Images
  • durian 1
    (Gambar-Gambar: Durian Delivery)

Pelanggan keliru sumber durian, cetuskan kemarahan kedai terkenal

SINGAPURA: Di tengah-tengah kemuncak musim durian, tercetus pula sengketa apabila sebilangan penjual durian mengadu tentang syarikat Durian Delivery dan memaklumkan orang ramai supaya menjauhi syarikat itu.

Pada Jun, sebilangan penjual durian ternama, seperti Durian Prince, Ah Seng Durian dan Leong Tee Durian, membuat catatan di media sosial untuk memaklumkan para pelanggan bahawa mereka tidak terkait langsung dengan Durian Delivery.

Mereka berbuat demikian setelah menerima banyak aduan daripada orang ramai yang menyangka bahawa mereka menempah durian dari penjual-penjual itu menerusi laman web Durian Delivery dan sebaliknya menerima durian yang rendah mutunya.

Para penjual itu mendakwa laman web Durian Delivery mengelirukan para pengguna sehinggakan mereka berfikir mereka boleh membeli durian dari kedai-kedai popular untuk dihantar ke rumah mereka.

Namun menurut Durian Delivery, laman webnya jelas menyatakan bahawa ia tiada kaitan denga penjual-penjual popular itu.

Salah satu ciri di laman web Durian Delivery adalah blog yang memaparkan maklum balas tentang kedai-kedai durian di merata Singapura.

Catatan blog mengenai Ah Seng Durian misalnya memberi maklum balas sangat baik dan berakhir dengan ayat: "Tunggu apa lagi? Kunjungi gerai Ah Seng Durian untuk menikmati durian yang menakjubkan dan lazat."

Di bawah ayat itu tertera pula seruan dengan fon bersaiz jauh lebih besar "Dapatkan Durian dari Duriandelivery.com.sg hari ini!"

Di bawah teks itu pula tertulis dengan fon jauh lebih kecil: "Duriandelivery.com.sg menghantar durian kepada anda pada hari yang sama, segar. 100% Mutu Terjamin atau Wang Dikembalikan. Penafian: Kami tidak terlibat atau menghantar durian bagi gerai di atas. Sila hubungi mereka secara langsung."


Namun, ada sesetengah pelanggan yang keliru dan percaya bahawa Durian Delivery bertindak sebagai orang tengah yang membeli durian dari gerai-gerai seperti Ah Seng lalu menghantarkannya ke rumah-rumah.

Ah Seng Durian memuat naik catatan Facebook pada 12 Jun untuk memaklumkan para pengguna bahawa kedai itu tiada kaitan dengan Durian Delivery.

Dalam catatan itu, syarikat tersebut menceritakan bagaimana seorang wanita mengunjungi gerainya dan berkata beliau ingin mengambil durian yang "ditempah dan dibayar" melalui suatu "laman web".

Bahkan satu lagi pembekal durian yang dipaparkan di laman web Durian Delivery, Leong Tee, membuat aduan polis terhadap syarikat penghantaran durian tersebut.

Pihak polis mengesahkan bahawa aduan itu dibuat, tetapi menambah bahawa tiada siasatan sedang dijalankan ke atas perkara itu.

Sejak lewat tahun lalu, Leong Tee sudah menerima kira-kira enam aduan seminggu dari para pelanggan yang menyangkakan bahawa mereka menempah durian dari Leong Tee menerusi Durian Delivery.

Gerai itu masih menerima aduan-aduan sedemikian, tetapi jauh lebih rendah sejak syarikat itu mengeluarkan penafian di Facebook pada 14 Jun.

"Kami tidak tahu apa yang berlaku. Ada begitu banyak (panggilan)," kata Encik Sam Lim, salah seorang pemilik Leong Tee.

Encik Lim dan pemilik-pemilik bersama Leong Tee mengambil keputusan untuk memberi durian - secara percuma - kepada para pemanggil atas dasar ihsan, meskipun mereka tahu bahawa syarikat itu tidak mungkin bersalah memandangkan Leong Tee hanya menawarkan khidmat penghantaran menerusi WhatsApp.

Sejak Leong Tee memuat naik catatan Facebook, syarikat itu sudah berhenti berbuat demikian.

Encik Lim berkata akhirnya syarikatnya mendapat tahu mengenai Durian Delivery apabila para pelanggan terjejas memberitahunya mengenai laman web itu.

