Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pelanggan pertama gedung 'terapung' Apple di MBS tiba 4 jam lebih awal

Penuntut politeknik, Ervin Liyu, tidak tidur malam pada Rabu (9 Sep) sedang beliau menantikan pembukaan kedai pertama Apple di atas air.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelanggan pertama gedung 'terapung' Apple di MBS tiba 4 jam lebih awal

Penuntut politeknik Ervin Liyu adalah pelanggan pertama kedai Apple yang baru di Marina Bay Sands pada 10 Sep 2020. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

Diterbitkan : 10 Sep 2020 06:45PM Dikemas Kini : 10 Sep 2020 06:46PM

SINGAPURA: Penuntut politeknik, Ervin Liyu, tidak tidur malam pada Rabu (9 Sep) sedang beliau menantikan pembukaan kedai pertama Apple di atas air.

Beliau meninggalkan rumahnya di Bukit Gombak sebelum matahari terbit pada Khamis untuk memandu ke pusat beli-belah Marina Bay Sands dan menunggu di luar dari jam 6.00 pagi iaitu empat jam sebelum kedai 'terapung' itu membuka pintunya kepada orang ramai buat pertama kali.

Liyu adalah pelanggan pertama untuk menjejakkan kaki di kedai baru itu hari ini. Beliau juga pelanggan pertama untuk melangkah masuk ke kedai Apple di Jewel Lapangan Terbang Changi apabila ia dibuka pada Julai tahun lalu.

Bercakap kepada Mediacorp sebaik sahaja beliau meninggalkan kedai di Marina Bay Sands itu, Liyu berkata: "Ia adalah benda paling cantik yang pernah saya lihat.

“Saya sendiri adalah seorang pelajar reka bentuk jadi saya suka reka bentuk yang hebat," kata beliau yang membeli seutas gelang sukan bagi jam Applenya.

Para pengunjung ke kedai itu - cawangan ketiga Apple di Singapura - akan masuk melalui sebuah terowong bawah laut dari besmen Shoppes at Marina Bay Sands.

Cawangan baru itu mengambil alih ruang yang sebelum ini menempatkan kelab malam Avalon.

Para pelanggan mengunjungi kedai Apple di Marina Bay Sands pada 10 Sep 2020, hari pertama pembukaannya. (Gambar: TODAY)

Pembukaan kedai Apple biasanya menarik ramai orang tetapi cawangan di Marina Bay Sands itu hanya menerima pelanggan berdasarkan janji temu pada Khamis bagi membendung penularan COVID-19.

Pada 9.30 pagi, Mediacorp mendapati sekitar 30 orang beratur di pintu masuk besmen. Dalam kalangan mereka adalah pelajar dan pesara yang sabar menanti pembukaan kedai itu pada 10.00 pagi.
 
Para kakitangan juga dilihat mengingatkan pelanggan supaya menjaga jarak selamat antara satu sama lain.

Sebaik sahaja pintu kaca cawangan itu dibuka tepat pada 10.00 pagi, lebih 12 kakitangan Apple bertepuk sorak sebelum menjemput para pelanggan dalam kumpulan yang kecil dengan seorang kakitangan menemani setiap kumpulan.

Salah seorang pelanggan, Lee Yi Lin, 40 tahun, berkata beliau diberitahu untuk menghadkan tempoh lawatannya kepada 15 minit walaupun Mediacorp tidak melihat sesiapa disuruh meninggalkan kedai itu sekiranya mereka meluangkan masa yang melebihi tempoh yang disarankan.

Apple bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pelanggan yang membuat janji temu pada Khamis tetapi berdasarkan pemeriksaan ke atas lelamannya, semua slot masa sudahpun ditempah pada Khamis.

Tiada produk baru yang dilancarkan pada Khamis. Ramai yang beratur untuk memasuki kedai itu berkata mereka mahu singgah ke sana kerana tertarik dengan seni binanya yang luar biasa.

Beberapa orang yang tiba di sana tanpa membuat janji temu pula tidak dibenarkan masuk.

Mulai Jumaat, kedai itu akan menerima pelanggan tanpa janji temu dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam. Bagaimanapun, orang ramai boleh menjangkakan barisan beratur yang panjang disebabkan oleh had kapasiti serta langkah jarak selamat yang dilaksanakan.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan