara itu berkata patung seramik berbentuk robot dan kenderaan merupakan antara yang paling sukar dihasilkan kerana ada ciri-ciri yang lebih rumit untuk ditiru selain memerlukan peralatan khusus.

Bagi proses mewarna pula, beliau menggunakan warna 'stain', 'shining glaze' dan 'matt glaze' yang dilakukan selepas proses pembakaran secara manual sama ada menggunakan berus, teknik semburan atau celupan mengikut kesesuaian bahan.

"Warna 'shining glaze' akan menghasilkan efek seperti kaca manakala 'matt glaze' pula akan menghasilkan warna sekata," katanya yang mengambil masa lima minit hingga dua jam untuk menyiapkan setiap patung tersebut.

Pemilik perniagaan Izzue Craft yang turut menghasilkan produk seramik lain seperti lampu hiasan, pembahagi air serta pelbagai cenderahati perkahwinan seperti tepak sirih, turut berharap untuk mengembangkan pasaran pada masa depan.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan