Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Peluang teroka suasana inap desa dengan bercuti 3 Hari/2 Malam di Mandai & Kranji

Menjelang musim cuti sekolah pada hujung tahun ini, mungkin ramai antara anda yang menggaruk-garuk kepala sambil merancang kegiatan untuk mengisi masa lapang anak-anak anda.

Anggaran Waktu Membaca:
Peluang teroka suasana inap desa dengan bercuti 3 Hari/2 Malam di Mandai & Kranji

Anda boleh menginap di vila Resort Gallop Kranji Farm (kiri) dan meninjau pemandangan di sekitar Paya Simpanan Sungei Buloh dalam rancangan percutian tempatan. (Gambar-gambar: Gallop Kranji Farm Resort, NParks)

Diterbitkan : 16 Nov 2020 09:42PM Dikemas Kini : 17 Nov 2020 12:50AM

SINGAPURA: Menjelang musim cuti sekolah pada hujung tahun ini, mungkin ramai antara anda yang menggaruk-garuk kepala sambil merancang kegiatan untuk mengisi masa lapang anak-anak anda.

Ini kerana perjalanan ke luar negara – yang biasanya dinanti-nantikan dengan penuh ghairah – sangat terbatas di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang.

Singapura sebenarnya tidak ketandusan daya tarikan pelancong atau ‘staycation’ (bercuti di dalam negeri) yang menawarkan pengalaman lain daripada yang lain – seolah-olah di kampung atau dalam hutan rimba.

Suasana sedemikian boleh dialami di kawasan Mandai dan Kranji, khususnya bagi anda yang gemar bersantai di kawasan desa dan meneroka alam semula jadi serta pelbagai flora dan fauna dalam hutan-hutan simpanan Singapura – jauh dari hiruk-pikuk kehidupan bandar.

Berikut adalah panduan bagi tempat penginapan dan daya tarikan yang sesuai bagi percutian 3 Hari/2 Malam di kawasan Mandai dan Kranji.

TEMPAT PENGINAPAN

Bebaskan diri anda daripada urusan rutin harian dan teroka alam semula jadi di barat laut Singapura.

Sebagai hadiah untuk orang tersayang, ayuh menikmati ‘staycation’ di salah sebuah daripada 35 vila di Resort Gallop Kranji Farm.

Pengalaman menginap di ladang yang unik menanti anda dengan anda sekeluarga boleh menunggang kuda, memberi makanan kepada ikan koi, menjelajah ladang dan berinteraksi dengan pelbagai haiwan.

Vila di Resort Gallop Kranji Farm. (Gambar: Laman Gallop Kranji Farm Resort)

Vila di Resort Gallop Kranji Farm. (Gambar: Resort Gallop Kranji Farm)

Resort ini mesra keluarga dan ia juga membenarkan anda membawa haiwan peliharaan anda supaya haiwan peliharaan anda juga tidak ketinggalan untuk berseronok di resort tersebut.

LADANG TERNAKAN & ALAM SEMULA JADI

Dekati kambing ternakan di ladang Hay Dairies. (Gambar: Hay Dairies Pure Goat Milk/Facebook)

(Gambar: Hay Dairies Pure Goat Milk/Facebook)

Selepas mendaftar masuk, sarungkan kasut kembara untuk meninjau-ninjau kehidupan liar.

Anda pasti tertarik dengan jejak kembara dan suasana kampung di kawasan Kranji.

Jejak Warisan Kranji, yang meliputi 14 penanda jejak warisan dan pertanian yang akan membawa anda menyusuri kawasan-kawasan yang belum pernah diteroka di Kranji, Neo Tiew, Lim Chu Kang dan Choa Chu Kang yang kaya dengan sejarahnya.

Anda juga boleh meneroka ladang, tapak semaian dan jejak alam semula jadi sambil menimba pengetahuan tentang sumber makanan Singapura.

Anda disyorkan supaya membawa kenderaan sendiri atau menaiki bas Kranji Countryside Express.

