Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pameran baru kaitkan lukisan berusia hampir 200 tahun dengan sastera Melayu

Pameran baru kaitkan lukisan berusia hampir 200 tahun dengan sastera Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Banyak unsur alam semula jadi sering dimasukkan ke dalam sastera Melayu seperti pantun, syair dan gurindam. Namun, ada antara haiwan dan tanaman itu tidak diketahui umum bentuk dan rupanya kerana jarang ditemui atau di ambang kepupusan.

Mujur spesis-spesis itu sudah dirakam bentuk dan rupa mereka sebelum zaman terciptanya kamera lagi. Pada dekad 1830-an, Residen pertama Singapura, William Farquhar sudah mula mengupah orang untuk melukis gambar-gambar haiwan dan tanam-tanaman yang ditemuinya semasa pelayarannya di kepulauan Melayu.

Walaupun agak asing bagi karya lukisan di rantau ini pada ketika itu, William Farquhar memperkenalkan gaya lukisan botanikal menggunakan cat air yang sudah popular di Barat.

Sebanyak 477 lukisan dalam koleksi Encik Farquhar diserahkan kepada Muzium Negara dan antaranya dipaparkan dalam pameran terbarunya, "Pelayaran Rindu Dendam".

Sebanyak 36 lukisan dipilih berdasarkan kaitannya dengan sastera Melayu moden dan klasik.

Salah satu lukisan dalam pameran Pelayaran Rindu Dendam di Muzium Negara (Gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

Salah satu lukisan dalam pameran Pelayaran Rindu Dendam di Muzium Negara (Gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

Penolong kurator di Muzium Negara, Syafiqah Jaaffar memberitahu pameran ini dapat memaparkan sisi lain William Farquhar yang mentadbir Singapura dari tahun 1819 hingga 1824.

"Selain mentadbir, William Farquhar merupakan seorang peminat ilmu alam semula jadi. Jadi dalam masa lapangnya dia pergi berekspedisi untuk mencari tahu dengan lebih lanjut tentang flora dan fauna yang terdapat di Semenanjung Melayu ini," jelas Cik Syafiqah.

Pameran ini dibahagikan mengikut tiga peringkat pelayaran iaitu Belayar, Rindu Dendam dan Pulang. Di bahagian Belayar misalnya, para pengunjung boleh mengetahui antara persiapan untuk belayar dan mengenali jenis-jenis kayu yang digunakan untuk membina perahu ataupun pengangkutan air yang lain.

Poster pameran 'Pelayaran Rindu Dendam' (Ihsan: Muzium Negara)

Poster pameran 'Pelayaran Rindu Dendam' (Ihsan: Muzium Negara)

Cik Syafiqah juga memberitahu BERITAmediacorp bahawa pameran ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dan mendapat ilham konsep pelayaran itu daripada suasana pandemik sekarang.

"Konsep pameran ini diilhamkan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan (Circuit Breaker COVID-19). Seperti yang kita maklum, semasa tempoh itu, kita tidak dapat ke mana-mana. Jadi selat yang menjadi penghubung antara pelusuk nusantara tiba-tiba menjadi penghalang," kongsi Cik Syafiqah.

Selain dapat melihat lukisan berusia sekitar 200 tahun dengan lebih dekat lagi, para pengunjung juga boleh cuba merancang pelayaran mereka dalam satu permainan dalam talian yang direka khas bagi pameran tersebut.

Para pengunjung juga boleh memuat turun kad elektronik dan poskad yang mengandungi lukisan dan bait-bait puisi untuk dijadikan cenderahati istimewa yang boleh dikongsikan bersama orang istimewa.

Pameran di Galeri Goh Seng Choo di aras dua Muzium Negara itu akan dibuka kepada orang ramai mulai Rabu (10 Feb). 

Sumber : BERITA Mediacorp/IZ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan