Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Nikmati buah segar, pemandangan berbukit ajak pengunjung bersantai di Durian Ecolodge

Rasa cinta kepada tanaman kerana dibesarkan dalam keluarga yang mengusahakan perniagaan nurseri sejak 40 tahun lalu telah mendorong Bong Choong Wei, 50 tahun, untuk membuka Durian Ecolodge di Kampung Pondoi di Tampin, Negeri Sembilan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Nikmati buah segar, pemandangan berbukit ajak pengunjung bersantai di Durian Ecolodge

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Sep 2020 10:36AM Dikemas Kini : 01 Sep 2020 10:37AM

TAMPIN: Rasa cinta kepada tanaman kerana dibesarkan dalam keluarga yang mengusahakan perniagaan nurseri sejak 40 tahun lalu telah mendorong Bong Choong Wei, 50 tahun, untuk membuka Durian Ecolodge di Kampung Pondoi di Tampin, Negeri Sembilan.

Keistimewaan Durian Ecolodge, yang diusahakan di atas tanah seluas empat hektar, bukan sahaja setakat kawasan dusun yang dipenuhi dengan tanaman buah-buahan tempatan terutamanya durian tetapi turut dilengkapi dengan 20 jenis penginapan berkonsepkan karavan dan rumah penginapan.

Bong berkata penginapan itu disediakan bagi membolehkan pengunjung beristirahat dan menikmati suasana indah di kawasan dusun sambil menikmati buah-buahan segar pada harga yang lebih murah.

Terletak kira-kira 22 kilometer dari Plaza Tol Simpang Ampat dan bersempadan dengan Melaka, Bong berhasrat menjadikan Durian Ecolodge sebagai satu daripada daya tarikan pelancong bagi sektor agropelancongan baru di negeri itu.

“Pada hujung tahun 2018, saya mula mencari tapak yang bersesuaian untuk buka satu kawasan yang bukan sahaja terdapat dusun tetapi ada kebun buah dan penginapan bagi orang ramai, termasuk pelancong dalam dan luar negara, menikmati buah-buahan tempatan khususnya raja buah yang segar dari dusun. Ini di samping menginap dalam dusun dengan suasana yang lebih selesa,” kongsinya kepada Bernama baru-baru ini.

Bong berkata pokok buah-buahan selain durian iaitu mangga, manggis, mata kucing, markisa, belimbing, betik, dokong, nanas serta kelapa pandan mula ditanam pada awal tahun 2019 dan kini pokok-pokok itu membuahkan hasil dan sedia untuk dinikmati para pengunjung.

Beliau menambah terdapat 390 pokok durian di dusun itu sehingga kini antaranya Musang King, D24, durian susu dan durian kampung. 

“Harga penginapan bermula dari RM250 hingga RM400 (S$80 - S$130) satu malam, pengunjung yang bermalam di sini akan menikmati buah-buahan pada harga lebih murah berbanding mereka yang datang hanya untuk menikmati buah-buahan yang ada di sini,” ujarnya.

Bong menambah hamparan pemandangan indah dikelilingi kawasan berbukit di Durian Ecolodge menjadi daya penarik untuk pengunjung datang ke sana bukan sahaja untuk beristirahat dan makan buah-buahan, bahkan mereka juga berpeluang mendalami ilmu menanam serta menjaga pokok durian dengan betul bagi mendapatkan hasil yang bermutu.

“Saya dapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian mukim Tampin dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan yang memberi sokongan padu apabila saya kata mahu promosi tempat ini sebagai lokasi tumpuan untuk sektor agropelancongan.

“Saya juga merancang untuk menyediakan pakej iaitu pengunjung yang menginap akan dibawa melawat ke ladang cendawan, nangka dan kawasan sawah padi yang terletak kira-kira 15 hingga 20 kilometer dari Durian Ecolodge,” katanya lanjut. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan