Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Nasi Lemak Buluh jadi 'pelaris', cipta pengalaman unik buat pelanggan

Pelbagai idea kreatif digunakan pengusaha menu nasi lemak bagi melariskan perniagaan atau menjadikan ia lain daripada yang lain termasuk menggunakan buluh.

Anggaran Waktu Membaca:
Nasi Lemak Buluh jadi 'pelaris', cipta pengalaman unik buat pelanggan

Nasi Lemak Buluh dijual RM3 sepinggan. (Gambar: YouTube)

Diterbitkan : 20 Sep 2019 11:46PM Dikemas Kini : 21 Sep 2019 12:00AM

KUANTAN: Pelbagai idea kreatif digunakan pengusaha menu nasi lemak bagi melariskan perniagaan atau menjadikan ia lain daripada yang lain termasuk menggunakan buluh.

Bagi Encik Wan Abdullah Wan Kadir, 49, beliau mempertaruhkan jualan nasi lemaknya dengan menggunakan buluh bagi menarik pengunjung ke premis perniagaannya yang dirasakan agak tersorok di Jalan Tun Ismail di Kuantan.

Idea itu katanya timbul hasil perbincangan dengan ahli keluarga selain mengambil kira pandangan rakan dan orang ramai di laman sosial, dan setakat ini mereka menggunakan 100 keratan buluh untuk hidangan nasi lemak setiap hari sejak ia beroperasi dua bulan lepas.

"Pada hujung minggu, jumlah keratan buluh yang digunakan boleh mencecah sehingga 300. Pengalaman mengetuk nasi lemak keluar dari buluh menjadikan pengalaman menikmati juadah popular rakyat Malaysia lebih unik di sini. 

"Pelanggan juga beritahu rasa nasi lemak yang dimasak dalam buluh lebih berlemak sehingga enak walaupun dimakan begitu sahaja," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya pada Jumaat (20 Sep).

RM3 SEPINGGAN, RM1 UNTUK TAMBAH BULUH NASI

Encik Wan Abdullah yang berpengalaman selama lapan tahun dalam bidang katering berkata nasi lemak buluh dijual pada harga RM3 (S$1) sepinggan dengan bahan asas iaitu sambal bilis, kacang goreng, timun dan telur rebus. 

Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih tambahan lauk lain seperti sambal paru, ayam goreng berempah dan telur mata selain bayaran tambahan RM1 (S$0.30) dikenakan untuk tambahan satu buluh nasi. 

"Bekalan buluh diperoleh dari kenalan di Sungai Lembing kerana buluh yang kami guna adalah jenis tebal... bukan seperti yang digunakan untuk memasak lemang. 

"Buluh tebal lebih sesuai supaya tidak pecah kerana proses memasak nasi lemak ini mengambil masa yang lama, selain boleh dibasuh untuk digunakan semula," katanya. 

Encik Wan Abdullah berkata proses memasak nasi lemak buluh bermula jam 3.00 petang hari sebelumnya kerana beras perlu direndam semalaman sebelum dikukus kali pertama dan digaul dengan santan segar sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk dikukus kali kedua. 

Proses penyediaan sambal juga turut mengambil masa kerana dimasak menggunakan api kecil antara lima ke enam jam untuk menjadikan rasanya lebih enak dan tahan lama. 

"Walaupun renyah, saya seronok melihat pelanggan berpuas hati dengan rasanya. Malah, ada yang menyatakan harga saya agak murah namun kami berpandangan ini adalah cara untuk kami bersedekah," katanya. 

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan