Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pandemik COVID-19 dikaitkan dengan peningkatan obesiti kanak-kanak: Kajian

Selain kurangnya kegiatan fizikal ekoran pembelajaran di rumah, sebilangan keluarga kurang mampu sediakan makanan lebih sihat kerana masalah kewangan akibat pandemik.

Anggaran Waktu Membaca:
Pandemik COVID-19 dikaitkan dengan peningkatan obesiti kanak-kanak: Kajian

(Gambar hiasan: Siora Photography/Unsplash)

Diterbitkan : 06 Sep 2021 10:48AM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 10:51AM

CALIFORNIA: Pandemik koronavirus sangat menjejas kanak-kanak dengan gangguan persekolahan selama satu setengah tahun yang lalu, pengasingan sosial yang semakin meningkat dan rasa bimbang sedang jutaan keluarga dilanda pergolakan.

Ternyata krisis COVID-19 juga dikaitkan dengan kenaikan berat badan yang berlebihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, menurut satu kajian baru-baru ini yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Jama.

Para penyelidik mendapati peningkatan obesiti sebanyak sembilan peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun. Mereka mengalami kenaikan berat badan purata 2.3 kg semasa pandemik. Remaja berusia 16 dan 17 tahun secara purata naik lagi satu kilogram, menurut kajian itu.

Kajian itu, yang meneliti rekod kesihatan elektronik hampir 200,000 belia di rangkaian kesihatan Kaiser Permanente di California Selatan, mengesahkan apa yang telah dialami sendiri oleh ramai warga Amerika: Pandemik itu menambah ukuran pinggang.

Para pakar berkata kajian itu adalah yang pertama seumpamanya yang mengukur kesan gangguan pandemik terhadap kegiatan dan sumber biasa bagi golongan muda.

"Kami tahu berat badan kanak-kanak naik semasa pandemik, tetapi perangkaannya mengejutkan dan lebih buruk daripada yang saya jangkakan," kata Dr Sarah Barlow, pakar obesiti kanak-kanak di Health Children di Dallas yang tidak terlibat dalam kajian itu.

PUNCA KENAIKAN BERAT BADAN

Kenaikan berat badan itu sebahagiannya dikaitkan dengan penutupan sekolah yang mengehadkan akses kepada kegiatan fizikal dan program makanan berkhasiat. Pembelajaran dari rumah, kata para pakar, sering kali dikaitkan dengan gaya hidup yang lebih banyak duduk - dan kerap membuka peti sejuk.

Dr Rachana Shah, seorang pakar pediatrik di Hospital Kanak-kanak Philadelphia, menarik perhatian kesan pandemik terhadap kesihatan mental dan bagaimana tekanan boleh menyebabkan tabiat pemakanan yang buruk. Dr Shah, yang pakar dalam penyakit berkaitan metabolik dan obesiti, berkata, "Selama COVID-19, ramai orang menghadapi kesukaran dan kurang mampu memberi anak mereka pilihan(makanan) yang sihat."

Beliau menambah sebilangan daripada mereka yang mengalami kegelisahan atau kemurungan menggunakan makanan sebagai cara menangani perasaan itu.

Dr Deborah Young, pengarah divisyen kajian tingkah laku Kaiser Permanente dan pengarang kajian itu, berkata beliau menjangkakan lonjakan obesiti akan menurun apabila anak-anak kembali ke sekolah dan rutin lama mereka. Namun beliau dan orang lain menyuarakan kebimbangan bahawa tidak semua orang akan dapat mengurangkan semula berat badan.

"Berat badan berlebihan pada usia remaja dan belia akan membawa kepada berat badan berlebihan hingga ke dewasa dan semua masalah yang berkaitan dengannya, seperti penyakit jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi," katanya.

Cik Jamie Bussel, seorang pegawai kanan program di Yayasan Robert Wood Johnson yang menumpukan kepada obesiti kanak-kanak, berkata bahawa pandemik itu telah memburukkan lagi masalah sistemik seperti kurang akses kepada makanan sihat dalam masyarakat miskin dan sebaliknya mudah untuk mendapatkan makanan ringan dan minuman bergula.

"COVID-19 benar-benar mengetengahkan kegagalan sistem makanan kita," katanya. "Kita memerlukan pembetulan dasar jangka panjang."

Sumber : Today/NYT/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan