Images
  • smoking
    (Gambar hiasan: AFP)

Pelbagai helah untuk lepas ‘gian’ merokok

KUALA LUMPUR: Meskipun kebanyakan pengusaha dan pengunjung akur dengan larangan merokok di premis makanan, namun ada yang masih keliru tentang jarak tiga meter yang dibenarkan untuk merokok.

Kekeliruan itu juga menyebabkan ada pengunjung yang mengikut kiraan sendiri meskipun jarak mereka merokok kurang daripada jarak yang dibenarkan dan kelihatan masih hampir dengan tempat pengunjung lain yang sedang menikmati makanan masing-masing.

Pada 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan. Ia meliputi sama ada premis makanan berhawa dingin atau tidak termasuk di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran dan medan selera.

Menurut larangan merokok di tempat makan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 itu, para perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

KIRAAN DARI DAPUR

Ina, seorang pekerja gerai masakan Thai di Taman Melawati, Ulu Kelang berkata pihaknya tidak berdepan sebarang masalah pada minggu pertama peraturan itu dilaksanakan kerana sebahagian besar pengunjung yang merokok mematuhi arahan.

Namun ada cerita menarik mengenai ragam perokok di medan selera itu sebaik sahaja larangan merokok memasuki awal minggu kedua.

"Paling saya tidak dapat lupa apabila menegur seorang pakcik yang merokok di mejanya. Saya cakap dengan baik kalau hendak merokok kena kira jarak tiga meter tetapi jawapan diberikannya sangat kelakar.

“Dia menyatakan sudah kira jarak tiga meter iaitu bermula dari dapur gerai saya sehingga ke tempat meja makannya. Itu sudah mencukupi jarak tiga meter sehingga membuatkan saya tergamam,” katanya.

Menurut Cik Ina, beliau serta beberapa pemilik gerai lain di medan selera berkenaan sebenarnya masih lagi keliru dan tidak memahami kaedah sebetulnya pengiraan jarak tiga meter itu. Misalnya, dari mana arah yang tepat untuk mengukur jarak tiga meter itu?

Apatah lagi, apabila berhadapan dengan sesetengah perokok yang mempunyai pelbagai ragam dan taktik sehingga ada ketika membuatkan mereka bingung untuk mempertikaikan alasan yang diberikan golongan tersebut.

LANGKAHNYA KECIL

Masalah itu turut diakui oleh seorang pembantu restoran India di Wangsa Maju yang hanya mahu dikenali sebagai Shafiq.

Katanya, ramai perokok yang menikmati selera di situ bertanya mengenai perihal tiga meter selepas makan untuk mereka melepaskan ketagihan merokok, namun beliau tidak mempunyai jawapan tepat mengenainya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Zarina Abdullah, berkata laporan media lebih banyak berkisar kepada usaha yang dibuat KKM yang turun padang untuk mempromosikan larangan merokok.

Usaha berkenaan termasuk menampal poster, mengedarkan risalah mengenainya, menjelaskan bahaya rokok kepada orang awam serta jumlah notis amaran yang dikeluarkan sejak peraturan itu dilaksanakan.

"Manakala jarak tiga meter pula, penerangannya lebih berbentuk lisan sahaja. Kami yang perokok ini pun keliru nak kira bagaimana kerana ada perokok yang mengira 10 kaki dengan langkahnya kecil sahaja.

"Jadi, jarak dia untuk merokok itu tidaklah jauh sangat dari tempat orang makan, sekali gus asap rokok itu masih lagi dapat dihidu oleh pelanggan lain," katanya.

Justeru, beliau merasakan adalah penting untuk KKM menghasilkan satu video khas mengenai lokasi merokok yang dibenarkan dari premis makanan dengan menunjukkan kaedah pengiraan yang sebetulnya.

DENDA HANYA KECIL

Selain kekeliruan tersebut, ada juga perokok yang masih lagi merokok di meja makan kerana beranggapan denda dikenakan tidaklah banyak.

“Sejak ada kes pekerja restoran nasi kandar kena tampar, memang pekerja kami tidak berani tegur dan mereka biasanya akan suruh saya yang tegur.

“Bila saya bercakap dengan perokok terbabit, setakat ini semuanya akan patuh. Mereka sebenarnya tahu mengenai peraturan larangan itu tetapi tidak tahu mengenai akta, denda yang bakal dikenakan dan disebabkan itulah masih ada yang ambil remeh dan terus merokok di dalam restoran.

“Tetapi, apabila kita cakap secara elok dengan mereka mengenai akta dan denda yang akan dikenakan, mereka mula takut,” kata Muhammad, anak kepada pemilik sebuah restoran India di Setiawangsa.

Menariknya, restoran itu bukan sahaja menampal tanda larangan merokok di setiap sudut bahkan juga hampir setiap meja turut dilekatkan poster kecil serta membuat satu banting khas mengenainya yang digantung berdekatan premis makanannya.

Bagaimanapun, Encik Muhammad berkata poster larangan merokok yang ditampal itu sepatutnya mempunyai maklumat lengkap berserta akta dan denda yang bakal dikenakan.

Sejak larangan itu dikuatkuasakan pada 1 Januari, Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad dipetik sebagai berkata lebih 13,700 amaran bertulis dikeluarkan dan 75, 280 nasihat dikeluarkan terhadal individu sehingga 8 Januari lalu.

“Dalam memastikan kejayaan program ini, kita tidak boleh mengharapkan pihak kementerian sahaja. Orang ramai, perokok dan pemilik restoran juga perlu bekerjasama dan saya selepas habis stok rokok ini tidak akan lagi jual rokok di restoran.

“Manakala, orang ramai juga boleh bertindak sebagai mata dan telinga dengan menghubungi pihak kementerian sekiranya masih ada ternampak perokok yang berdegil untuk bekerjasama,” kata Encik Muhammad. 

- BERNAMA/AI/ai

Top