Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Para pekerja Disneyland AS kata usul pembukaan semula pada Julai mungkin terlalu awal

Kesatuan-kesatuan pekerja yang mewakili 17,000 pekerja di Resort Disneyland Walt Disney di California memberitahu gabenor negeri itu bahawa mereka tidak yakin taman tema itu akan cukup selamat untuk dibuka semula pada Julai seperti yang dirancang oleh syarikat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Para pekerja Disneyland AS kata usul pembukaan semula pada Julai mungkin terlalu awal

Gambar fail taman tema Disneyland (Gambar: REUTERS/Mike Blake)

Diterbitkan : 20 Jun 2020 11:24AM Dikemas Kini : 20 Jun 2020 11:32AM

LOS ANGELES: Kesatuan-kesatuan pekerja yang mewakili 17,000 pekerja di Resort Disneyland Walt Disney di California memberitahu gabenor negeri itu bahawa mereka tidak yakin taman tema itu akan cukup selamat untuk dibuka semula pada Julai seperti yang dirancang oleh syarikat itu.

Dalam satu surat kepada Gabenor Gavin Newsom pada Khamis (18 Jun), kesatuan-kesatuan pekerja itu menyatakan bahawa mereka telah berbincang dengan Disney sejak pertengahan Mac apabila Disneyland ditutup untuk membantu membendung pandemik COVID-19.

Pusat peranginan di Anaheim, selatan California itu menempatkan taman tema Disneyland dan California Adventure Park, yang kedua-duanya dijadual dibuka semula pada 17 Julai.

"Malangnya, walaupun selepas rundingan menyeluruh dengan syarikat itu, kami belum yakin bahawa taman-taman itu selamat untuk dibuka semula," menurut surat daripada Gabungan Kesatuan Pekerja Resort.

Jurucakap Disney berkata pada Jumaat bahawa syarikat itu mengutamakan keselamatan pekerja dan tetamu dalam perancangan mereka.

"Kami mengalu-alukan dialog berterusan dengan kesatuan pekerja kami mengenai protokol kesihatan dan keselamatan yang meluas, ekoran panduan dari para pakar kesihatan awam," kata jurucakap itu.

Jabatan Kesihatan Awam California menyatakan taman-taman tema akan boleh dibuka semula ketika negara mencapai Tahap 3 rancangan pembukaan semulanya secara berperingkat. Ia kini berada di Tahap 2.

Agensi tersebut menyatakan pihaknya akan mengeluarkan garis panduan mengenai cara mengurangkan penularan virus korona di taman tema, namun menambah jadual untuk mengeluarkan garis panduan itu belum ditetapkan.

Disney merancang untuk membuka semula Walt Disney World di Florida pada 11 Julai dengan langkah-langkah meluas termasuk memerlukan pengunjung memakai pelitup dan pemeriksaan suhu serta menangguhkan kegiatan seperti perarakan yang menarik perhimpunan orang ramai.

Kesatuan-kesatuan Disneyland menyatakan syarikat itu telah menangani beberapa keprihatinan. Tetapi ada "banyak persoalan yang belum dijawab oleh Disney, termasuk perbincangan serius mengenai 'pengujian' - yang merupakan perkara utama dalam rancangan membuka semula bidang-bidang industri hiburan lain," menurut kesatuan-kesatuan itu.

"Oleh itu, pada masa ini kami tidak yakin sama ada pusat perangingan ini boleh beroperasi dengan selamat," menurut surat itu. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan