Pendaki gunung Maghribi mahu tentang diskriminasi terhadap wanita
Warga Maghribi yang pertama untuk mendaki ketujuh-tujuh puncak tertinggi benua dunia, Bouchra Baibanou, ingin menginspirasikan satu generasi wanita baru yang "berani percaya diri mereka sendiri".
SALE: Warga Maghribi yang pertama untuk mendaki ketujuh-tujuh puncak tertinggi benua dunia, Bouchra Baibanou, ingin menginspirasikan satu generasi wanita baru yang "berani percaya diri mereka sendiri".
"Dengan tekad dan ketabahan, anda boleh sampai ke sana," kata Baibanou, 49 tahun, selang beberapa minggu pendakiannya ke puncak Gunung Vinson di Antartika.
Penaklukan puncak setinggi 4,897 meter itu mengakhiri pengembaraan beliau ke seluruh dunia yang memakan masa selama lapan tahun untuk mendaki gunung-gunung tertinggi di setiap benua.
"Saya bangga, sebagai seorang warga Maghribi dan sebagai seorang wanita," kata Baibanou.
Namun demikian, minatnya itu memerlukan wang yang banyak.
Baibanou bekerja sebagai seorang jurutera kerajaan dan pendakian ke tujuh puncak itu menelan belanja sebanyak 2 juta dirham (S$285,000).
Mujur beliau mendapat tajaan sebanyak 60,000 Euro (S$91,600) untuk pendakian Gunung Vinson dan 80,000 Euro (S$122,000) untuk pendakian Gunung Everest.
"Saya berharap untuk menjadi contoh teladan kepada semua wanita muda - mereka yang berani percayakan diri mereka sendiri," kata Baibanou.
Beliau sudah melihat wanita-wanita muda yang pada mulanya ragu-ragu dalam pendakian pertama mereka, berubah selepas pengalaman itu.
Menurut Baibanou, mereka berhadapan "banyak diskriminasi" di Maghribi.
"Ramai gadis yang tidak meneruskan pendidikan mereka, tapi jika kita berikan kuasa kepada mereka, mereka akan berjaya," kata Baibanou.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.