Images
  • VIRUS
    (Gambar: AFP)

Paras gula tinggi dalam darah tingkatkan risiko kematian pesakit COVID-19

PARIS: Pesakit dengan kadar gula dalam darah tinggi yang tidak normal, mungkin dua kali ganda berisiko meninggal dunia akibat COVID-19, menurut penyelidik di China, hari ini (11 Jul).

Dapatan itu yang pertama oleh para saintis
yang dapat mengesahkan pesakit dengan hiperglikemia atau keadaan dengan paras gula dalam darah yang tinggi, tetapi tidak didiagnos dengan kencing manis, didapati lebih berisiko tinggi meninggal dunia akibat COVID-19, menurut catatan mereka dalam jurnal Diabetologia.

Pasukan penyelidik itu meneliti kadar kematian bagi 605 pesakit akibat COVID-19 di dua hospital di Wuhan, China.

Pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi 'dikaitkan' dengan peningkatan risiko kematian dan komplikasi akibat COVID-19.

Kajian itu berdasarkan kajian sebelumnya mengenai pesakit kencing manis.

Seorang daripada 10 pesakit COVID-19 yang menghidap kencing mais meninggal dunia di hospital di Perancis, iaitu jauh lebih tinggi berbanding pesakit yang tidak menghidapinya, menurut satu kajian pada Mei, dalam jurnal yang sama.

Punca mengapa paras gula yang tinggi dalam darah, meningkatkan kadar kematian pesakit COVID-19 masih belum jelas lagi.

Kajian penyelidik itu bagaimanapun membayangkan bahawa pembekuan darah, lapisan saluran darah semakin lemah dan 'cytokine storm syndrome' iaitu reaksi luar biasa sistem imun boleh menyumbang kepada faktor itu.

Mereka turut menggesa pihak hospital menguji semua pesakit COVID-19 untuk memeriksa tahap glukosa mereka dan bukan hanya dihadkan kepada pesakit kencing manis.

Pakar yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu berkata, kajian tersebut yang memantau pesakit yang masuk hospital pada Januari dan Februari, mempunyai beberapa kelemahan.

Seorang profesor endokrinologi di Universiti College London, Bernard Khoo, berkata lebih banyak penyelidikan yang membabitkan percubaan terkawal secara rambang perlu dilakukan. 

- AFP/NA/na

Top