Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pantai Rusila diserbu penduduk cari siput laut musim tengkujuh

Isinya sedap seperti sotong dan cengkerangnya yang cantik boleh dibuat hiasan. Ini yang menyebabkan Pantai Rusila dekat Kampung Rhu Dua menjadi tumpuan orang ramai mencari siput laut yang banyak terdampar pada musim tengkujuh kali ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pantai Rusila diserbu penduduk cari siput laut musim tengkujuh

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 21 Nov 2020 02:29PM Dikemas Kini : 21 Nov 2020 02:32PM

MARANG: Isinya sedap seperti sotong dan cengkerangnya yang cantik boleh dibuat hiasan. Ini yang menyebabkan Pantai Rusila dekat Kampung Rhu Dua menjadi tumpuan orang ramai mencari siput laut yang banyak terdampar pada musim tengkujuh kali ini.

Kebanyakan penduduk berusia lebih 50 tahun yang ditemui Bernama mendakwa siput laut itu hanya pernah dilihat ketika mereka masih kecil kira-kira 40 tahun yang lalu dan tidak pasti apakah nama atau spesis sebenar siput tersebut.

Kamariah Mohammad, 64, berkata kemunculan semula siput laut itu sejak dua hari lalu, mengimbau kembali kenangannya sewaktu kecil dan beliau teruja dapat menikmati isi hidupan laut itu yang sangat enak untuk dimakan dengan pelbagai jenis masakan.

“Makcik saja datang ke pantai ini sebab tengok makin ramai cari siput laut, lagi pun rumah dekat sahaja. Tak sangka pula, siput laut ni masih wujud sebab dah lebih 50 tahun tak nampak.

“Kebanyakan yang datang cari siput laut ini tidak jual sebab mereka nak rasa sendiri....ada yang agihkan kepada penduduk kampung dengan niat berkongsi rezeki,” katanya ketika ditemui Bernama.

Pada tahun lalu, Pantai Rusila menjadi tumpuan orang ramai disebabkan fenomena kerang bulu yang terdampar dalam jumlah banyak, namun pada musim tengkujuh kali ini, jumlah siput laut pula lebih banyak ditemui berbanding kerang.

Seorang lagi penduduk Kampung Rhu Dua, Muhammad Nasaruddin Ramli, 26, berkata, beliau memperolehi hampir tujuh kilogram siput laut setelah mencari hampir tiga jam.

“Semalam dapat hanya tiga kg dan keluarga kata sedap dibuat gulai masak lemak serta masak tumis serai. Saya niat hendak sedekah kepada saudara dan jiran yang tidak berkesempatan datang hari ini,” katanya yang tidak pernah melihat siput tersebut sebelum ini.

Selain mencari siput laut, pengunjung yang datang juga tidak melepaskan peluang bermandi-manda dan bersantai bersama keluarga berikutan cuaca yang agak baik, namun pada masa sama mereka mengakui sangat berhati-hati dan menetapkan had jarak agar tidak terlalu jauh ke tengah laut.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan