Images
  • musang king
    Durian Musang King.

Musim durian hampir berakhir?

GEORGE TOWN: Jika anda seorang penggemar buah durian, ini bukan berita yang menggembirakan.

Ini kerana Jabatan Pertanian Pulau Pinang meramalkan musim raja buah itu bagi pertengahan tahun akan habis antara tujuh hingga 10 hari sahaja lagi.

"Kebanyakan durian yang diklon semuanya telah gugur dari pokok dan hanya D15 masih masak di pokok," kata pegawai pertanian, Ahmad Razali Abdul Razak, seperti dipetik laporan The Star hari ini (5 Jul).

Meskipun orang ramai masih boleh menikmati beberapa jenis durian klon yang lain, Encik Ahmad Razali berkata mutu durian sudah mula menurun kerana nutrien pokok sedang menghasilkan batang-batang untuk musim seterusnya.

Beliau menyifatkan musim durian pertengahan tahun ini sebagai paling singkat, menurut laporan The Star.

"Tahun lepas adalah salah satu musim yang paling lama. Pada sebatang pokok, walaupun sebelahnya sudah berbuah, sebelah lagi masih sedang berbunga. Musim durian tahun lepas seolah-olah tidak berehat antara pertengahan dan akhir tahun ini," tambahnya.

Bagaimanapun, Encik Ahmad Razali berkata musim durian bergantung kepada lokasi kebun. Namun, beliau menjangkakan perbezaan pada waktu buah gugur di kebun-kebun berlainan mungkin hanya sekitar seminggu sahaja.

Sementara itu, The Star memetik pengendali gerai Durian Hin, Ang Hock Beng, sebagai berkata bahawa musim puncak durian di Pulau Pinang dijangka berakhir bulan depan.

"Jumlah durian yang dikeluarkan akan mula berkurang dari sekarang hingga Ogos apabila musim berakhir. Ini adalah musim berbuah kedua, jadi lebih sedikit durian akan dihasilkan.

"Kumpulan pertama dihasilkan tiga minggu lalu yang merupakan puncak musim durian," katanya.  

- Agensi berita/AI/ai

Top