Images
  • Bernama-madinah
    (Gambar: BERNAMA)

Pak 'Arab' ini bijak bertutur Bahasa Melayu demi pikat pelanggan di Makkah

MAKKAH: Tanah Suci Makkah dan Madinah menarik jutaan pengunjung daripada seluruh pelusuk dunia setiap tahun.

Maka itu, tidak hairanlah jika orang-orang Arab di situ pandai bertutur dalam Bahasa daripada berlainan benua.

Meskipun berketurunan Arab-Pakistan, dua jurujual bernama Mustaffa, 25 tahun dan Ahmad Ansyar, 22 tahun fasih berbahasa dalam bahasa Malaysia berloghat Kelantan. Mereka berdua bertugas sebagai jurujual di kedai Khair Al Bilad Dates di bangunan Hotel Al-Haram, Madnah.

Menurut Mustaffa, ada pelbagai sebab mengapa terdapat pelbagai bahasa di Tanah Suci itu, namun sebab utamanya ialah kemasukan umat Islam pelbagai bangsa dan dari seluruh pelusuk dunia yang datang mengerjakan ibadah haji.

"Peniaga seperti kita bila sudah ada ramai pelanggan yang bercakap dalam berbahasa tertentu, sudah tentu ada keperluan untuk kami belajar sedikit bahasa itu. Tetapi saya belajar Bahasa Melayu dan loghat Kelantan daripada kawan-kawan sekolah," kata Mustaffa.

Menurut beliau, sebahagian besar pelanggan yang berkunjung ke kedainya dan kawasan sekitar hotel itu merupakan rakyat Malaysia.

Ini kerana hotel itu menjadi tempat penginapan jemaah haji Malaysia di bawah kelolaan Lembaga Tabung Haji (TH). Oleh itu, kebolehan berbahasa Malaysia memudahkan para jurujual berinteraksi dengan para pelanggan mereka.

Kebolehan berbahasa Malaysia dan loghat Kelantan itu, katanya, juga membantunya untuk berinteraksi dengan para pelanggan daripada Thailand dan Indonesia, selain rakyat Malaysia. Selain keupayaan Bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia dan Arab, para peniaga di tepi jalan sekitar Madinah juga mampu berbahasa Urdu dan Hindi.

Ini khususnya, bagi memikat jemaah-jemaah Haji daripada benua Asia.

"Ia juga membuka pandangan dan pemikiran orang muda seperti saya yang suka bertanya tentang pelbagai perkara di negara mereka seperti jemaah dari Malaysia, saya suka berbual tentang jenis-jenis makanan di negara mereka," kata salah seorang penjual, Ahmad Ansyar.

Dengan kedatangan para pengunjung dari seluruh negara juga, berlakunya campur aduk dan Makkah serta Madinah berupaya menghasilkan identiti tersendiri.

Menurut peniaga permaidani dan barang perhiasan di Makkah, Salahuddin berkongsi: "Bukan anda seorang yang punya persepsi di Arab Saudi ini majoritinya orang Arab dan berbahasa Arab. Sebenarnya, sejarah latar belakang rakyat berbilang bangsa, bahasa dan budaya di sini agak serupa dengan Malaysia."

"Ramai datang dari negara lain membawa budaya, bahasa dan pelbagai identiti mereka. Kemudian mereka menjadi sebahagian daripada penduduk di sini seterusnya membentuk identiti unik rakyat di negara ini," katanya lagi.

Pengamatan Encik Salahuddin itu ternyata dapat dilihat menerusi kisah latar belakang seorang lagi penjual di Makkah, Muhammad Abdul Rahman, 43 tahun yang menceritakan kisah datuk beliau yang berasal dari Kelantan.

Menurut Muhammad, beliau dilahirkan di Makkah dan datuknya datang ke bandar itu pada sekitar 1950-an dengan menaiki kapal laut bagi mencari rezeki dan menetap di situ demi mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.


"Ramai orang Melayu yang datang ke sini, bukan sahaja dari Malaysia tetapi daripada Indonesia dan Thailand. Keturunan Melayu ramai datang dari Kelantan dan Pattani, Thailand kerana sebab itu ramai orang di sini tahu bahasa Melayu sehinggakan orang Arab pun tahu cakap bahasa Melayu.

"Walaupun tinggal di sini, Malaysia tetap di hati. Kami masih orang Melayu kerana keluarga memang masih ramai di sana dan ada juga yang datang sana melawat keluarga. Saya bertemu jodoh pun di Malaysia, isteri saya orang Batu Pahat, Johor," kata Muhammad yang berniaga di kios minyak wangi dan aksesori di Abraj Janadriyah (Makkah).

Menurut Muhammad lagi, ramai pelanggannya di Abraj Janadriyah adalah jemaah haji Malaysia. Selain boleh berbahasa Melayu untuk menjual barangan, beliau juga dapat menerangkan tentang budaya masyarakat di sini kepada pelanggan dari Malaysia yang dianggapnya satu ibadah juga. 

- BERNAMA/HA/ha

Top