Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pelitup mana berkesan? Apa anda perlu tahu tentang panduan pelitup terbaru

Singapura mengemas kini garis panduannya bagi penggunaan pelitup pada Selasa (18 Mei) menyusuli kenaikan kes COVID-19 dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelitup mana berkesan? Apa anda perlu tahu tentang panduan pelitup terbaru

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 May 2021 09:15PM Dikemas Kini : 19 May 2021 09:19PM

SINGAPURA: Singapura mengemas kini garis panduannya bagi penggunaan pelitup pada Selasa (18 Mei) menyusuli kenaikan kes COVID-19 dalam masyarakat.

Kementerian Kesihatan (MOH) menasihati orang awam supaya memakai pelitup dengan perlindungan lebih baik, seperti yang mempunyai keupayaan penapisan lebih baik bagi mengurangkan risiko jangkitan lebih tinggi.

Ini kerana kelompok jangkitan COVID-19 baru-baru ini "menunjukkan tahap penularan lebih tinggi, kemungkinan disebabkan oleh varian virus yang baru", menurut MOH.

Berikut adalah apa yang anda perlu tahu tentang garis panduan pelitup baru itu:

APAKAH ITU KEBERKESANAN PENAPISAN?

Keberkesanan penapisan bakteria (BFE) pelitup merujuk kepada tahap perlindungan yang disediakan oleh bahan atau fabrik pelitup itu.

Pelitup yang mempunyai tahap BFE lebih tinggi akan lebih berkesan dalam mencegah titisan mengandungi bakteria daripada sampai ke pengguna.

Pelitup yang memenuhi keperluan bagi piawai perubatan dan pembedahan mempunyai BFE 95 peratus - yang menghalang 95 peratus daripada pendedahan titisan.

Ia lazimnya tertera pada bungkusan atau penerangan produk pelitup yang dijual.

PELITUP MANA YANG HARUS DIPILIH?

Pelitup sesuai termasuk pelitup perubatan atau pelitup guna semula yang diperbuat daripada sekurang-kurangnya dua helai fabrik, menurut MOH.

Pelitup guna semula seperti yang diedarkan oleh Persatuan Rakyat dan Yayasan Temasek juga mempunyai keberkesanan penapisan yang baik, menurut kementerian itu.

"Ia bukan tentang memakai pelitup kain sahaja tetapi memakai pelitup yang mempunyai keupayaan penapisan tinggi - pelitup perubatan atau pelitup yang mempunyai ruang untuk kertas penapis di dalamnya," kata Menteri Kewangan Lawrence Wong, yang mempengerusikan bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 pada Selasa (18 Mei).

Ini terutamanya jika seseorang itu akan ke ruang tertutup dengan orang ramai berada pada jarak dekat, katanya.

PENSIJILAN & PENILAIAN ASTM

Pakar penyakit berjangkit Leong Hoe Nam berkata di Mediacorp pada Selasa bahawa pelitup mempunyai pensijilan dan pengguna boleh melihat penilaian ASTM pelitup itu.

Penilaian itu diberikan oleh ASTM International, sebuah pertubuhan yang membangunkan dan menerbitkan piawai bagi bahan dan produk, termasuk peralatan perlindungan peribadi.

Sebelum ini, garis panduan ASTM hanya tertakluk kepada pelitup bagi kegunaan dalam sekitaran perubatan, namun pada Februari 2021 ia mengeluarkan piawai bagi pelitup pengguna. Untuk mendapatkan penilaian sedemikian, pelitup itu harus diuji bagi keupayaan penapisan bakteria dan zarah dan daya tahan cecair serta lain-lain lagi.

Penilaian ASTM berbeza daripada gred satu hingga tiga dan kesemuanya boleh menapis zarah berukuran 0.1 mikron dan ke atas, kata Profesor Madya Richard Sugrue dari Sekolah Sains Biologi di Universiti Teknologi Nanyang.

"Kebanyakan pelitup tidak menapis zarah virus persendirian (yang terlalu kecil), namun bertindak dengan mencegah titisan lebih besar daripada sampai ke pengguna," katanya.

Dr Leong yang berkhidmat di Rophi Clinic menambah: "Jika anda memakai pelitup kain yang dibuat sendiri, anda tidak tahu sejauh mana ia berkesan.

"Kita harus memakai pelitup bermutu tinggi, pelitup perubatan bermutu yang berkesan dan lakukan apa yang ia sepatutnya lakukan."

PAKAI PELITUP DENGAN BETUL

Pengarah Khidmat Perubatan Kenneth Mak pada Selasa turut mengingatkan orang ramai supaya memakai pelitup mereka dengan betul.

"Pelitup bermutu tinggi yang dipakai dengan betul menyediakan perlindungan baik kepada semua orang terhadap penularan virus, tidak kira jika ia menular melalui titisan atau bentuk penularan aerosol yang lain," katanya.

MOH menasihati orang ramai supaya memastikan pelitup itu menutup bahagian hidung dan mulut sepenuhnya.

Profesor Laurent Renia dari Sekolah Perubatan Lee Kong Chian NTU menyarankan supaya pelitup pakai buang ditukar setiap empat jam jika ia dipakai secara berterusan. Pelitup guna semula mesti dicuci setiap hari.

APAKAH PERATURAN PEMAKAIAN PELITUP SEKARANG?

Semua orang berusia enam tahun ke atas diwajibkan memakai pelitup apabila keluar rumah. Penggunaan pelitup tidak disarankan bagi kanak-kanak bawah usia dua tahun atas sebab-sebab keselamatan.

Mereka yang didapati tidak memakai pelitup boleh didenda S$300 bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berulang, mereka boleh dikenakan denda lebih tinggi dan didakwa di mahkamah bagi kes-kes serius.

Anda hanya boleh menanggalkan pelitup di luar untuk makan atau minum, atau jika anda melakukan senaman berat di luar. Namun, pelitup perlu dipakai dengan segera sebaik anda selesai melakukan kegiatan tersebut.

Di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), pelitup mesti dipakai ketika melakukan senaman dalam kawasan tertutup dan hanya senaman ringan boleh dilakukan.

Mereka yang menziarahi rumah orang lain juga digalakkan mematuhi langkah pengurusan selamat. Ini termasuk memakai pelitup, menjaga jarak satu meter daripada orang lain, mengurangkan kontak fizikal dan mencuci tangan secara kerap.

PELITUP MANA YANG TIDAK DISARANKAN?

Pelitup yang mempunyai injap pernafasan tidak seharusnya digunakan kerana ia tidak mencegah dengan berkesan pengeluaran titisan daripada pengguna apabila dia menghembuskan nafas.

"Tapis nafas yang diambil dan dikeluarkan, ia berfungsi melalui dua cara," kata Dr Leong.

Pelindung plastik dan penutup muka seperti kain pelindung leher, bandanna, selendang atau sapu tangan tidak dianggap sebagai pelitup.

MOH juga mengemas kini panduannya bagi penggunaan plastik pelindung muka pada 14 Mei. MOH menyatakan kaijan menunjukkan penggunaan pelindung muka tidak boleh menggantikan penggunaan pelitup dalam melindungi pengguna daripada jangkitan melalui titisan dan "ia tidak dapat sepenuhnya mencegah" peyebaran titisan jika si pengguna dijangkiti.

Justeru, pelindung muka tidak harus dipakai untuk menggantikan pelitup, kecuali atas sebab-sebab perubatan yang mana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah atau oleh pasangan mempelai semasa pernikahan mereka.

Sumber : CNA/HA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan