Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pekebun Australia berjaya tanam laici tanpa biji setelah mencuba 19 tahun

Usaha berdekad-dekad akhirnya membuahkan hasil bagi seorang pekebun buah laici di Queensland Utara yang berjaya menghasilkan jenis buah laici tanpa biji di Australia.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekebun Australia berjaya tanam laici tanpa biji setelah mencuba 19 tahun

(Gambar: Facebook/Camillerisfarmmarket)

Diterbitkan : 11 Jan 2020 09:10AM Dikemas Kini : 11 Jan 2020 09:13AM

AUSTRALIA: Usaha berdekad-dekad akhirnya membuahkan hasil bagi seorang pekebun buah laici di Queensland Utara yang berjaya menghasilkan jenis buah laici tanpa biji di Australia.

Tibby Dixon memberitahu agensi berita ABC bahawa beliau menghasilkan pelbagai jenis laici, dengan proses pembiakbakaan terpilih dan pendebungaan kacuk (cross-pollination) dilakukan melibatkan beberapa generasi pokok.

"Pertama sekali, anda harus memulakan dengan kultivar yang baik dan anda meneruskan dengan proses pendebungaan kacuk," kata Encik Dixon.

"Setelah itu, anda mungkin mendapat hasil biji kecil dan anda teruskan proses pendebungaan kacuk. Mengikut nasib, anda akan mendapat hasil buah laici tanpa biji."

Jenis buah laici itu dibiakkan daripada pokok yang diimport dari China 19 tahun lalu.

Proses pendebungaan kacuk itu melibatkan pengumpulan debunga daripada bunga jantan laici, yang kemudian dipindahkan kepada bunga betina laici daripada berlainan jenis.

Meskipun buah laici tanpa biji itu belum ditanam pada skala komersil, sebuah pasaran keluaran tempatan di Pantai Sarina dekat Mackay sedang menguji penjualan beberapa kilogram buah berkenaan dengan para pembeli.

"Dalam masa beberapa tahun lagi, kami akan meraih jumlah secukupnya untuk dijual secara komersil," katanya kepada agensi berita ABC.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan