Images
  • peranakan kwaychap main
    (Gambar: Peranakan Kway Chap)

Pasangan jual kway chap halal dari rumah, guna resipi Peranakan diwarisi turun temurun

SINGAPURA: Kway chap merupakan hidangan popular tradisional Teochew yang menggunakan daging babi sebagai bahan utamanya.

Namun perniagaan berasaskan dari rumah, Peranakan Kway Chap, kini menawarkan kway chap unik yang halal, disajikan dengan daging lembu sebagai ganti. Jenama yang baru sebulan bertapak itu diasaskan oleh pasangan suami isteri, 42 tahun, Mohamed Fadli Ahmad dan Akmal Saadah ‘Adah’ Ahmad,

Pasangan itu mendakwa penjual pertama hidangan kway chap halal. Mereka memutuskan untuk memulakan perniagaan menjual hidangan itu apabila mereka melihat adanya kekosongan di pasaran.

"Saya gemar makanan Cina tetapi saya perhatikan tidak ada kway chap yang halal; Saya terpaksa memasaknya sendiri setiap kali saya menginginkannya,” kata Adah, yang menggunakan resipi kwap chap keluarganya.

Resipi itu pertama kali dihasilkan oleh moyangnya yang merupakan seorang Cina Peranakan. Ia diturunkan kepada ibunya, seorang muallaf.

“Setelah ibu masuk Islam, ada hari yang beliau teringin sangat untuk makan kway chap kegemarannya. Oleh itu, beliau memutuskan untuk cuba memasaknya dengan menggunakan ramuan halal dan rasanya mirip dengan hidangan Cina Peranakan yang asli,” kata Adah.

Anak lelakinya yang berusia 19 tahun, Aqil, kini menolong ibu bapanya untuk memasak dan menyiapkan perniagaan baru mereka.

Jadi apa yang terkandung dalam kway chap halal?

Versi Adah dan Fadli menggunakan daging lembu dari tiga bahagian yang berbeza: tulang rusuk, daging goreng dan urat lembu. Ia dijual pada harga S$12.90, memandangkan harga daging lembu yang lebih mahal.

Bagi setiap tempahan kway chap, daging yang ditumis-reneh (braised) itu dibungkus secara berasingan dari mi beras leper dalam bekas dua tingkat.

Hidangan ini juga dilengkapi dengan telur dan tau kwa, yang ditumis-reneh dengan daging lembu selama tiga jam.

Pasangan itu mendapatkan kway dari seorang pembekal. Pada April, mereka merancang untuk melancarkan sajian 'Buat Sendiri', di mana pelanggan dapat memilih potongan daging lembu pilihan mereka dan memesan sajian sampingan tambahan.

Pesanan bagi penghantaran boleh dibuat di www.peranakankwaychap.com (penghantaran di semua bahagian Singapura berharga S$10; S$5 bagi penghantaran di Bukit Panjang).

Anda juga boleh memilih untuk mengambil sendiri pesanan di 456 Segar Road, Bukit Panjang. S670456.

LAPORAN BERKAITAN: 

- TODAY/8Days/TQ/tq

Top