Durian Prince turut memberi amaran kepada para pelanggannya menerusi Facebook pada 4 Jun sambil berkata syarikat itu tiada kena mengena dengan Durian Delivery.

Seorang jurucakap Durian Prince memberitahu Mediacorp bahawa para pemilik syarikat itu 'keliru' apabila mereka mula menerima panggilan daripada pelanggan yang menanyakan tentang tempahan-tempahan yang tidak dilakukan dengan syarikat itu.

Para pemilik Durian Prince kemudian mendapat tahu bahawa tempahan-tempahan itu sebenarnya dilakukan melalui Durian Delivery. Mereka berkata nama syarikat itu yang seakan-akan sama dengan khidmat penghantaran tersebut mungkin menyumbang kepada kekeliruan para pelanggan.

RESPONS DURIAN DELIVERY
Menjawab pertanyaan Mediacorp, pengasas bersama Durian Delivery Jonathan Poon berkata pihaknya mengendalikan perniagaan jujur dan tidak pernah berniat untuk memperdaya para pengguna sehingga mereka berfikir bahawa durian yang dihantar itu dijual para pegerai yang dipaparkan dalam catatan-catatan blog.

Sebaliknya, Durian Delivery menjual durian yang dipetik dari dusunnya sendiri di Johor dan Pahang, kata Encik Poon.

Beliau menambah laman web syarikat itu bermula sebagai blog tetapi beliau dan rakan-rakan niaganya memulakan khidmat penghantaran durian sebagai respons kepada permintaan para pembaca.

Encik Poon percaya nama syarikatnya yang "umum" mungkin merupakan punca kekeliruan dalam kalangan pembeli durian.

Namun beliau mendakwa, kebanyakan pelanggannya maklum bahawa durian-durian yang dihantar syarikatnya itu berasal dari dusun-dusun sendiri.

"Bahkan jika anda lihat laman produk kami, ada video yang menyatakan tempat asal durian kami."

Mediacorp bertanya tentang aduan yang diterima oleh para penjual durian yang lain dari para pelanggan yang mendakwa mereka menerima durian bermutu rendah setelah mereka membuat tempahan menerusi Durian Delivery.

Encik Poon berkata Durian Delivery menerima aduan sedemikian setiap hari sambil menambah ini merupakan asam garam perniagaan memandangkan "durian adalah sejenis buah".

Beliau berkata syarikatnya menawarkan durian lebih segar sebagai pampasan kepada para pelanggan yang membuat aduan jika mereka mengirim gambar untuk membuktikan mutu rendah durian yang dihantar.

Seorang pelanggan Durian Delivery, yang enggan dinamakan berkata, beliau sedar bahawa syarikat itu tidak terkait dengan gerai-gerai popular yang dipaparkan dalam catatan-catatan blognya.

Namun beliau menambah dengan menyatakan nama-nama syarikat pesaingnya yang terkenal di laman webnya, "para pelanggan mungkin keliru" dan terpedaya.

Seorang pembaca memberitahu Mediacorp menerusi Facebook bahawa beliau hampir-hampir menempah menerusi Durian Delivery kerana beliau menyangka bahawa syarikat itu menghantar durian dari Ah Seng.

Beliau berkata: "Sebabnya saya melakukan carian di Google: Ah Seng Durian Delivery, dan laman (Durian Delivery) muncul sebagai pautan pertama. Dan tajuknya menyatakan 'Ah Seng Durian by Durian Delivery Singapore'. Bagaimana bunyinya kepada anda? Jika anda tidak biasa dengan Ah Seng (seperti saya), tidakkah anda akan juga memikirkan ia dihantar oleh 'Durian Delivery'?"

Namun seorang lagi pelanggan, Encik Justin Chua, berpendapat bahawa laman web Durian Delivery menyatakan dengan jelas bahawa ia bukan ejen bagi penjual durian lain.

Beliau menambah para pelanggan yang keliru mungkin bersikap "terlalu panjang lebar sehingga tidak sempat baca", yang menyebabkan mereka membuat tempahan tanpa membaca laman web itu dengan teliti.

"Catatan blog itu sudah pun menyatakan ia setakat ulasan saja. Jika anda membuat tempahan di situ, jenama-jernama terkenal tersebut tidak dinyatakan langsung," kata Encik Chua. 

- TODAY/ZM/zm

Top