Images
  • lg mask
    (Gambar: Reuters/LG Electronics)

Pelitup LG ini guna kuasa bateri; berupaya cegah cermin mata berwap

SEOUL: Sebuah syarikat di Korea Selatan mencipta pelitup yang berkuasa bateri dan bertapis dengan tujuan mengatasi masalah yang dihadapi oleh para pengguna pelitup biasa, seperti kesukaran untuk bernafas dan cermin mata yang berwap.

Pelitup PuriCare Wearable ciptaan syarikat LG Electronics, dihasilkan dalam satu saiz dan ia seberat sepasang gogal ski. Pelitup itu juga dipasang dengan dua kipas dan penapis udara berkecekapan tinggi yang berupaya menapis udara yang dihirup dan dihembus keluar.

Sedang lebih ramai pihak berkuasa di seluruh dunia menggalak pemakaian pelitup bagi membendung penularan virus korona, syarikat-syarikat pengeluar berusaha mencipta pelitup yang lebih selesa untuk dipakai tanpa menjejas keselamatan pemakainya.


Antara masalah yang sering dihadapi oleh para pemakai pelitup adalah kesukaran untuk bernafas atau cermin mata yang berwap apabila nafas dihembus keluar dari bahagian atas pelitup dan terkena bahagian mata mereka.

"Pernafasan adalah keprihatinan utama ketika memakai pelitup dan pelitup pakai buang juga membawa kesan tinggi terhadap alam sekitar," kata pegawai kanan pasukan huraian produk udara LG Electronics Choi Yoon-hee kepada Reuters.

Pelitup itu juga dilengkapi dengan tempat simpan yang dapat mengecas bateri dan membasmi kuman pada pelitup itu dengan menggunakan lampu UV.

Ia akan mula dijual pada suku keempat tahun ini di pasaran-pasaran tertentu. LG bagaimanapun belum lagi menetapkan harga bagi pelitup tersebut.

Menurut LG, pelitup itu mempunyai jangka hayat bateri sekitar lapan jam apabila digunakan dalam mod kuasa rendah dan dua jam bagi mod kuasa tertinggi.

- Reuters/HA/ha

Top