Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

NLB, Kumpulan Pencinta Jawi galak orang awam bantu transliterasi naskhah jawi kepada rumi

Kita tahu bahawa manuskrip Jawi paling awal ditulis tangan yang masih ada, bermula sejak abad ke-17 lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
NLB, Kumpulan Pencinta Jawi galak orang awam bantu transliterasi naskhah jawi kepada rumi

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 04 Apr 2018 11:50PM Dikemas Kini : 05 Apr 2018 08:23AM

BERITAMediacorp: Kita tahu bahawa manuskrip Jawi paling awal ditulis tangan yang masih ada, bermula sejak abad ke-17 lagi.

Bagi pencinta penulisan naskhah jawi di Singapura, kami ada berita gembira untuk anda. Walaupun hanya segelintir sahaja daripada masyarakat kita sekarang yang boleh membaca dan menulis jawi dengan baik, namun ini tidak bermakna khazanah ini akan terus pupus dan hanyut ditelan zaman.

Oleh itu, Perpustakaan Negara (NLB) memulakan usaha mengadakan sesi mengalihkan aksara jawi ke rumi, bermula pada bulan lalu. Sesi pertama yang diadakan di bangunan Perpustakaan Negara, di Victoria Street itu menarik lebih 20 penyertaan daripada para penggemar jawi setempat.

Bahkan, Kumpulan Pencinta Jawi (KPJ) ditubuhkan di media sosial untuk memuat naik maklumat terkini bagi anggotanya.

Menurut Pustakawan Kanan, Encik Mazelan Anuar, sebab utama kumpulan itu diadakan disebabkan terdapat minat yang mendalam daripada pelbagai lapisan masyarakat terhadap penulisan jawi.

Beliau berkata, NLB bersama Zamil Penyelidik George Lyndon Hicks Dr Jan Van der Putten dan Dr Koh Keng We, Penolong Profesor Sejarah di Universiti Teknologi Nanyang, sudah menganjurkan tiga bengkel mengenai teks Jawi dan koleksi Perpustakaan Negara Jawi dari bulan Disember 2017 hingga Februari 2018.

Menurutnya, bengkel itu disambut baik dan setiap bengkel dihadiri oleh lebih 20 peserta secara purata. Terdapat juga para pelajar dari pusat-pusat pengajian tinggi dan peminat jawi setempat. Selain itu, NLB juga pernah mengadakan satu pameran pada bulan Oktober 2017.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

Ini sebagai sebahagian daripada pameran Perpustakaan Negara berjudul "Tales of the Malay World" (Hikayat Dunia Melayu). Ia adalah program pengenalan kepada teks Jawi dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Katanya lagi, sebagai sebuah badan maklumat dan pembelajaran serta penyelidikan di rantau ini, NLB bertanggungjawab untuk memelihara warisan budaya dan kesusasteraan serta menyediakan khidmat rujukan yang sudah dikenali ramai.

SUPAYA GENERASI AKAN DATANG DAPAT MANFAATKANNYA

Melihat ramai peminat jawi di Singapura ini, Perpustakaan Negara memutuskan untuk menubuhkan kumpulan kepentingan jawi atau kumpulan pencinta jawi (Jawi Interest Group) dan sesi pertama diadakan pada 3 Mac lalu.

Kumpulan itu bertujuan menggalak lebih ramai daripada mereka untuk menolong mengakses koleksi tulisan jawi yang terdapat di NLB.

“Pihak kami sedang berusaha untuk ‘menghidupkan’ dan menggalak lebih ramai peserta khususnya pencinta teks jawi untuk bersama-sama menyertai usaha murni menggali hikmah yang terkandung dalam manuskip lama dan melestarikannya.

“Tugasan para penggiat jawi itu adalah untuk menolong secara sukarela, mengalih aksara teks jawi kepada huruf rumi, agar generasi akan datang dapat memanfaatkannya,” Encik Mazelan memberitahu BERITAMediacorp.

Sesi itu diadakan setiap bulan di Perpustakaan Negara dan sesi kedua akan berlangsung pada pukul 3.00 petang, Sabtu ini (7 Apr).

“Pada masa ini, kumpulan ini bertemu setiap bulan untuk mengalih aksara atau membuat transliterasi pelbagai karya dan akhbar Jawi di koleksi Perpustakaan Negara. Melangkah ke hadapan, kami merancang untuk membolehkan pengguna mengalih aksara secara dalam talian.

“Kami juga mengalu-alukan cadangan dan maklum balas tentang bagaimana kami boleh melayari teks jawi ini dengan lebih cekap lagi,” ujarnya.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

Sebagai permulaan, NLB memutuskan untuk mengalih aksara cerita ‘Geylang Serai Karam’ oleh Ahmad Lutfi, kerana beliau merupakan seorang penulis prolifik serta penerbit yang hebat (dari Qalam Publisher) selepas Perang Dunia 2 dan ramai yang sudah mengetahui dan meminati karya-karyanya.

TAHU JAWI BANTU GALI HIKMAH, ILMU DALAM BUKU LAMA

Namun persoalannya, bolehkah jawi diterima oleh generasi muda hari ini?

NLB berpendapat, terdapat gabungan yang positif daripada kedua-dua peserta; golongan belia dan yang berusia untuk sesi pertama jawi yang diadakan baru-baru ini.

Mereka berharap agar dapat memupuk minat dan penghargaan yang tinggi terhadap penulisan jawi oleh semua lapisan masyarakat termasuk generasi muda dengan mewujudkan lebih banyak peluang dengan mengadakan sesi-sesi pertemuan dan transliterasi jawi.

Salah seorang peserta kumpulan pencinta jawi yang dihubungi BERITAMediacorp adalah Encik Shaffiq Selamat. Beliau merupakan seorang penulis dan penterjemah mapan, juga pentadbir di laman media masyarakat bagi kumpulan tersebut.

Menurutnya, dalam akhbar atau makalah bertulisan jawi, terkandung banyak catatan serta rakaman peristiwa, isu kemasyarakatan dan juga perkembangan politik pada zaman dahulu yang boleh kita pelajari dan ketahui.

“Mungkin belia atau generasi muda kita sekarang kurang berminat untuk mempelajari jawi pada masa ini. Tapi pada hemat saya, kelebihan berkemahiran dalam tulisan jawi dapat memudahkan kita menggali hikmah dan ilmu yang ada dalam ribuan buku silam. NLB juga mempunyai koleksi yang luas untuk buku-buku jawi.

“Saya harap dengan terbentuknya kumpulan ini, kami dapat terus saling menyokong dan membantu NLB mengalih aksara tulisan jawi ke rumi, bagi memudahkan pembaca moden membaca karya-karya silam dan memberikan manfaat kepada kita semua,” jelas Encik Shaffiq, 48 tahun.

Terdapat banyak buku, naskhah dan majalah bertulisan jawi dalam koleksi NLB dan boleh diperolehi (menerusi permintaan) di Perpustakaan Rujukan Lee Kong Chian.

NLB juga sudah mendigitalkan beberapa buku dan manuskrip dan boleh diperolehi online di BookSG (http://eresources.nlb.gov.sg/printheritage)

Untuk maklumat lanjut atau jika anda ingin menyertai kumpulan itu, anda boleh melungsuri laman Facebook/Kumpulan Pencinta Jawi. Atau terus ke http://www.nlb.gov.sg/golibrary 

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan