Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Netflix beri amaran cabaran tutup mata 'Bird Box'

Sebelum ini tersebar cabaran-cabaran 'Ice Bucket Challenge' dan 'Tide Pod Challenge'. Kini timbul pula cabaran internet 'Bird Box Challenge' yang meniru filem popular Netflix, Bird Box yang dibintangi Sandra Bullock.

Anggaran Waktu Membaca:
Netflix beri amaran cabaran tutup mata 'Bird Box'

Dalam filem Bird Box, Sandra Bullock memainkan peranan seorang ibu yang menjaga anak-anaknya sepanjang perjalanan. (Gambar: Netflix)

Diterbitkan : 03 Jan 2019 06:29PM Dikemas Kini : 03 Jan 2019 06:49PM

AMERIKA SYARIKAT: Sebelum ini tersebar cabaran-cabaran 'Ice Bucket Challenge' dan 'Tide Pod Challenge'. Kini timbul pula cabaran internet 'Bird Box Challenge' yang meniru filem popular Netflix, Bird Box yang dibintangi Sandra Bullock.

Dalam filem tersebut, watak lakonan Bullock dan anak-anaknya melalui perjalanan ke tempat yang selamat sedang mereka cuba melarikan diri daripada satu kuasa misteri yang mendorong mangsa-mangsanya untuk membunuh diri jika mereka membuka mata dan melihatnya.

Bagi melindungi diri mereka, ketiga-tiga watak itu menutup mata mereka hampir sepanjang filem tersebut.

Netflix pada Rabu (2 Jan) mengeluarkan amaran menerusi kiriman tweetnya yang meminta orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam cabaran 'Bird Box', yang melibatkan pengguna media sosial memuat naik video dan gambar diri mereka melakukan kegiatan seharian dengan mata mereka ditutup, sama seperti yang dilakukan watak-watak dalam filem tersebut.

"Saya tidak percaya saya perlu mengatakan ini, tetapi: TOLONG JANGAN CEDERAKAN DIRI ANDA DENGAN MELAKUKAN BIRD BOX CHALLENGE," menurut tweet syarikat penstriman itu.

Satu video menunjukkan dua kanak-kanak dan bapa mereka menutup mata dengan kain lalu melakonkan semula satu babak dalam filem tersebut. Anak kecilnya akhirnya terlanggar tembok.

Satu lagi video menunjukkan seorang lelaki menutup matanya menggunakan serkup ketika sedang memandu.

Beberapa video lain turut menunjukkan para pengguna media sosial berjalan di dalam rumah dengan mata mereka ditutup kain.

Pengacara rancangan Good Morning America, Michael Strahan juga menyahut cabaran itu walaupun dengan cara yang kurang membahayakan - beliau cuba memakaikan lipstik pada pengacara bersama, Sara Haines sedang matanya ditutup dengan kain.

"Kami tidak tahu bagaimana semua ini bermula, dan kami amat menghargai sokongan anda semua, tetapi 'Boy' dan 'Girl' hanya ada satu harapan bagi 2019, iaitu anda tidak dimasukkan ke hospital akibat memes," tambah Netflix.

Bird Box, sebuah adaptasi novel karya Josh Malerman dari tahun 2014 disiarkan di merata dunia menerusi Netflix pada 21 Dis.

Menurut Netflix, Bird Box menjadi filem yang paling banyak ditonton di platformnya dalam tempoh tujuh hari sejak ia dikeluarkan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan