Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Muslim belanjakan S$1 bilion bagi makanan halal di S'pura pada 2019

Nilai perbelanjaan bagi penghantaran makanan halal dan makan luar di kedai atau restoran halal di Singapura dianggarkan bernilai S$1 bilion pada tahun 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Muslim belanjakan S$1 bilion bagi makanan halal di S'pura pada 2019

Makanan halal di Singapura. (Gambar fail)

SINGAPURA: Nilai perbelanjaan bagi penghantaran makanan halal dan makan luar di kedai atau restoran halal di Singapura dianggarkan bernilai S$1 bilion pada tahun 2019.

Daripada jumlah itu, masyarakat Islam di Singapura dianggarkan mengeluarkan sejumlah S$700 juta manakala pelancong Muslim yang ke Singapura pula membelanjakan sekitar S$300 juta di sini bagi perbelanjaan tersebut.

Demikian menurut laporan kajian terkini dari agensi penilaian dan konsultansi halal, CrescentRating berhubung Gaya Hidup Makanan Halal Singapura 2021, yang dikeluarkan pada Rabu (3 Mac).

Buat masa ini, meskipun pertumbuhan industri makanan halal dicabar oleh pandemik COVID-19, potensi pasaran halal domestik jangka pertengahan kekal baik, menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CresentRating dan HalalTrip, Encik Fazal Bahardeen.

Tinjauan ke atas 500 responden serta pakar-pakar dan akademik makanan halal.

GOLONGAN MILENIAL PALING BANYAK MENYUMBANG

Golongan milenial Muslim tempatan (1981-1996) adalah pemacu utama bagi perbelanjaan makanan halal itu. Golongan itu membentuk 24 peratus daripada bilangan penduduk Muslim Singapura dengan perbelanjaan tahunan per kapita sebanyak S$1,177, menurut laporan itu yang dihasilkan dengan kerjasama Mastercard.

(Gambar: Firdaus Suhaimi)

Generasi X (1965-1980), yang membentuk 19 peratus bilangan penduduk Muslim tempatan, pula berada di tempat kedua dengan perbelanjaan makan luar per kapita sebanyak S$1,214.

HIDANGAN BUKAN ASIA KURANG DITAWARKAN

Walaupun kebanyakan responden bersetuju wujud pilihan luas makanan halal di Singapura, lebih 39 peratus responden menyatakan hidangan-hidangan 'bukan Asia' kurang ditawarkan sebagai pilihan halal.

Kategori makanan Perancis (disebut 43.8% responden), Mexico (40.8%), Yunani (40.6%) dan Sepanyol (39.3%) yang halal disebut dalam senarai empat jenis makanan yang dikatakan kurang ditawarkan di sini.

Beberapa faktor bagaimanapun mungkin menjadi sebab ia kurang ditawarkan.

Antaranya ialah tidak cukup cef yang berpengetahuan dalam mencari bahan gantian yang halal, harga yang mahal meskipun alternatif sudah tersedia, kepayahan menggantikan alkohol atau bahan tidak halal tetapi masih mengekalkan rasa asal hidangan serta kurang permintaan daripada masyarakat Islam bagi hidangan tertentu.

HARGA SEBAGAI FAKTOR UTAMA

Dalam laporan yang cukup meluas dalam pelbagai bidang itu, Encik Fazal menarik perhatian bahawa faktor harga makanan terus menjadi keutamaan dalam mempengaruhi keputusan untuk perbelanjaan.

Kebanyakan (55.3%) daripada 500 responden itu bersedia membayar antara S$6 hingga S$10 bagi satu hidangan makanan. Perangkaan itu konsisten bagi demografik dan golongan pendapatan berbeza.

Hampir 24 peratus responden pula - bilangan kedua terbanyak - bersedia membayar S$11 hingga S$20 bagi satu-satu hidangan. Hanya 3.6 peratus responden sanggup mengeluarkan lebih daripada S$50 untuk satu hidangan semasa makan luar.

Dapatan ini menunjukkan bahawa majoriti rakyat Singapura prihatin tentang harga. walaupun bagi Muslim Singapura yang mempunyai kuasa membeli lebih tinggi, menurut laporan itu.

Namun demikian, laporan itu mendapati pertimbangan tahap nutrisi masih kurang diutamakan berbanding harga, keaslian dan tuntutan diet.

LEBIH 50% GUNAKAN MEDIA SOSIAL

Lebih 50 peratus daripada responden-responden itu juga menyatakan mereka memperolehi maklumat mengenai makanan baru halal di Singapura menerusi media sosial (88%), blog makanan (62%) dan saranan daripada keluarga dan rakan-rakan (53%).

Daripada pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman dan pandangan merea di WhatsApp, Facebook dan Instagram, kebanyakan mereka berusia antara 25 hingga 34 tahun.

Buat masa ini juga, banyak kedai dan restoran halal di Singapura bergantung kepada platform-platform tersebut bagi melancarkan menu baru, tawaran atau berhubung dengan pelanggan sedia ada mereka.

Yang penting, dengan kebanyakan rakyat Singapura mempunyai akses online dan lebih 79 peratus di media sosial, saluran-saluran online itu akan terus memainkan peranan penting bagi menyokong perkembangan sektor makanan halal di Singapura.

MANFAATKAN PENGHANTARAN MAKANAN SEMINGGU SEKALI

Hampir separuh responden juga menggunakan khidmat penghantaran makanan sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Gambar fail penghantar makanan GrabFood. (Gambar: Jeremy Long)

Selain menggunakan Grab dan Foodpanda yang mewakili platform e-dagang yang merangkumkan jenama makanan pihak ketiga, ia juga sering melanggan aplikasi penghantaran McDonald's.

Platform penghantaran makanan yang paling digunakan pula terdiri daripada Grab (84.2%), Foodpanda (62.4%), McDonald's (38.6%), Pizza Hut (22.8%) dan Domino's Pizza (16.0%).

LEBIH 2 PERTIGA TIDAK LANGGAN KEDAI 'NO PORK NO LARD'

Apakah pelanggan Muslim melanggani kedai atau restoran yang menggunakan label 'No Pork No Lard' (tiada babi tiada minyak babi)?

Menurut laporan itu 2.9 peratus responden 'selalu' dan 16.8 peratus kadangkala melanggani restoran yang ada label sedemikian.

Sebahagian besar responden (53.6%) menyatakan mereka 'tidak pernah' melanggan kedai atau restoran yang menggunakan label 'No Pork No Lard' (tiada babi tiada minyak babi), manakala hampir suku (23.3%) mereka 'jarang-jarang' makan di tempat makan sebegitu.

Para responden berasa bahawa kedai atau restoran yang memilih 'No Pork No Lard' mungkin lebih mengutamakan keuntungan berbanding keperluan pengguna muslim, menurut laporan itu lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan