Images
  • kitkat file
    Gambar fail coklat KitKat.

Nestle cipta coklat KitKat berasaskan tumbuhan

REUTERS: Nestle pada Isnin (15 Feb) mengumumkan bahawa ia akan mengeluarkan versi 'vegan' coklat ikonik KitKat.

Meskipun Nestle tidak mendedahkan ramuan bagi coklat baru yang diberi nama KitKat V itu, syarikat itu menyatakan bahawa ia "tidak lama lagi akan mempunyai pilihan enak berasaskan tumbuh-tumbuhan yang menyajikan keseimbangan antara biskut nipis rangup dengan lapisan coklat lembut yang digemari ramai."

Syarikat itu sudah pun melancarkan coklat berasaskan tumbuh-tumbuhan sebagai pilihan kepada coklat tenusu yang diperbuat daripada beras, bijirin, soya, kelapa, kacang dan badam yang boleh didapati dalam aiskrim bukan tenusu, krimer kopi dan produk-produk lain buatannya

KitKat V, yang menurutnya akan dilancarkan pada lewat tahun ini di "beberapa negara", disahkan 'vegan' dan menggunakan 100 peratus koko yang diperolehi secara mampan, menurut syarikat itu.

Memandangkan produk itu masih di peringkat ujian, ia hanya dijual menerusi kedai butik KitKat Chocolatory atau online, dan menerusi beberapa peruncit terpilih.

Buat masa ini, ia dijual di Britain di mana KitKat pada asalnya dicipta di York dan juga di mana kajian bagi versi 'vegan' itu dijalankan.

Bagaimanapun ia tidak dijual di Amerika Syarikat di mana KitKat dihasilkan di bawah persetujuan pelesenanan bersama Hershey's, menurut syarikat itu.

Nestle menyatakan ia tidak akan mendedahkan butiran mengenai negara-negara lain yang menyertai pelancaran awal itu buat masa ini.

- Reuters/HA/ha

Top