Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pengguna Fitbit S'pura catat kesihatan jantung lebih baik semasa tempoh pemutus jangkitan

Syarikat teknologi boleh dipakai, Fitbit, mendedahkan bahawa pengguna peralatannya di Singapura mencatat denyutan nadi rehat lebih baik dari Januari hingga April tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengguna Fitbit S'pura catat kesihatan jantung lebih baik semasa tempoh pemutus jangkitan

(Gambar hiasan)

Diterbitkan : 12 Jun 2020 02:31PM Dikemas Kini : 12 Jun 2020 02:42PM

SINGAPURA: Syarikat teknologi boleh dipakai, Fitbit, mendedahkan bahawa pengguna peralatannya di Singapura mencatat denyutan nadi rehat lebih baik dari Januari hingga April tahun ini. Ini meskipun kiraan langkah amat banyak berkurangan kerana langkah pemutus rantaian jangkitan negara ini yang menyekat pergerakan orang ramai.

Dalam kenyataan media pada Khamis (11 Jun), Fitbit menyatakan bahawa kadar purata denyutan jantung rehat pengguna warga Singapura - yang menurut syarikat itu adalah penanda utama kesihatan jantung - lebih rendah bagi semua golongan, terutamanya bagi pengguna wanita antara 18 dengan 29 tahun tahun, yang mencatat penurunan 1.68 denyutan seminit. Pengguna wanita berusia antara 30 dengan 49 tahun menyaksikan kadar penurunan sebanyak 1.43 denyutan seminit, misalnya.

Dalam kalangan lelaki, mereka yang berumur antara 50 dengan 64 tahun menunjukkan peningkatan kesihatan jantung yang terbaik, dengan purata kadar denyutan nadi rehat mereka turun 1.49 degupan seminit, diikuti oleh mereka yang berusia antara 30 dengan 49 tahun, dengan kadarnya merosot 1.37 denyutan seminit.

Fitbit tidak dapat memberikan data khusus kadar jumlah denyutan jantung yang dicatat dan berapa ramai pengguna ditinjau dalam kajian ini. Dapatan tersebut "diperolehi dari data pengguna global yang identiti mereka tidak didedahkan dan diunjurkan", tambahnya. Syarikat itu menyatakan, kadar denyutan jantung yang lebih baik itu disebabkan waktu tidur lebih lama dan lebih tetap.

Denyutan jantung rehat boleh menjadi "petanda penting tahap kecergasan seseorang dan kesihatan jantung", menurut Fitbit, dan ia diukur berdasarkan jumlah degupan jantung dalam seminit ketika seseorang masih dalam keadaan rehat.

Syarikat yang terkenal dengan alat pengesan kecergasan itu turut mengkaji lebih mendalam kayu ukur seperti perubahan waktu tidur dan tempoh tidur penggunanya untuk memahami kesan pada kadar denyutan jantung rehat.

DAPATAN FITBIT

Fitbit menyatakan sejak beberapa bulan ini apabila kebanyakan penduduk Singapura terkurung di dalam rumah, data menunjukkan bahawa kegiatan fizikal pengguna Singapura merosot hasil jumlah langkah yang mencatat pengurangan langkah sebanyak 2,240 sehari dan juga pada minit aktif.

Minit aktif adalah kayu ukur yang mengambil kira jisim badan seseorang dan digunakan untuk menganggarkan tahap senaman, kata Fitbit, sambil menyatakan bahawa ia berkurangan sebanyak 3.66 minit sehari untuk pengguna Singapura.

"Penurunan itu biasanya akan menyebabkan peningkatan kadar denyutan jantung rehat", katanya.

"Namun, perkara sebaliknya diperhatikan di sini, yang merupakan berita positif, tetapi juga merupakan petunjuk bahawa ada lebih banyak faktor yang memainkan peranan," menurut Fitbit.

Syarikat itu mengaitkan penurunan kadar denyutan jantung pengguna kepada dua trend: Tidur yang lebih lama dan waktu tidur lebih tetap.

1. Tidur lebih lama

Fitbit mendapati bahawa secara puratanya pengguna Singapura tidur 19.21 minit lebih lama setiap malam.

Ini mungkin satu perkara baik. Tidak cukup tidur boleh membawa kesan negatif pada denyutan jantung rehat dan merupakan "faktor risiko penyakit kardiovaskular", menurut syarikat itu.

2. Waktu tidur lebih tetap

Fitbit mendapati bahawa pengguna Singapura tidur pada waktu yang lebih konsisten.

"Biasanya, orang ramai - terutama golongan muda - tidur lewat pada hujung minggu ... yang boleh menjejas kesihatan jantung mereka," katanya.

"Secara keseluruhan, dapatan mengenai denyutan jantung pengguna Singapura sangat menggalakkan dan merupakan petunjuk bahawa kesihatan dan kesejahteraan tetap menjadi keutamaan walaupun mereka kerap berada di dalam rumah."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan