Images
  • hoarding geylang
    (Gambar: Facebook/Fahmi Aliman)

Penduduk Geylang dengan tabiat suka menyorok dibantu dengan sokongan emosi

SINGAPURA: Satu daripada setiap 50 rakyat Singapura mungkin menunjukkan tabiat suka menyorok sepanjang hayat mereka, menurut satu tinjauan tempatan yang dijalankan pada 2010.

Kisah mengenai jiran tetangga dengan tabiat gemar menyorok atau 'hoarding' pasti pernah dibaca ramai di media sosial. Malah, mungkin anda sendiri mengenali seseorang yang mempunyai tabiat sedemikian.

Namun tahukah anda bahawa golongan seperti ini sebenarnya memerlukan sokongan emosi daripada anggota keluarga mereka dan juga masyarakat untuk memperbaiki persekitaran kehidupan mereka?

Datuk Bandar CDC Tenggara Mohd Fahmi Aliman menarik perhatian kepada isu itu pada Khamis (20 Mei).

Menulis di Facebooknya, Encik Fahmi yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade turut mengetengahkan usaha yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Geylang Serai bagi mencegah perbuatan menyorok yang bermatlamat untuk membantu golongan sedemikian.

"Satu daripada setiap 50 warga Singapura mungkin pernah menunjukkan tabiat menyorok sepanjang hayat mereka, menurut satu kajian tempatan pada 2010. Punca yang mendorong tabiat menyorok juga berbeza-beza namun kebanyakan mereka - jika tidak semua, sangat keberatan untuk berpisah dengan barang milik peribadi, tanpa mengira nilai barang itu," tulis Encik Fahmi sambil menarik perhatian kepada isu tersebut.

"Pergelutan ini amat nyata bagi mereka dan sesetengah individu dengan tabiat suka menyorok dan memerlukan sokongan emosi dan fizikal daripada anggota keluarga mereka dan masyarakat untuk membantu mereka memperbaiki persekitaran kehidupan mereka".


Lantaran itu, kongsi beliau, pasukan bertugas tersebut dibentuk pada Januari tahun ini dengan matlamat untuk membantu anggota masyarakat yang menghadapi masalah itu.

Para relawan menyumbang tenaga untuk mengenal pasti, menyantuni dan meyakinkan penduduk yang menghadapi masalah tabiat suka menyorok supaya membenarkan para relawan dan anggota pasukan bertugas itu untuk membantu mereka.

"Proses ini tidak semestinya senang atau mudah, namun kita berterima kasih dengan sokongan kuat dan iltizam daripada pelbagai agensi Pemerintah, kumpulan agama dan kumpulan sosial untuk mendampingi para penduduk dan memudahkan kerja-kerja kami," tambah beliau.

Beliau turut menceritakan bagaimana kumpulan relawan pada minggu lalu berhasil membantu membersihkan salah satu unit berkenaan.

Hasilnya, barang-barang yang dibuang itu boleh mengisi hampir satu tangki gelongsor (skid tank).

Menurut Encik Fahmi, kerja-kerja untuk membantu para penduduk akan disambung apabila situasi COVID-19 bertambah baik kelak.

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top