Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

NTUC Income lancar mikropolisi; premium insurans boleh dibayar pada bila-bila masa

Syarikat insurans NTUC Income melancarkan model insurans mikropolisi yang membolehkan para pelanggan untuk membahagikan bayaran premium kepada beberapa urus niaga kecil serendah S$0.30 dengan hanya menekan satu butang pada aplikasi mudah alih.

Anggaran Waktu Membaca:
NTUC Income lancar mikropolisi; premium insurans boleh dibayar pada bila-bila masa

Para pelanggan mikropolisi NTUC Income boleh memadankan pelan yang dilanggani dengan satu atau lebih rutin gaya hidup seperti menaiki pengangkutan awam untuk membayar premium. (Gambar: Snack by Income/YouTube)

Diterbitkan : 13 Jun 2020 11:54AM Dikemas Kini : 13 Jun 2020 11:58AM

SINGAPURA: Syarikat insurans NTUC Income melancarkan model insurans mikropolisi yang membolehkan para pelanggan untuk membahagikan bayaran premium kepada beberapa urus niaga kecil serendah S$0.30 dengan hanya menekan satu butang pada aplikasi mudah alih.

Khidmat yang diberi nama Snack itu membolehkan para pengguna untuk menggabungkan bayaran premium insurans yang kurang daripada S$1 dengan pelbagai kegiatan seperti menaiki pengangkutan awam atau membeli makanan dan minuman.

Bayaran-bayaran kecil itu akan dikumpulkan untuk membayar pelan perlindungan insurans termasuk bagi polisi penyakit kritikal dan kemalangan - tidak seperti sebelum ini di mana premium insurans dibayar secara pukal setiap tahun atau bayaran bulanan.

Khidmat ejen insurans juga tidak diperlukan kerana pelan insurans boleh diaktifkan menerusi sebuah aplikasi. Selain itu, tiada syarat dikenakan berhubung kekerapan membuat bayaran premium dan para pelanggan juga boleh membatalkan pelan perlindungan mikropolisi itu pada bila-bila masa saja.

Setiap mikropolisi tertakluk kepada jumlah perlindungan yang ditetapkan, bergantung kepada latar belakang pelanggan dan struktur pembayaran premium. Pelan-pelan yang dilanggani juga sah selama 360 hari dari hari bayaran dibuat.

Kaedah pembayaran baru ini dilancarkan selepas NTUC Income bekerjasama dengan syarikat kereta sewa Grab tahun lalu unutk menawarkan pelan mikroinsurans kepada para pemandu Grab untuk memberikan mereka perlindungan yang lebih baik terhadap penyakit-penyakit kritikal.

Kali ini, syarikat penyedia insurans itu berganding bahu dengan pengeluar kad tambang pengangkutan EZ-Link, aplikasi makanan Burpple dan pengilang alat pemantau tahap kecergasan Fitbit, dengan lebih banyak syarikat seperti kad kredit Visa bakal menyertai inisiatif itu, menurut NTUC Income.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI

Pengguna Snack boleh memilih salah satu daripada tiga peringkat premium (S$0.30, S$0.50 dan S$0.70).

Mereka boleh memadankan satu atau lebih rutin gaya hidup dengan pelan perlindungan tertentu untuk membayar premium polisi insurans tersebut.

Bayaran akan dibuat menerusi kad kredit yang dihubungkan dengan aplikasi Snack.

Rutin-rutin gaya hidup lain yang boleh dipadankan termasuk berjalan 5,000 langkah menggunakan Fitbit atau membeli makanan dan minuman menggunakan Burpple, tertakluk kepada had S$50 bagi setiap kaedah.

Pengguna juga boleh menambah perlindungan insurans mereka secara bertahap-tahap.

JENIS PERLINDUNGAN YANG DITAWARKAN

Snack menawarkan tiga mikropolisi: Penyakit kritikal, kemalangan dan perlindungan hayat.

Perlindungan maksimum bagi penyakit kritikal dan insurans hayat adalah S$200,000 sementara perlindungan bagi kemalangan adalah S$100,000.

Tuntutan insurans boleh dibuat menerusi aplikasi itu dan akan dibayar menerusi khidmat pembayaran digital PayNow.

PEKERJA BEBAS, PELAJAR JUGA BOLEH RAIH MANFAAT

Ketua Pegawai Digital NTUC Income Peter Tay, berkata mikropolisi dan kaedah pembayaran premium itu "menjadikan insurans lebih relevan dan mudah diakses oleh semua pihak, sekali gus memastikan ia mudah disesuaikan dengan keperluan gaya hidup dan kedudukan kewangan seseorang".

Beliau menambah bahawa para pelajar pengajian tinggi dan golongan yang bekerja sendiri akan meraih manfaat daripadanya, sementara mereka yang makan gaji boleh memanfaatkannya untuk melengkapkan pelan sedia ada.

PERALIHAN KE DIGITAL

Pemain-pemain industri lain yang ditemui Mediacorp berkongsi bahawa beberapa perubahan sedang berlaku dalam bidang insurans seperti pendigitalan khidmat.

Cik Tng Hui Min, seorang perunding kanan kewangan dengan firma insurans Prudential akur tentang penggunaan teknologi dan aplikasi yang semakin meluas dalam gaya hidup.

"Sebilangan besar rakyat Singapura cekap memanfaatkan teknologi dan pendakapan digital di sini agak tinggi. Inovasi ini berlaku dalam banyak industri dan disebabkan itu, sektor insurans juga berinovasi dan memanfaatkan kaedah digital untuk memenuhi permintaan pelanggan kami."

Ryan Cheong, Pengarah Urusan unit perniagaan digital Great Eastern, juga berkata bahawa pendigitalan industri membantu dengan menyediakan sokongan yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Syarikat-syarikat insurans di Singapura yang dihubungi Mediacorp berkongsi bahawa walaupun ia tidak menawarkan pelan perlindungan mikropolisi, ia menawarkan pendekatan serupa untuk polisi-polisi insurans tradisional.

Contohnya, jurucakap Prudential berkata pelan PruCancer 360 dan PruActive Saver II dilakar dengan matlamat untuk menjadikan premiumnya lebih dimampui, mudah disesuaikan dan fleksibel.

Great Eastern juga melancarkan polisi seperti Great Comprehensive Care yang menawarkan perlindungan dengan harga premium serendah S$1 sehari. Pelan itu dikatakan akan membantu golongan yang bekerja sendiri dan para pekerja bebas. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan