Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pembuatan replika bot pelbagai jenis jadi tarikan di Kampung Budaya Terengganu

Demonstrasi pembuatan replika bot pelbagai jenis di Kampung Budaya Terengganu berjaya menarik perhatian pengunjung yang teruja menyaksikan sendiri proses pembuatannya yang rumit dan memerlukan kesabaran tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembuatan replika bot pelbagai jenis jadi tarikan di Kampung Budaya Terengganu

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 06 Sep 2020 12:02AM Dikemas Kini : 06 Sep 2020 12:05AM

KUALA TERENGGANU: Demonstrasi pembuatan replika bot pelbagai jenis di Kampung Budaya Terengganu berjaya menarik perhatian pengunjung yang teruja menyaksikan sendiri proses pembuatannya yang rumit dan memerlukan kesabaran tinggi.

Usahawan kraf yang melakukan demonstrasi itu, Encik Mohd Suhizam M Sakri, 36 tahun, berkata ramai pengunjung mengakui ia pengalaman pertama mereka melihat sendiri penghasilan replika bot berbentuk kecil malah ramai yang berminat untuk terus membeli pelbagai koleksi bot yang dipamerkan.

"Alhamdulillah, jualan hari pertama sahaja mencecah hampir RM4,000 (S$1,310) untuk 11 koleksi bot nelayan yang saya bawa dan ramai juga yang mahu menempah replika bot lain setelah meneliti kehalusan hasil seni kraf ini.

"Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri yang mewujudkan Kampung Budaya Terengganu kerana ini adalah platform terbaik untuk golongan usahawan memperkenalkan produk dan perkhidmatan berkaitan warisan, sejarah, kebudayaan serta cara hidup nelayan yang sangat sinonim di Terengganu," katanya kepada Bernama di sini.

Demonstrasi itu adalah inisiatif Pejabat Daerah Dungun ke Kampung Budaya Terengganu bagi menonjolkan keistimewaan yang ada di daerah tersebut untuk menarik kedatangan pelancong pada masa akan datang.

Kampung Budaya Terengganu adalah produk baru pelancongan yang dilancarkan oleh kerajaan negeri sebagai pusat sehenti untuk memperkenalkan warisan sejarah, aktiviti kebudayaan, sukan tradisional rakyat serta pembuatan makanan secara tradisi kepada pelancong ke negeri itu.

Encik Mohd Suhizam berkata beliau mula mempelajari seni pembuatan replika bot itu sejak berusia 12 tahun daripada ayah serta datuknya yang juga pembuat perahu tradisional di Dungun satu ketika dahulu.

"Setakat ini saya mempunyai dua bengkel iaitu di Dungun dan di Puncak Alam, Selangor dengan bantuan empat pekerja mahir untuk menampung permintaan tinggi daripada pelanggan.

"Kebanyakan pelanggan saya ialah agensi dan jabatan kerajaan yang menjadikan replika bot ini sebagai cenderahati untuk orang kenamaan serta kami juga mendapat tempahan daripada peminat koleksi barangan replika mini di seluruh negara," katanya yang pernah menjual replika mini bot berharga RM7,000 (S$2,300) untuk sebuah syarikat cari gali petroleum.

Bapa kepada enam anak itu juga mahir membuat pelbagai jenis pengangkutan air yang lain berdasarkan tempahan dan bajet pelanggan dengan mengambil kira kos harga bahan, masa untuk menyiapkannya dan tahap kerumitan pembuatan produk yang ditempah.

"Ada juga pelanggan yang mahu saya hasilkan replika mini bot ini menggunakan kaedah pasak sahaja seperti mana pembuatan perahu tradisional zaman dahulu....semua itu boleh dibincang mengikut kemahuan pelanggan.

"Ketika ini juga saya terlibat dengan satu kajian mengenai seni pembuatan perahu tradisional bersama Perbadanan Muzium Melaka dan Universiti Putra Malaysia, Selangor," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari Pulau Pinang, Encik Syahmizan Azmi 34, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli dua replika mini bot dihasilkan Mohd Suhizam dengan harga istimewa sempena pelancaran Kampung Budaya Terengganu.

"Ini hari kelima saya berada di Terengganu dan ternampak ada hebahan mengenai pelancaran Kampung Budaya, tidak sangka pula ada demonstrasi pembuatan replika mini bot ini dan saya kagum dengan ketelitian serta kehalusan buatan tangan Encik Mohd Suhizam.

"Saya memang berminat dengan hasil kraf seperti ini dan mula mengumpulnya sebagai koleksi sejak dari zaman sekolah lagi dan setakat ini saya telah ada lebih 300 koleksi replika mini pelbagai jenis kenderaan seperti kapal terbang, kereta klasik dan pengangkutan air di rumah," katanya. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan