Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pencuci mulut tradisional dari Thailand ini kian popular di M'sia

Luk chup, pencuci mulut tradisional dari Thailand, kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Malaysia, sekali gus menjadi sumber pendapatan yang agak lumayan bagi pengusaha manisan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pencuci mulut tradisional dari Thailand ini kian popular di M'sia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 28 Sep 2020 10:03AM Dikemas Kini : 28 Sep 2020 10:05AM

KOTA BHARU: Luk chup, pencuci mulut tradisional dari Thailand, kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Malaysia, sekali gus menjadi sumber pendapatan yang agak lumayan bagi pengusaha manisan itu.

Juadah berasaskan kacang itu agak unik kerana dibuat dalam pelbagai bentuk menyerupai buah-buahan dan sayur-sayuran dengan warna yang menarik, sekali pandang seolah-olah buah-buahan tiruan.

“Luk bermakna buah, iaitu merujuk kepada kacang, sementara ‘chup’ pula bererti celup,” jelas seorang pengusaha Cik Sakinah Mustapha, 46, kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bayam.

Mengulas lanjut, Cik Sakinah berkata beliau berhenti kerja sebagai akauntan di sebuah syarikat kontraktor pada 2016 bagi mengusahakan perniagaan itu sepenuh masa.

“Pada permulaan saya hanya mampu memperoleh sekitar RM500 (S$165) dengan tempahan daripada pelanggan sekitar bandar ini, namun kini pendapatan saya lebih RM1,500 (S$495) sebulan dengan permintaan turut diterima dari luar Kelantan seperti Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya lagi, tempahan yang diterima meningkat pada musim cuti sekolah yang turut menjadi musim perkahwinan kerana selain dihidang sebagai pencuci mulut ketika kenduri, luk chup juga dijadikan buah tangan untuk tetamu.

“Kebiasaannya pada musim ini saya hampir tidak menang tangan dan terpaksa bersengkang mata selain dibantu dua pekerja untuk menyiapkan tempahan pelanggan yang mencecah hingga 2,000 biji,” katanya sambil menambah beliau mengenakan harga RM10 (S$3.30) untuk setiap 20 biji luk chup.

Jelasnya beliau mempelajari cara membuat luk chup daripada ibu saudaranya Cik Zaleha Abdul Hanan, 55 yang berasal dari Golok, Thailand, ketika berusia 15 tahun.

“Pembuatan luk chup melalui proses yang panjang selain menuntut kesabaran yang tinggi dan proses membuat bentuk yang dikehendaki itu agak renyah kerana adunan kacang mudah pecah,” katanya sambil menambah antara bentuk yang biasa dibuat ialah buah tembikai, pisang, mangga serta sayur terung dan kubis.

Cik Sakinah berkata bahan-bahan yang diperlukan bagi membuat juadah itu adalah kacang kuning atau kacang hijau, agar-agar, pewarna makanan serta air bunga melur.

“Bagi memastikan inti benar-benar empuk, kacang perlu direndam terlebih dahulu selama empat jam sebelum direbus atau dikukus selama sejam setengah,” kata ibu tunggal empat anak tersebut.

Katanya lagi, manisan itu boleh bertahan selama beberapa hari jika disimpan di dalam peti sejuk dan hingga sebulan jika diletakkan di dalam peti sejuk beku.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan