Images
  • dark chocolate
    (Gambar: Pixabay)

Pakar jantung kongsi mengapa beliau makan 100g coklat pahit setiap minggu

SINGAPURA: Meskipun sangat menggemarinya, doktor pakar jantung Michael MacDonald sedaya mungkin mengelakkan daripada memakan manis-manisan dan barang bergula, demi kesihatan.

Namun ada satu pengecualian. Seminggu sekali, "peminat besar" coklat itu akan makan sedikit "dark chocolate", iaitu coklat gelap atau pahit.

Dr MacDonald, 44 tahun, adalah konsultan kardiologi kanan dengan Pusat Jantung dan Vaskular The Harley Street di Hospital Gleneagles.

Pencuci mulut itu bukan sekadar melegakan rasa kempunan; kajian terbaru menyimpulkan ia juga membawa faedah bagi kesihatan jantung.

"Walaupun coklat mempunyai reputasi buruk kerana cirinya yang tidak sihat, pandangan ini sedang berubah kerana kesan-kesan kuat antioksidan dan pelindung jantung," kata Dr MacDonald.

Makan coklat sekurang-kurangnya sekali seminggu dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit jantung koronari, berdasarkan kajian meta yang diterbitkan dalam Jurnal Eropah bagi Kardiologi Pencegahan (European Journal of Preventive Cardiology) tahun lalu.

Untuk mengesahkan sama ada coklat memberi manfaat atau membahayakan arteri koronari, iaitu pembuluh yang membekalkan darah ke jantung, sepasukan pengkaji dari Amerika Syarikat meneliti banyak kajian selama 50 tahun yang lalu yang melibatkan lebih daripada 330,000 peserta.

Mereka yang makan coklat sekurang-kurangnya sekali seminggu mempunyai pengurangan risiko 8 peratus untuk menghidap penyakit arteri koronari berbanding mereka yang kurang makan coklat.

Ini menjadikannya berpotensi menjadi langkah pencegahan terhadap penyakit kardiovaskular - iaitu yang berkaitan jantung dan saluran darah - kata Dr MacDonald.

Penyakit kardiovaskular adalah salah satu penyebab utama kematian di Singapura, menyumbang sekitar tiga daripada setiap 10 kematian pada 2019.

RAHSIA KOKO

Dr MacDonald menjelaskan bahawa manfaat kesihatan jantung mungkin terletak pada bahan utama coklat: Koko.

Koko mengandungi sebatian yang menyihatkan jantung termasuk flavonoid yang bersifat antioksidan, lemak sihat, teobromina, kafein serta mineral seperti kalium, tembaga, besi, fosforus, magnesium dan zink.

Dr MacDonald juga berkata bahawa koko mengandungi kepekatan flavonoid yang lebih tinggi berbanding teh dan wain.

"Flavonoid adalah antioksidan kuat yang melawan radikal bebas, yang membolehkan tubuh anda berfungsi dengan lebih berkesan, sambil melindunginya daripada toksin dan tekanan harian," jelas beliau.

"Sebatian ini didapati dapat memperbaiki tindak balas insulin, tekanan darah tinggi dan fungsi endotel, mengurangkan risiko kencing manis, aterosklerosis (arteri berlemak) dan penyakit kardiovaskular."

Selain manfaat kesihatan jantung, coklat juga dianggap sebagai makanan otak. Beberapa sebatian dikandunginya dikaitkan dengan fungsi kognitif, ingatan dan pembelajaran yang lebih baik serta pengurangan tekanan, tambah Dr MacDonald.

ELAK COKLAT YANG DIPROSES TINGGI

Bagaimanapun sebelum anda mula melantak coklat dengan banyak, dengar nasihat penting ini: Memakan jenis coklat yang salah boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Pakar pemakanan klinikal kanan Rddhi Naidu berkata: “Tidak semua bentuk coklat dapat dianggap sama sihat.

“Memproses dan memanaskan koko boleh menyebabkan kehilangan khasiatnya. Coklat juga sering dirawat dengan alkali untuk mengurangkan kepahitan, boleh mengakibatkan pengurangan kandungan flavanol hingga 60 peratus. "

Cik Rddhi, yang bertugas di Pusat Metabolik Arden di kawasan Cairnhill Road, juga merupakan pengasas Nutriology, sebuah klinik pemakanan digital.

Bagi Dr MacDonald, manfaat kesihatan coklat tidak bergantung pada sama ada ia dijual dari kedai coklat mewah atau di pasar raya. Yang penting ialah kandungan koko.

"Dengan coklat, saya memilih jenis yang lebih gelap dan kurang manis."

Beliau menambah: "Panduan mudahnya adalah, semakin gelap coklat, semakin tinggi kandungan koko, yang bermaksud kadar antioksidan dan sebatian bermanfaat adalah lebih tinggi.

"Sebaliknya, semakin cerah warna coklat, semakin tinggi kandungan lemak dan gula, yang dapat meningkatkan risiko pengumpulan kolesterol, kenaikan berat badan, tekanan darah tinggi, dan diabetes."

AWASI JUMLAH YANG DIMAKAN

Walaupun coklat gelap mengandungi khasiat baik untuk jantung, Dr MacDonald menekankan bahawa pada dasarnya ia masih sejenis "manisan" kerana mengandungi gula dan sedikit susu pekat atau lemak tepu untuk melembutkan teksturnya.

Coklat pahit lebih rendah kandungan tenaga daripada coklat susu atau coklat putih. Coklat gelap masih mengandungi 150 hingga 170 kalori untuk setiap hidangan 30g, atau kira-kira 500 hingga 600 kalori untuk setiap 100g.

Dr MacDonald, yang makan 100g coklat pahit setiap minggu, berkata: “Pelbagai kajian yang meneliti kesan coklat pahit menunjukkan bahawa makan 20g hingga 30g coklat pahit sehari memberikan pelbagai kesan pelindung jantung.

"Atas sebab ini, saya mengesyorkan agar orang dewasa mengambil tidak lebih daripada 30g coklat gelap sehari kerana ia masih boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan jika dimakan secara berlebihan."

Kaedah yang lebih sihat untuk memanfaatkan faedah kesihatan jantung adalah dengan menambahkan serbuk koko tanpa gula ke minuman berkalori rendah seperti susu rendah lemak atau susu badam.

Cik Rddhi mengesyorkan untuk mencampurkan serbuk koko tanpa gula mentah ke smoothie, oat atau puding biji chia untuk membuat makanan ringan atau minuman berperisa coklat.

Serbuk koko mentah juga dapat ditaburkan di atas sepinggan buah atau beri, yang membantu mengurangkan sedikit rasa pahitnya. 

- TODAY/TQ/ha

Top