Images
  • cc story
    Perkahwinan orang Melayu Cocos. (Gambar ihsan: Hawkins Bytol) 

Orang Melayu Pulau Christmas, Pulau Cocos: walau 'terpisah' dari nusantara tetap tidak dilupakan

BERITAmediacorp: Orang kita banyak melancong ke Australia, namun hampir tidak satu pun di antara mereka yang melawat dua buah kampung Melayu dalam wilayah Australia ini - iaitu Pulau Christmas dan Kepulauan Cocos.

Semasa BERITAmediacorp ke Pulau Cocos baru-baru ini, para penduduknya menyatakan inilah pelancong Melayu Singapura pertama yang menjejakkan kaki ke sana sejak puluhan tahun lalu.

Jadi persoalannya, adakah orang Melayu Cocos dan orang Melayu Pulau Christmas 'The Forgotten Malays'? atau orang-orang Melayu yang dilupakan?

Masihkah penduduknya memperjuangkan budaya, agama dan identiti Melayu?


MASYARAKAT KECIL & AKRAB

Kunjungan kami ke Pulau Christmas mendapati, sebahagian besar penduduk Melayunya menetap di sebuah perkampungan yang dipanggil Kampong Melayu Flying Fish Cove.

Inilah penempatan bagi hampir 300 orang Melayu yang menetap di Pulau Christmas, membentuk 20 peratus daripada keseluruhan 1,500 penduduknya. Tempat tinggal mereka - mirip dengan flat-flat di Singapura pada era 60-an.


Di sini jugalah terletaknya Masjid At-Taqwa - pusat untuk masyarakat Melayu di sini berhimpun.

Malah, keakraban antara jiran tetangga amat dirasakan.


Lebih-lebih lagi apabila tiba waktu untuk menganjurkan pelbagai kegiatan Melayu/ Islam seperti sambutan Maulid Nabi dan kenduri-kendara.

"Kita tahu kita luar daripada masyarakat yang lebih banyak, lagi besar. Kita yang kecil ini kita lagi sama rapat, lagi kita kuat. Jadi kita dirikan, tunjukkan ugama kita sama kita punya kebudayaan kita," kata Encik Mohamad Othman Dardak, 60 tahun, seorang penduduk Pulau Christmas yang dilahirkan di Singapura.

Pada tahun 1968, beliau dibawa ibu bapanya berpindah dan menetap di Pulau Christmas.


Encik Mohamad Othman Dardak, penduduk Pulau Christmas.

AGAMA ISLAM AGAMA MAJORITI PULAU CHRISTMAS

Menurut seorang penduduk Melayu tertua ketika ini di pulau tersebut, Encik Arshad Sidek, orang-orang Melayu terawal yang tiba, sebahagian besar berasal dari Indonesia dan Malaysia.

Ada segelintir yang lahir di Singapura, namun dibesarkan di Pulau Christmas atau berkahwin dengan orang di sini.

"Dulu-dulu orang yang datang sini dari Bawean, dari Indonesia. Dari Ambon, dari Aceh datang sini. Mereka bawa buah kelapa, ditanam sampai sekarang hidup. Lagi satu, banyak lagi orang Malaysia dari Melaka," kata Encik Arshad,89 tahun.


Penduduk Melayu tertua ketika ini di Pulau Christmas, Arshad Sidek, 89 tahun. 

Dengan 19.4 peratus penduduknya beragama Islam, masyarakat Muslim merupakan antara kelompok terbesar di pulau berukuran 135 kilometer persegi ini.

Encik Greg Mcintosh, Ketua Majlis Ugama Islam Pulau Christmas mendedahkan - jumlah itu kian meningkat.

"Muslim di pulau ini cenderung untuk kekal menetap di sini. Asal-usul mereka di sini. Jadi masyarakat Melayu khususnya menganggap pulau ini rumah mereka. Ini satu-satunya tempat tinggal mereka. Mereka adalah Warisan Melayu Pulau Christmas," beliau memberitahu BERITAmediacorp.


Greg Mcintosh, Ketua Majlis Ugama Islam Pulau Christmas.

MELAYU COCOS MASIH KEKALKAN TRADISI

Sebuah lagi perkampungan Melayu, terletak kira-kira 980 kilometer dari Pulau Christmas, mempunyai hanya 600 penduduk.

Majoritinya orang Melayu Cocos.

Kira-kira 450 penduduk di Kepulauan Cocos atau Keeling ini, adalah orang Melayu - menjadikannya satu-satunya ‘pulau Melayu’ dalam negara Australia.

Walaupun sudah hampir 200 tahun hidup 'terpisah' daripada dunia Melayu Nusantara, mereka tetap mengekalkan ciri-ciri kemelayuan: masih mengamalkan adat bersanding; masih bersongkok, berbaju kurung, berkompang; dan masih berkenduri.


PANGGILAN NAMA ORANG COCOS IKUT 'PANGKAT'

Namun mereka juga menciptakan beberapa adat dan ciri-ciri unik yang diamalkan Melayu Cocos sahaja.

Salah satu yang paling ketara adalah cara panggilan nama seseorang mengikut ‘pangkat’ selepas mendapat anak sulung atau cucu pertama, menurut Cik Khatijah Bytol.

"Jadi makcik, anak yang pertama, Hefni. Mula-mula orang panggil saya Mak Hefni. Anak yang pertama. Apabila anak saya kahwin, yang kedua itu, dapat anak, Huzaifah, dipanggil Nek Huzaifah sekarang saya. Itu bezanya, unik. Kadang orang tak faham macam bingungkan?," jelas Cik Khatijah, penduduk Pulau Cocos yang berusia 69 tahun.


Cik Khatijah Bytol bersama suaminya, Cik Hawkins Bytol.

BIMBANG IDENTITI TERHAKIS; ORANG TUA MAIN PERANAN

Hakikatnya, meski masih berpaut pada adat dan budaya keturunan nenek moyang mereka, para penduduk khuatir, identiti masyarakat Melayu di kedua-dua pulau ini mungkin terhakis dek ditelan masa.

Lebih-lebih lagi dengan kecenderungan anak muda untuk keluar merantau, mencari pekerjaan dan kehidupan baru di bandar-bandar besar Australia.

"Kebudayaan itu separuhnya hilang. Pasal pemuda-pemuda sekarang tidak mahu mengamalkan. Jadi separuh-separuh hilang. Tapi masih kekal dalam kebudayaan perkahwinan jadi yang lain-lain sudah kurang daripada aslinya," Nek Fifi, penduduk Pulau Cocos, memberitahu BERITAmediacorp.

Sungguhpun demikian, Encik Mohamad Othman menekankan bahawa orang lama di Pulau Christmas memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak muda masih mengamalkan adat budaya Melayu.

"Kebudayaan kita kena ada juga, itu simbol kita orang Melayu kan? Jadi itu yang kita masihlah sekarang pun cuba dorong anak-anak muda, paling-paling yang kecil-kecil," ujar beliau.


Masyarakat Islam Pulau Christmas.

TIDAK RASA TERPINGGIR

Jelas, identiti Melayu masyarakat Kepulauan Cocos dan di Pulau Christmas masih kekal utuh.

Jadi, adakah penduduk pulau Cocos dan Christmas rasa dipinggirkan?
"Saya tak pernah rasa terpinggir pula. Sebab kita walaupun jauh, tapi media dah ada kan? Sekarang bukan macam dulu lagi. Kita masih terdedah kepada apa-apa yang terjadi di Malaysia melalui internet, melalui TV semua," kata Cik Faridah Baharom, penduduk Pulau Christmas.


Cik Faridah Baharom, penduduk Pulau Christmas.

Hakikatnya walaupun dari sudut geografi ‘terpisah’ dari rumpun Melayu di belahan nusantara,bagi orang-orang Melayu Lautan Hindi warga Australia itu jarak ribuan kilometer tidak terasa. 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/nk

Top