Images
  • muskmelon main pic
    Tembikai 'muskmelon' di Kebun Mono di Putrajaya, Malaysia. (Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

Muzik dan urut: Pekebun Malaysia ini temui rahsia tanam tembikai termahal di dunia

PUTRAJAYA: Selepas lebih sedekad membuat uji kaji, tiga pekebun Malaysia ini mengatakan mereka sudah pun menemui campuran nutrien dan teknik rawatan tepat untuk menanam tembikai muskmelon Jepun, yang dianggap salah satu buah paling mahal di dunia.

Para pekebun di syarikat tempatan Mono Premium Melon sering mengusap tembikai itu dengan kain lembut atau sarung tangan, satu amalan yang dipanggil "tama-fuki" dalam bahasa Jepun, yang dikatakan dapat meningkatkan rasanya. Mereka juga memainkan muzik klasik menggunakan pembesar suara dalam rumah tanaman hijau tembikai itu yang dikatakan dapat merangsang pertumbuhan.


(Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

"Setiap tembikai Jepun yang anda lihat dalam ladang kami ini seakan-akan seperti karya seni," kata Encik Seh Cheng Siang, pengarah dan pengasas bersama Mono, di ladang syarikat tersebut di Putrajaya.

Sejak abad yang lalu, pekebun di Jepun sudah pun memperhalusi seni menanam muskmelon, yang dihargai kerana rasa dan bentuknya yang bulat. Ia juga hanya dijual di kedai-kedai barangan mewah.

Salah satu cabaran menghasilkan buah-buahan yang setara dengan tembikai di Jepun, ialah pemilihan jenis yang sesuai untuk cuaca panas dan lembap di Malaysia, yang jauh berbeza dengan cuaca yang lebih sederhana di Jepun.

"Kami harus memastikan pengurusan nutrien dan air serta bajanya semua dilakukan secara konsisten dan teliti," kata Encik Seh, sambil menambah bahawa mereka cuba menanam lebih 10 jenis tembikai, sebelum menemui yang sesuai mengikut cuaca tropika dan ketahanan terhadap penyakit.

Selepas membawa benih muskmelon dari Jepun, para pekebun itu berkunjung ke merata negara itu untuk mempelajari cara-cara menanamnya dan cuba menyesuaikannya di Malaysia.


(Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

Di sebalik cabaran-cabaran yang dihadapi, hasilnya yang pertama sebanyak 200 biji tembikai Jepun muskmelon laris dijual, menerusi penjualan online.

“Kami mempunyai jumlah terhad dengan 200 biji tembikai Jepun ini yang ditanam dengan penuh teliti. Kami hanya memilih yang paling berkualiti saja untuk dipasarkan,” katanya.

Tembikai-tembikai tersebut dijual dengan harga RM168 (S$54) sebiji, sekitar pertiga daripada harga jualan di Jepun.

"Agak menarik sekali sebagai seorang rakyat Malaysia, kami dapat tahu bahawa tembikai gred Jepun boleh ditanam di Malaysia," kata Cik Elaine Chow, seorang pelanggan yang menghadiri satu acara di ladang tembikai di Putrajaya itu, baru-baru ini. 

- Reuters/NJ/nj

Top