Images
  • oakwood
    Gambar fail hotel Oakwood. (Gambar: Oakwood AMTD Singapore)

Pakej penginapan 'staycation' istimewa sempena 11.11

SINGAPURA: Pasti ada di kalangan anda yang sudah mula membuat perancangan sempena cuti akhir tahun.

Salah satu kegiatan popular tahun ini ialah menginap di hotel tempatan bersama keluarga ataupun rakan.

Dengan jualan murah 11.11 berlangsung tidak lama lagi, Mediacorp membawakan empat hotel yang menawarkan promosi sempena "tarikh istimewa" itu.

ASCOTT ORCHARD SINGAPORE

Terletak di tengah-tengah kawasan beli belah Orchard Road, penginapan di Ascott Orchard memberi anda akses mudah ke pusat beli-belah, tempat makan dan hiburan berdekatan. Ia juga dihubungkan dengan pusat beli-belah Paragon melalui laluan pejalan kaki berbumbung.

Pada 11.11 nanti, anda boleh menempah penginapan di bilik Studio Eksekutif pada hari biasa dengan harga S$180 sahaja, termasuk akses ke kolam renang, gimnasium dan WiFi percuma. Bilik itu juga dilengkapi dengan ruang dapur kecil untuk anda yang ingin menyediakan makanan sendiri.

HOTEL G

Anda tidak ingin berbelanja dengan banyak? Jualan 11.11 juga menawarkan penginapan dua malam di Hotel G yang mana anda malam kedua adalah percuma. Tawaran itu hanya bagi tempoh penginapan sehingga 30 November dan anda perlu menyertakan kod promosi BOGO semasa buat penempahan online.

Jika selalunya anda perlu membayar harga bermula dari S$150 bagi satu malam buat penginapan dua malam, kini anda hanya perlu mengeluarkan S$75 semalam sahaja.

MANDARIN ORIENTAL

Ingin menginap di bilik mewah? Mandarin Oriental menawarkan jualan murah 11.11 yang menjanjikan penjimatan sebanyak 50 peratus. Pakej itu termasuk khidmat kereta limosin, sajian minuman semasa tiba dan jamuan petang serta masa 'check-out' dilanjutkan hingga 6.00 petang. Jika anda menempah Bilik Mandarin atau Oriental, anda juga boleh menggunakan khidmat butler peribadi.

Harganya bermula dari $1,200++ semalam bagi bilik dengan dua kamar tidur sesuai untuk empat tetamu. Pakej itu boleh ditempah dari 11 hingga 22 November.

OAKWOOD PREMIER AMTD

Oakwood Premier AMTD Singapura melancarkan pakej penginapan hari biasa yang baru, dilengkapi dengan tawaran istimewa baucar senaman dan jamuan malam. Para tamu boleh menempah untuk menginap di apartmen satu jenis Deluxe atau Eksekutif dari Isnin hingga Khamis. Apartmen Eksekutif menyediakan ruang dapur, tamu, bilik tidur dan kamar mandi.

Bermula dengan harga S$148, pakej itu termasuk sarapan bagi dua orang, minuman semasa datang, kredit jamuan S$60 dan kelas senaman bagi pelanggan kali pertama. Jika anda menempah pakej itu pada 11.11, anda boleh menikmati diskaun tambahan 11 peratus. 

- CNA/RU/ru

Top