Images
  • doctor generic
    (Gambar hiasan: Pexels)

Osteoartritis: Punca dan cara menanganinya

KUALA LUMPUR: Tanggapan bahawa hanya warga tua terdedah kepada osteoartritis adalah tidak benar kerana orang muda juga boleh diserang radang sendi itu.

Menurut Profesor Dr Abdul Halim Mokhtar, Pakar Perubatan Sukan, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), osteoartritis boleh menyerang orang muda yang serius bersukan atau ada kaitan dengan pekerjaan mereka.

Beliau yang menyifatkan ahli sukan sebagai "pendera sendi" menjelaskan mereka mungkin terlebih guna serta membebankan sendi mereka, menyebabkan terdedah kepada microtrauma yang kemudiannya menjadi osteoartritis.

Microtrauma merujuk kepada kecederaan ringan, yang termasuk koyakan mikro fiber, sarung di sekeliling otot serta tisu penghubung. Ia juga boleh meliputi urat yang tebal atau tendon serta tulang.

Bagi punca yang melibatkan pekerjaan, mereka tidak bersenam dengan cukup dan mempunyai pekerjaan yang memerlukan mereka berdiri, duduk serta mencangkung ketika melaksanakan tugas mereka mungkin juga membebankan sendiri mereka.

“Kita mungkin berkata senaman boleh melindungi seseorang, tetapi kita juga perlu sedar sekiranya terlebih senaman, ini akan membebankan sendiri dan mungkin, terutamanya merosakkan tulang rawan," Dr Abdul Halim memberitahu Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

CARA MENGELAKKAN OSTEOARTRITIS

Sambil menasihatkan ahli sukan agar sesekali berehat sepanjang sesi latihan untuk membolehkan tubuh pulih dan tulang rawan untuk tumbuh semula, beliau turut mengingatkan sekiranya ahli sukan membuat senaman yang berlebihan, mereka mungkin diserang osteoartritis pada usia muda.


(Gambar hiasan: Anupam Mahapatra/Unsplash)

Sementara itu, mereka yang banyak mencangkung, berdiri, berjalan atau naik turun tangga dalam menjalankan rutin kerja harian, perlu sesekali berehat bagi mengelakkan beban berlebihan ke atas sendi mereka.

“Sekiranya keadaan ini berterusan untuk tempoh yang lama, mereka akan berasa sakit di bahagian depan lutut dan sekitar tempurung lutut pada sendi, kemungkinan besar apa yang dipanggil 'patellofemoral joint pain syndrome' yang serupa dengan osteoartritis tetapi keadaan yang tidak berapa teruk,” kata Dr Abdul Halim.

PENYEBAB LAZIM OSTEOARTRITIS

Osteoartritis adalah artritis yang paling lazim dan ia berlaku apabila tulang rawan yang menampan bahagian hujung tulang lama kelamaan menjadi haus.

Meskipun osteoartritis boleh merosakkan mana-mana sendi, gangguan ini biasanya menjejaskan sendi di lutut, buku lali, tulang belakang, tangan dan bahu.

Secara global, osteoartritis adalah penyakit artikular paling biasa. Meskipun tidak ada kajian mengenai jumlah rakyat Malaysia menderita osteoartritis, dianggarkan lebih daripada 60 peratus penduduk di seluruh dunia berumur 60 tahun ke atas mempunyai penyakit ini. Golongan wanita lebih ramai mendapat penyakit ini.

Menurut pakar perubatan UMSC, kerosakan kepada sendi mungkin tidak dapat diperbaiki tetapi keadaan itu boleh diuruskan dengan baik.


Seorang wanita berlari-lari anak (Gambar fail: Shannon Stapleton/Reuters)

Punca penyakit ini pula berbeza daripada seorang kepada seorang yang lain, bergantung kepada umur, gaya hidup, profesi, ciri genetik dan keadaan fizikal.

Berat badan seseorang juga boleh menjadi faktor menyebabkan osteoartritis. Lagi berat, lagi membebankan sendiri bahagian bawah anggota badan, terutamanya pada lutut kerana lutut yang menyokong berat badan.

TRADISIONAL ATAU MODEN – RAWATAN MANA YANG BERKESAN?

Menurut Perunding Ortopedik UMSC, Prof Dr Azlina Amir Abbas, rakyat Malaysia mudah tertarik kepada terapi tradisional yang mereka anggap lebih selamat dan berkesan.

“Perlu berhati-hati dengan perubatan tradisional yang mungkin mengandungi steroid tersembunyi yang boleh menjadikan orang yang mengambilnya berasa lebih sihat tetapi boleh mendapat kesan sampingan yang serius pada jangka masa panjang, " jelas beliau.

Menurut Perunding Reumatologi UMSC, Dr Raja Jasmin Begum, tidak ramai yang sedar bahawa buat masa ini belum ada rawatan farmaseutikal untuk pesakit yang menderita kesakitan dan kehilangan upaya pergerakan fizikal.

“Strategi rawatan utama menggunakan pengubatan penghilang kesakitan dan mengekal atau memperbaiki kekuatan otot menerusi senaman dan fisioterapi. Berjalan dan senaman fizikal membantu memperbaiki kekuatan otot. Sebagai contoh, Tai Chi boleh membantu kawalan otot dan keseimbangan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Abdul Halim tidak mengesyorkan pemakanan makanan tambahan kerana bukan semua disokong bukti klinikal.

“Saya tak berapa suka memberi atau menasihatkan pesakit mengambil supplement. Kami bimbang dengan keselamatan pesakit kerana tidak ada penyelidikan yang menyokong keberkesanannya. Akupunktur boleh memberi sedikit kelegaan tetapi bukan penyembuh, " katanya.

- BERNAMA/TQ/tq

Top