Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pencemaran tinggi, kurang pengetahuan cabaran utama gerakan kitar semula di S'pura

Sistem kitar semula di Singapura cukup mudah. Tong dan pelongsor khas tersedia dan para pengguna juga tidak perlu mengkategorikan bahan-bahan terlebih dahulu. Jadi, mengapakah kadar kitar semula di sini masih rendah? 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sepanjang sedekad lalu, kadar keseluruhan kitar semula di Singapura kekal sekitar 60 peratus – antara yang tertinggi di dunia.

Namun amalan kitar semula dalam kalangan keluarga di sini pula sebaliknya jauh lebih rendah. Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melaporkan, antara 2018 dengan 2019, ia merosot kepada 17 peratus, daripada kadar 22 peratus.

Kini, dua dekad setelah Program Kitar Semula Kebangsaan diperkenalkan pada 2001, sejauh manakah budaya dan semangat kitar semula sudah mendarah daging dalam masyarakat Singapura?

HAMPIR SEPARUH BAHAN UNTUK DIKITAR SEMULA DITOLAK

Menurut satu tinjauan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (kini Kementerian Kemampanan dan Sekitaran) bersama NEA pada 2019, enam daripada 10 isi rumah di Singapura kerap mengitar semula, dengan 56 peratus daripada mereka menggunakan tong-tong kitar semula biru sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Namun menurut Timbalan Pengarah Jabatan Program Kemampanan NEA, Cik Rohaya Saharom, kadar pencemaran yang tinggi di tong dan pelongsor kitar semula itu adalah antara cabaran utama dalam mempergiatkan usaha kitar semula.

"Buat masa ini, dianggarkan 40 peratus daripada barang-barang yang diletakkan di tong-tong ini merupakan yang tercemar oleh sisa makanan atau sisa cecair atau barang-barang yang memang tidak boleh dikitar semula," kongsi beliau.

Menurut penyedia khidmat pengurusan sisa SembWaste pula, jumlahnya boleh mencecah sehingga 50 peratus.

Antara yang tidak boleh dikitar semula dan sering diterima termasuk pakaian dan kasut lama, patung mainan dan mainan plastik, pelitup malah tilam dan bantal sekali!

Hakikatnya, barangan yang boleh dikitar semula tercemar apabila perbuatan tidak bertanggungjawab atau masih kurang faham tentang amalan kitar semula
menghambat usaha individu-individu seperti Cik Rafidah Abdul Razak yang bersungguh-sungguh mengitar semula demi pelestarian alam sekitar.

"Sebenarnya sebelum adanya pandemik COVID-19, saya akan membawa bahan-bahan ini ke Tzu Chi Sunday iaitu suatu inisiatif di mana Yayasan Tzu Chi mengumpul bahan-bahan ini untuk dijual kepada syarikat-syarikat kitar semula.

"Jadi saya akan asingkan bahan-bahan kepada plastik keras, plastik tipis, kertas, kadbod, kaca dan sebagainya. Dan sebenarnya saya lebih suka menyertai Tzu Chi Sunday sebab saya rasa usaha saya untuk mengitar semula tidak sia-sia."

KESEDARAN TABIAT KITAR SEMULA CARA BETUL PERLU DIPERTINGKAT

Cik Rafidah percaya masih banyak yang perlu dilakukan untuk mendidik orang ramai tentang amalan mengitar semula yang betul.

Bagi menangani masalah ini, sebuah kempen ‘Recycle Right’ atau Kitar Semula dengan Betul dilancarkan pada 2019.

Label baru bagi tong dan pelongsor kitar semula dicipta bersama dengan maklum balas orang ramai agar contoh barang-barang yang boleh dan tidak boleh dikitar semula dipaparkan dengan lebih jelas.

Salah satu matlamat di bawah Pelan Hijau Singapura 2030, ialah meningkatkan kadar kitar semula kepada 70%.

Sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan sampah di Pulau Semakau juga akan dikurangkan sebanyak 30% menjelang 2030.

Yang jelas, setiap individu memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat ini.

"Seluruh negara perlu terlibat dalam usaha Singapura untuk mencapai visi negara sifar sisa," gesa Cik Rohaya.

"Tiada sumbangan yang terlalu kecil dan usaha bersama kita untuk memelihara sumber semula jadi akan membuka jalan kepada Singapura yang lebih mampan." 

Ikuti episod-episod lain BERITA Jelajah - Cinta Bumi:


Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan