Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Panduan kejelitaan untuk wanita hamil: Bagaimana atasi 'stretch mark', jerawat dan pelbagai lagi

Kata orang, wajah seorang wanita yang hamil mempunyai serinya yang tersendiri. Namun hakikatnya, dengan banyak perubahan yang berlaku dalam tubuh seorang wanita semasa berbadan dua akan menimbulkan juga pelbagai masalah kulit.

Anggaran Waktu Membaca:
Panduan kejelitaan untuk wanita hamil: Bagaimana atasi 'stretch mark', jerawat dan pelbagai lagi

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 28 Jul 2020 11:13PM Dikemas Kini : 28 Jul 2020 11:19PM

SINGAPURA: Kata orang, wajah seorang wanita yang hamil mempunyai serinya yang tersendiri. Namun hakikatnya, dengan banyak perubahan yang berlaku dalam tubuh seorang wanita semasa berbadan dua akan menimbulkan juga pelbagai masalah kulit.

Penyebab utama perubahan ini adalah hormon estrogen dan progesteron. Ini penting untuk perkembangan bayi namun sayangnya, hormon-hormon itu juga boleh membawa kesan pada penampilan fizikal si ibu.

Mujur, terdapat pelbagai cara untuk mengurangkan masalah tersebut. Pun begitu, perlu diingatkan bahawa setiap wanita yang hamil melalui pengalaman yang berbeza - sementara sebilangan yang mengalami kehamilan tanpa banyak keluhan, ada pula yang menghadapi lebih banyak cabaran. Yang penting adalah mencari seimbangan paling sesuai dan memenuhi keperluan diri sendiri.

Menurut pakar dermatologi Dr Wang Yi Shi dari Klinik Kulit dan Laser W, keadaan paling biasa yang boleh menjejas ketrampilan wanita hamil adalah hiperpigmentasi atau masalah kulit menjadi gelap, kulit gatal atau ekzema di sekitar bahagian bawah perut, tanda regangan (stretch mark) dan jerawat. Walaupun kebanyakan masalah ini bersifat sementara, beberapa daripadanya seperti kesan regangan, boleh menjadi kekal.

Untuk membantu anda menyiapkan diri menempuh perjalanan semasa hamil, berikut adalah cara-cara menangani isu-isu tersebut dan tip untuk menjaga kesejahteraan diri.

TIP JAGA KECANTIKAN KETIKA HAMIL:

Lebihkan rehat, cukupkan tidur

Tidur sekurang-kurangnya lapan jam setiap hari. Masa rehat sangat penting bagi wanita hamil kerana ia membolehkan tubuh yang mengalami tekanan untuk bertenang dan membantu meningkatkan sistem kekebalan tubuh ibu. Untuk melegakan kaki yang letih, urut dengan perlahan sebelum tidur dan baring dengan kaki terangkat menggunakan bantal di antara kedua lutut.

Minum air secukupnya
Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari untuk membuang toksin dan bantu menyokong tubuh yang sedang mengalami pelbagai perubahan.

Makan dengan baik
Jangan lewatkan makan kerana tubuh seseorang yang hamil memerlukan nutrien sebanyak mungkin. Sekiranya anda sering terasa hendak mengunyah, bahagikan makanan anda kepada bahagian-bahagian kecil dan makan secara berkala sepanjang hari.

Lindung kulit daripada cahaya matahari
Gunakan produk pelindung matahari untuk mencegah kulit daripada terdedah kepada sinar UVB dan UVA yang berbahaya yang boleh mendorong masalah pigmentasi atau kulit menjadi gelap.

Pilih produk dengan bijak
Lily Kew, pengasas jenama penjagaan kulit Kew Organics, menasihatkan wanita hamil supaya mengelakkan produk yang mengandungi terlalu banyak bahan kimia, pewangi dan pewarna tiruan, bahan pengawet dan bahan karsinogenik; yang meskipun kandungannya sangat kecil boleh menyebabkan barah. Sebaliknya pilihlah produk bersih, bebas GMO, semula jadi dan organik.

Kata beliau: "Berwaspada terhadap (kandungan) toksin, bahan kimia dan bahan berbahaya meresap ke dalam sistem tubuh kita melalui kulit, lebih-lebih lagi bagi wanita hamil."

Mengenai ramuan yang perlu dielakkan, Dr Wang mengingatkan agar tidak menggunakan produk kulit yang mengandungi tretinoin dan hidrokuinon.

Kurangkan solekan
Sekiranya perubahan hormon mencetuskan reaksi pada kulit, kurangkan memakai bahan solekan. "Bebaskan kulit anda dari semua bahan kimia dan racun berbahaya kerana bahan solekan merimaskan kulit anda, menyumbat liang-liang dan menyebabkan lebih banyak jerawat, kekusaman, pigmentasi dan kulit sensitif," kata Kew.

Rawat diri anda
Jauhkan diri anda dari tekanan dengan memanjakan diri dengan rawatan di rumah atau di spa. Namun jika anda menempah urutan muka atau badan, pastikan anda memberitahu salon atau ahli terapi bahawa anda hamil.

Sumber : Agensi berita/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan