Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pawagam S'pura jaga jarak sosial; sebilangan penonton tidak terhalang oleh COVID-19

Para pengendali pawagam di sini menjaga jarak sosial dengan menandakan tempat duduk dalam panggung wayang. Mereka yang membeli tiket secara online juga akan dibantu agar mereka tidak duduk bersebelahan dengan penonton lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Pawagam S'pura jaga jarak sosial; sebilangan penonton tidak terhalang oleh COVID-19

Petikan skrin Shaw Theatres

Diterbitkan : 20 Mar 2020 12:14PM Dikemas Kini : 20 Mar 2020 12:21PM

SINGAPURA: Para pengendali pawagam di sini menjaga jarak sosial dengan menandakan tempat duduk dalam panggung wayang.

Mereka yang membeli tiket secara online juga akan dibantu agar mereka tidak duduk bersebelahan dengan penonton lain.

Ini selepas pemerintah mengeluarkan maklumat pada minggu lalu yang menasihati tempat-tempat hiburan supaya menghadkan bilangan pengunjung dan melebarkan jarak sosial antara pelanggan mereka.

Ramai pelanggan memberitahu Mediacorp bahawa mereka rasa terjamin dengan langkah berjaga-jaga yang dilaksanakan walaupun ada yang menyuarakan keprihatinan mengenai ruang tertutup yang dikongsi dengan pelanggan yang tidak sihat.

Di Golden Village (GV), pengendali pawagam terbesar di Singapura yang menguruskan 14 pawagam di sini, sistem tempahannya menghalang pelanggan daripada menempah tempat duduk bersebelahan pelanggan lain semasa membeli tiket secara online atau melalui mesin tiket automatiknya.

Jurucakap GV memberitahu Mediacorp bahawa jarak tempat duduk yang diwajibkan antara pelanggan adalah sejajar dengan garis panduan Pemerintah berhubung jarak sosial yang mengesyorkan agar para pelanggan ditempatkan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

Menjaga jarak sosial adalah satu amalan kesihatan awam yang bertujuan untuk menghadkan sentuhan antara orang yang sakit dengan mereka yang sihat.

Sebelum ini, dasar GV tidak mengizinkan pelanggan membiarkan tempat duduk kosong semasa membuat tempahan. Namun ia tidak lagi dilaksanakan sekarang demi menggalak orang ramai supaya menjaga jarak sosial.

Di Shaw Theatres pula, sistem tempahannya menetapkan jarak sekurang-kurangnya dua tempat duduk bagi setiap dua atau tiga tempat duduk dan ini sudah dilaksanakan sejak Isnin (16 Mac).

Shaw menguruskan sembilan pawagam di sini, dua daripadanya sedang diubah elok.

Sejak pertengahan bulan lalu, ia sudah mengurangkan tayangan filem di pawagamnya agar lebih banyak masa dapat diperuntukkan antara setiap filem untuk membersihkan pawagam dengan menyeluruh.

Pawagam bebas EagleWings Cinematics di King Albert Park di estet Bukit Timah memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya sudah menerbitkan panduan mengenai jarak sosial pada Selasa di laman media sosialnya, yang menggesa para pelanggan yang menempah tiket secara online supaya menjarakkan diri mereka daripada pelanggan lain.

Menurutnya lagi, dewan-dewan "klasik", yang boleh menampung 60 orang, kini menempatkan hanya 30 hingga 40 pelanggan saja.

Cathay Cineplexes, yang mengendalikan lapan pawagam, menyatakan melalui makluman yang dimuat naik ke Facebook pada Rabu bahawa pihaknya sudah mengurangkan jumlah tiket yang dijual. Ia juga menggalakk para penonton supaya menjaga jarak sekurang-kurangnya dua tempat duduk daripada pelanggan lain.

Berdasarkan tinjauan Mediacorp pada Khamis, laman web Cathay Cineplexes dan EagleWings Cinematics masih mengizinkan pelanggan menempah tempat duduk bersebelahan dengan tempat duduk yang sudah ditempah oleh orang lain.

Projector, sebuah pawagam bebas di Beach Road yang menawarkan tempat duduk bebas untuk tayangan filemnya, juga menerbitkan panduan COVID-19 di laman webnya bagi memberitahu para pelanggan bahawa pihaknya sudah menghadkan penjualan tiket bagi semua panggung wayang untuk menjaga jarak sosial.

Filmgarde Cineplexes, yang memiliki tiga pawagam, tidak mengamalkan jarak sosial, menurut laman webnya pada Khamis.

Cathay Cineplexes, Projector dan Filmgarde Cineplexes belum lagi menjawab pertanyaan Mediacorp.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan