Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pantau tanda trauma pada remaja susuli kematian pelajar RVHS, nasihat pakar kepada ibu bapa

Selepas berlaku kejadian trauma seperti kematian seorang pelajar 13 tahun yang dipercayai dibunuh oleh rakan sekolah berusia 16 tahun di Sekolah Tinggi River Valley baru-baru ini, gangguan emosi mungkin tidak selalu dapat dilihat pada remaja.

Anggaran Waktu Membaca:
Pantau tanda trauma pada remaja susuli kematian pelajar RVHS, nasihat pakar kepada ibu bapa

Gambar: istock

Diterbitkan : 23 Jul 2021 02:21PM Dikemas Kini : 23 Jul 2021 02:30PM

SINGAPURA: Selepas berlaku kejadian trauma seperti kematian seorang pelajar 13 tahun yang dipercayai dibunuh oleh rakan sekolah berusia 16 tahun di Sekolah Tinggi River Valley baru-baru ini, gangguan emosi mungkin tidak selalu dapat dilihat pada remaja.

Oleh itu para pakar menggesa ibu bapa, pendidik dan orang dewasa supaya menyedari bagaimana trauma terbentuk dalam kalangan kumpulan usia sedemikian dan mengetahui bila untuk mendapatkan bantuan profesional, terutamanya jika perubahan tingkah laku berterusan.

Kaunselor Kanan Celynn Chang berkata bahawa di peringkat pembangunan, para remaja yang berusia antara 12 hingga 18 tahun bertindak balas dengan cara yang sangat berbeza terhadap kejadian traumatik berbanding kanak-kanak kecil atau orang dewasa.

Selepas mengalami insiden yang amat menyedihkan, ia memang biasa untuk berasa terkejut, keliru, bimbang, gerun, rasa bersalah ataupun rentan dan berputus asa. Ekoran emosi yang membuak-buak itu, menangis adalah respons yang normal.

Namun, para remaja mungkin tidak secara terang-terangan menangis atau berkongsi perasaan mereka.

"Inilah sebabnya bagi golongan ini, perubahaan pada tingkah laku lebih ketara, seperti perubahan pada kegiatan, lebih bersikap kasar dan mengganggu.

"Sesetengah mereka pula mungkin menarik diri atau mempamerkan tingkah laku penghindaran. Mereka mungkin kelihatan seperti tidak mahu bekerjasama, tiba-tiba naik berang atau hilang minat pada kegiatan-kegiatan yang biasanya menyeronokkan."

Oleh itu, penting untuk para ibu bapa mengetahui bahawa tingkah laku seperti itu tidak bermakna anak-anak remaja mereka suka memberontak atau ingkar. Sebaliknya, ia mungkin tanda-tanda trauma atau tekanan, kata Cik Chang.

KESAN INSIDEN SEKOLAH TINGGI RIVER VALLEY

Trauma boleh menjejas semua golongan usia dan ia boleh tercetus daripada satu kejadian atau siri kejadian yang menyebabkan seseorang individu itu berasa terjejas secara fizikal atau emosi sehinggakan boleh mengurangkan kecekapan fungsinya atau kebolehan menangani kesejahteraannya.

Jika tidak diperiksa atau diproses, trauma boleh melambatkan lagi proses pemulihan atau membawa kesan buruk kepada peringkat lanjut kehidupan seseorang.

Cik Vyda S Chai, seorang ahli psikologi klinikal berkata menjadi saksi kepada sesuatu kematian ataupun kehilangan seseorang teman adalah insiden yang boleh dianggap amat traumatik.

"Ini terutama sekali dalam kalangan remaja yang tidak mempunyai alat, sumber atau sokongan untuk memproses apa yang berlaku," kata Cik Chai.

BAGAIMANA UNTUK BANTU SESEORANG PULIH DARI TRAUMA

1. Jangan mengambil hati tingkah laku remaja

Remaja yang mengalami trauma mungkin bertindak meluahkan kemarahan dan kekecewaan.

Berbanding rasa tersinggung atau terganggu, biarkanlah anak itu meluahkan perasaan mereka tanpa prasangka.

2. Pantau pendedahan kepada media sosial

Selepas berlaku kejadian trauma, para ibu bapa disarankan supaya menghadkan atau memantau pendedahan media sosial anak mereka.

Cik Chai berkata media sosial mungkin boleh memburukkan lagi trauma.

"Sesetengah maklumat di media sosial boleh mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding sokongan. Sesetengah orang mungkin mengongsi pandangan tentang anak tersebut dan ini boleh mencetuskan kemarahan. Ia boleh menambahkan lagi trauma yang dialami dan ia tidak membantu dalam proses pemulihan."

3. Bersabar

Cik Chang berkata memang menjadi kebiasaan para remaja tidak mahu bercakap. Jangan memaksa mereka berbual tetapi sebaliknya cuba memulakan perbualan sedang anda melakukan kegiatan bersama sewaktu remaja tersebut berasa kurang tertekan.

Ibu bapa boleh menimbangkan untuk mengadakan perbualan secara berkumpulan bersama teman-teman sebaya anak remaja mereka kerana mereka mungkin lebih selesa untuk berbuat demikian.

Mereka juga boleh menggalak perbualan bersama orang lain yang diyakini seperti seorang saudara, mentor atau guru.

4. Dapatkan bantuan profesional dan bukan melakukan sendiri

Seorang profesional boleh memberi pandangan tentang cara paling berkesan untuk menangani anak-anak yang mengalami trauma.

Ia juga boleh membantu anak itu menangani trauma dan belajar strategi-strategi untuk mengatasinya dengan berkesan.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan