Images
  • Tutankhamun
    (Gambar: P. Nicholls/Reuters)

Patung anak Firaun dilelong S$8.1 juta meskipun Mesir bantah

LONDON: Patung anak Firaun, Tutankhamun berusia 3,000 tahun dilelong pada harga AS$6 juta (S$8.14 juta) di London meskipun menerima bantahan kuat dari Kaherah.

Rumah lelongan Christie menjual artifak berukuran 28.5 sentimeter dalam salah satu acara lelongan paling menimbulkan kontroversi sejak bertahun-tahun.

Maklumat mengenai pembeli patung itu tidak didedahkan.

Para pegawai Mesir mahu lelongan itu dihentikan dan patung berkenaan dipulangkan ke negara tersebut kerana mendakwa ia dicuri pada sekitar tahun 1970an.

Kementerian Luar Mesir pula menyatakan bahawa penjualan itu melanggar perjanjian dan konvensyen antarabangsa.

Puluhan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Mesir dan membawa kad-kad tertera "hentikan perdagangan bahan-bahan purba yang diseludup" di luar bilik lelongan Christie di London.

"Ia tidak sepatutnya disimpan di rumah. Ia sebaliknya harus diletakkan di dalam sebuah muzium," kata Magda Sakr, seorang warga Mesir, kepada agensi berita AFP.

"Ia adalah bahan sejarah. Beliau antara raja kami yang paling terkenal," kata Magda, 50 tahun.

Kementerian Kepurbaan Mesir menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas pada awal minggu depan bagi membincangkan langkah-langkah seterusnya.

"Pemerintah Mesir akan mengambil segala langkah yang perlu untuk memperolehi semula bahan kepurbaan Mesir yang dibawa keluar secara haram," menurutnya dalam satu kenyataan.

Rumah lelongan Christie bagaimanapun menegaskan patung itu tidak pernah menjadi bahan siasatan meskipun ditempatkan di pameran-pameran awam sebelum ini.  

- AFP/AI/ai

Top