Bagi anda yang bangun awal pula, kunjungilah Hay Dairies – satu-satunya ladang kambing di Singapura. Anda boleh menyaksikan sesi memerah susu kambing dan meluangkan masa sepanjang hari untuk mempelajari tentang selok-belok menternak haiwan.

Ladang Hay Diaries juga menjual jenama susu kambingnya sendiri yang dijual dalam pelbagai perisa.

Anda kemudian boleh mengikuti lawatan berpandu di kebun sayur Bollywood Veggies untuk mempelajari tentang pertanian mampan dan makanan yang dihasilkan secara semula jadi.

Selain itu, anda juga berpeluang untuk mendalami pengetahuan anda mengenai proses pengeluaran makanan dengan bercucuk tanam dan memasak menggunakan bahan-bahan yang dipetik sendiri daripada ladang berhampiran.

MEMPERINGATI PAHLAWAN YANG GUGUR DI MEDAN PERANG

Tugu Peringatan Kranji. (Gambar: Laman Commonwealth War Graves)

Taman Peringatan Kranji. (Gambar: Commonwealth War Graves)

Para penggemar sejarah boleh mengunjungi Taman Peringatan Kranji yang menempatkan kubur-kubur tahanan perang dan askar-askar yang gugur semasa kedua-dua Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Tugu Peringatan Singapura, di mana terukir nama 25,000 askar dan juruterbang, adalah monumen terbesar di sana.

Suasana syahdu ketika meninjau-ninjau tapak itu mengingatkan kita tentang sejarah Singapura.

TEROKA FLORA & FAUNA

Sepasang panda peliharaan River Safari, Kai Kai dan Jia Jia. (Gambar: WRS) 

Pasangan panda Kai Kai dan Jia Jia peliharaan River Safari. (Gambar: WRS)

Anak-anak anda pasti akan berasa seronok ketika mengunjungi Ladang Katak Jurong. Ia mendedahkan para pengunjung kepada pengalaman unik tentang tugas penternak katak di Singapura.

Anda boleh menyaksikan pelbagai jenis katak yang diternak dan memetik gambar katak American Bullfrog yang turut diternak di ladang tersebut.

Jika anda benar-benar ingin mengembara, anda boleh menuju ke hutan bakau Paya Simpanan Sungei Buloh.

Di tengah-tengah kawasan lumpur pasang surut, anda akan dapat menyaksikan kepelbagaian biologi yang luas termasuk burung-burung berhijrah, memerang, ketam dan kerang.

Daya tarikan yang sudah cukup terkenal dan digemari ramai tidak kira yang tua mahupun muda adalah Taman Haiwan Singapura.

Hidupkan kembali pengalaman menyaksikan haiwan kegemaran anda, sambil menikmati pertunjukan Splash Safari, orang utan dan didik anak anda tentang pemuliharaan bumi semasa pertunjukan Rainforest Fights Back.

Teroka juga kehidupan di kawasan River Safari, iaitu taman kehidupan liar pertama di Asia yang bertemakan sungai. Anda boleh menyaksikan haiwan-haiwan hutan Amazon sambil menaiki bot.

Anda pasti akan kagum dengan haiwan-haiwan seperti manatee dan memerang sungai serta pasangan panda Kai Kai dan Jia Jia.

Pada sebelah malam pula, anda boleh mendekati haiwan-haiwan yang merayau-rayau setelah matahari terbenam di Night Safari. Saksikan anak gajah Neha sambil menyaksikan Harimau Malaya.
Akhiri kunjungan anda dengan menyaksikan pertunjukan ikonik Creatures of the Night atau Haiwan-Haiwan Malam.

MENJAMU SELERA

Setelah sehari suntuk mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan, luangkanlah masa anda untuk menyegarkan tubuh anda dengan menjamu selera bersama seisi keluarga.

Kafe Halal 'Makan-Makan', yang terletak di Resort Gallop Kranji Farm, menyajikan hidangan Thai dan cita rasa tempatan.

Rencana ini pertama kali diterbitkan di laman SingapoRediscovers terbitan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Sumber : Agensi berita/ZM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan