Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

NUANSA: Buku skrap kuih Raya milik nenek & suasana buat kuih dulu-dulu

Ramai yang suka kuih tat. Tapi kalau anda tahu asal usul ‘tat gulung’ anda pasti ketawa. 

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Buku skrap kuih Raya milik nenek & suasana buat kuih dulu-dulu

Gambar hiasan Kuih Tat. (Gambar: Seharum Dapur Bonda KC/ Facebook)

BERITAmediacorp: Sewaktu kecil dahulu, ada satu pengalaman yang mengasyikkan setiap Hari Raya menjelang. Saya melihat nenek mengeluarkan buku saktinya. Ia semacam buku skrap yang diconteng, dan ditampal 10 macam keratan akhbar, foto kuih muih berwarna-warni dan lukisan sendiri yang dilagakkan sebagai ilustrasi pakar.

Kemudian, akan ada ramai jiran orang perempuan menghurung dapur kami, menggentel tepung. Tentu, akan ada hilai tawa yang seakan-akan tidak menemui pelabuhan. Juga bisik gosip liar yang selalunya tiba-tiba direndahkan suara seolah-olah orang yang diumpati itu ada di dinding sebelah.

Bunyi perkakas yang berlagaan. Menjelang selepas zohor, bau kuih-muih yang menyelerakan terapung dan masuk menjentik deria hidu. Kalau saya tidak berpuasa, saya akan berpeluang merasa dulu. Saya diminta menjadi tukang kecap pertama.

BUKU SAKTI NENEK DITEMUKAN – BUKU RESEPI!

Makcik yang berhimpunan di dapur nenek itu semua akan merenung saya dengan mata masing-masing teramat ingin tahu. Mereka akan mendengar komen saya. Sedap atau tidak sedap sangat tak memadai.

Saya harus menawarkan kosa kata yang lebih, misalnya; ‘Kurang inti’; atau ‘Lemak dah boleh’; juga ‘Kesat’; atau yang selalu membuatkan mereka lega ialah bila saya memberikan ultimatum; ‘Ini Raya terbaik tentunya.’

Ketika berkurung di rumah akibat penularan pandemik COVID-19, tidak punya kesibukan seperti selalu; maka saya menyelongkar kembali peti kayu nenek. Ada macam-macam yang saya temui. Akan tetapi paling mengujakan ialah buku saktinya itu saya temui kembali.

Buku skrap nenek itu ternyata bukan sekadar tampalan keratan akhbar mengenai resepi kuih muih Raya yang aneka jenis. Tetapi sebetulnya, buku skrap itu adalah dokumen masa. Ia adalah rekod era 1950-an dan 1960-an. Membacanya membuat saya terlongo.

WARISAN GASTRONOMI

Saya menemukan garis sejarah biskut masyhur yang ada hari ini. Sebahagian besar keratan akhbar itu dari Berita Harian. Juga kebanyakannya berpusatkan Singapura. Makanya buku skrap nenek itu adalah warisan berharga ilmu gastronomi.

Mengapakah jiran tetangga berkumpul di dapur nenek? Barulah saya menyedari apabila saya membaca semula keratan akhbar Berita Harian bertarikh 21 Januari 1965, dengan rencana tulisan Rashidah Ismail di halaman lima bertajuk ‘Kueh Apa Untok Hari Raya & Tahun Ini?’.

Saya memahami mengapa petang-petang Ramadan itu dapur nenek ditumpu sekumpulan wanita yang ternampak begitu ghairah dengan pembakar kuih nenek. Begini, menurut Rashidah, alat untuk membuat biskut pada waktu itu sangat mahal.

Bukan itu sahaja, barangan membuah kuih seperti gula dan tepung itu sendiri tinggi nilainya. Tidak semua alatan dapur canggih waktu itu senang digunakan. Malah untuk ramai perempuan, ia merupakan ilmu yang terlalu jauh untuk dicapai. Jadi Rashidah menulis begini, saya petik:

‘Bagaimana dengan wanita2 yang tidak mempunyai kelengkapan untok membuat kueh? Bagaimana kalau tidak ada ‘dapor’ memasak kueh atau ‘oven’ walau ‘oven’ minyak tanah sekalipun? Dan yang lebeh sulit lagi bagaimana kalau tidak ada achuan, tidak ada alat2 pemukul telor, tidak ada alat menimbang dan sabagainya.’

Acuan kuih. (Gambar: Babab.net)

Acuan kuih. (Gambar: Babab.net)

KONSEP ‘KONGSI DAPUR’ DULU-DULU

Jadi, kaum perempuan ini akan berkongsi-kongsi dapur. Mereka akan mencari seorang induk yang pandai membakar dan memasak, yang juga sedikit terkehadapan dan reti serba-serbi. Kuih-muih itu bila siap akan dibahagi-bahagi, tetapi pemilik dapur selalu diberi bahagian lebih.

Kadang mereka berkongsi bahan membuat kuih itu. Kerja-kerja secara berkumpulan itu ternyata tidak meletihkan meskipun berpuasa kerana memukul telur bukan terpusat satu tenaga tetapi boleh dibuat bergotong royong.

Pada buku skrap nenek ada gambar iklan Bird’s Custard. Bunyinya begini, ‘Kream chap burong lembut kekuning2-an akan menjadikan kueh2 dan penganan2 Hari Raya Puasa (dimerahkan warna tulisannya) inche2 lazat rasanya: Sa-mestinya kerana awak Hari Raya Puasa.’

Ada juga keratan akhbar Berita Harian 5 Mac 1962 di halaman 6, yang tercatat antara lain; ‘Gula2 Kelapa adalah satu manisan yang ringkas dan tidak memerlukan oven untok membuat-nya; manisan ini sakadar di-kachau di-dalam periok saja. Gula2 ini sa-mestinya popular di-kalangan tamu2 kechil, pada waktu hari raya nanti.’

Gambar hiasan ketuhar. (Gambar: Shopee/catherinelohwh))

Gambar hiasan ketuhar. (Gambar: Shopee/catherinelohwh)

‘KUEH ROCK ’N ROLL’

Kemudian ada sebuah lagi keratan semacam berita pendek dari The Straits Times bertarikh 25 April 1957 di halaman 7 berjudul ‘Rock ‘n Roll Cakes: Housewives bake a special for that Hari Raya Feast’. Muatan berita itu melucukan.

Begini, diperikan; ‘Malay housewives, often regarded as conservative, are fast catching up with the times. Though they are barred by religion from taking part in the latest teenage dance craze, they still keep a keen watch on the latest developments around them. And out of the seclusion of their kitchens they have produced the latest speciality in Malay cake making for Hari Raya. They call it Kueh rock ‘n roll.’

Menurut laporan itu kuih ini dijual di Geylang Serai dengan harga antara $5 hingga $25. Akan tetapi terdapat juga pandangan yang kuih ini sasarannya anak muda kerana orang yang lebih berusia berasa gusar dengan namanya; ‘It’s going well with teen-agers but old people and the hajis have their reservations - as they have on rock ‘n roll itself.’

SUKATAN IKUT ‘TIN ROKOK’ ATAU ‘CHAMCHA’ 

Pada halaman lain di buku skrap nenek tersebut terdapat tampalan lain; sebuah laporan akhbar Berita Harian bertarikh 21 Mac 1960 di halaman 6, ‘Sudahkah Siap Kueh2 Untok Hari Raya Ini?’. Di sini saya membaca perihal bermulanya kegilaan membakar biskut Raya atau dirujuk sebagai kuih kering untuk sajian tetamu di hari Lebaran.

Kuih-muih yang diperkenalkan itu adalah kuih bangkit dan kuih kacang yang dipelbagaikan secara kreatif:

‘Jenis kueh kering yang disiarkan itu ialah: pertama kueh bangkit bertatah buah2an saperti kismis cheri, atau kachang goreng; kedua ialah kueh bangkit bertatah kachang goreng yang telah dihanchorkan; ketiga ialah kueh kering yang dibuat dengan kurma, dan keempat ialah kueh bangkit halia.’

Oleh sebab kuih-muih ini spontan menjadi tersohor, terdapat keratan akhbar yang menjelaskan cara membuatnya. Saya dengan ralit sekali menilik buku skrap nenek itu.

Kuih-muih ini mendadak popular kerana dikatakan ramuannya ringkas sahaja seperti tepung gandum, mentega dan gula. Untuk ibu-ibu yang tiada alat penimbang; ukuran ramuan itu mudah dikira dengan sukatan ‘tin rokok’ atau pun ‘chamcha’.

Kuih Bangkit. (Gambar: kuali.com)

Kuih Bangkit. (Gambar: kuali.com)

Satu lagi faktor kuih-muih kering mendapat perhatian ramai di hujung dekad 1950an dan awal 1960an itu ialah kerana ia mudah dibakar; ‘Kueh2 kering ini boleh di-bakar di-dalam oven (minyak tanah, gas, atau elektrik), atau pun boleh juga di-masak di-dalam periok besar yang telah di-isikan sadikit pasir, dan kemudian loyang yang berisi kueh bangkit di-letak di-atas pasir itu.

Kalau menggunakan periok, hendaklah di-jaga apinya ya’ani bara di-atas dan di-bawah periok itu hendaklah rata dan sederhana panasnya. Sa-baiknya gunakanlah bara arang, tempurong atau pun sabut kelapa.’

ASAL USUL KUIH ‘TAT GULUNG’

Satu lagi yang membuat saya terlongo saat menatap buku skrap nenek ialah perihal bagaimana munculnya tat gulung. Sebetulnya kuih tat adalah kuih tradisional yang disediakan secara tradisi dengan mengepit keliling kuih tersebut. Ia juga dikenali sebagai kuih tat nanas kepit.

Kuih Tat Gulung. (Gambar: cikmatahariku/blogspot)

Kuih Tat Gulung. (Gambar: cikmatahariku/blogspot)

Akan tetapi rupa-rupanya kuih tat gulung itu muncul dalam sekitar tahun 1964. Buku skrap nenek merekodkan satu keratan akhbar Berita Harian 3 Februari 1964 yang judulnya cukup menarik perhatian: ‘Nama2 yang agak ganjil di-beri untuk kueh2 moden’.

Ceritanya begini, kuih tat gulung itu diberi jolokan kuih ‘Playboy’. Ia malah dilaporkan sangat terkenal di Bussorah Street. Kuih ini digambarkan sebagai; ‘Kueh tersebut berbentok panjang dan bulat merupakan saparti kueh dadar dan di-dalam-nya berisi nenas yang sudah dilumatkan.’

Kuih tat gulung ini munculnya tidak sengaja. Dalam laporan akhbar pada buku skrap nenek itu dihuraikan bagaimana ia tiba-tiba terjadi:

‘Mencheritakan bagaimana kueh itu boleh dinamakan Playboy orang tua ini menerangkan: Tadinya saya memang hendak membuat kueh tat. Kerja membuat kueh ini sengaja saya serahkan kepada anak lelaki saya berumor 19 tahun. Oleh kerana anak saya itu tidak mengerti hendak menyepit dikeliling bulatan kueh tersebut, maka dengan tidak sa-tahu saya dia terus sa-chara memandai2 menukar bentok kueh itu yang asal-nya bulat dan piper di-ubah kapada bentok yang merupakan sa-akan2 kueh dadar yang panjang-nya kira-kira 4 inchi.’

Kuih tat gulung itu kemudiannya diterima ramai dengan mudah memandangkan pembuatannya ‘menjimatkan waktu, kerja menyepet di-keliling bulatan kueh tersebut tidak payah di-gunakan lagi.’

Selain rahsia asal-usul kuih tat gulung di atas, buku skrap nenek juga ternyata menjadi petunjuk bahawa kek pisang yang agak terkenal hari ini munculnya pada tahun 1961 di mana terdapat keratan akhbar berbunyi, ‘Kek Pisang rasa-nya sedap dan luar biasa.’. Ikut sekali kek pisang itu ialah kek kopi.

Kandungan sakti buku skrap nenek ini menurut saya wajar dikongsikan kepada generasi hari ini. Saya akan menulis satu lagi pemerihalan mengenai biskut raya ini kelak. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan