Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Muhaimin Harun, Syed Raizal antara 'buskers' projek rintis NAC

Projek NAC itu bermatlamat untuk menyambung semula kegiatan 'busking' di merata negara sedang Singapura membuka semula ekonomi dan kegiatan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Muhaimin Harun, Syed Raizal antara 'buskers' projek rintis NAC

Muhaimin Harun semasa 'busking' dalam projek rintis NAC. (Gambar: NAC)

SINGAPURA: Ada yang menganggap mereka sebagai pengemis manakala ada juga yang merasakan kehadiran mereka untuk berkarya dan menghibur seperti "menyemak".

Namun begitu, tanggapan sedemikian yang dilontarkan segelintir masyarakat tidak sekali-kali mematahkan semangat Muhd Muhaimin Harun dan Syed Raizal Al-Edrus untuk terus menjadi seniman jalanan atau dalam bahasa Inggeris, 'buskers'.

Mereka berdua merupakan antara sekitar 50 seniman jalanan yang terlibat dalam projek rintis Majlis Seni Kebangsaan (NAC) baru-baru ini.

Projek NAC itu bermatlamat untuk menyambung semula kegiatan 'busking' di merata negara sedang Singapura membuka semula ekonomi dan kegiatan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

INGIN SEBAR SEMANGAT POSITIF

Muhaimin Harun semasa 'busking' dalam projek rintis NAC. (Gambar: NAC)

Bagi Muhaimin, 23, menjadi seorang seniman jalanan menjangkaui usaha setakat memburu minat beliau terhadap bidang seni saja.

"Ia adalah campuran mencari rezeki dan menyebarkan semangat positif kepada mereka di sekeliling saya. Saya rasa seronok dapat menghiburkan orang dan benar-benar menikmati reaksi mereka melihat tarian saya," katanya yang sudah menceburi bidang tarian sejak usia muda lagi.

Malah Muhaimin pernah tersenarai dalam peraduan uji bakat popular Asia Got Talent dan pada tahun ini sendiri, beliau menduduki tempat kedua dalam kategori Semua/Terbuka Singapore Got Talent.

"Ada kalanya kehidupan ini seperti rutin dan menjadi satu kebiasaan, jadi saya gemar berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali dan membuat mereka tersenyum," tambah beliau yang sudah dua tahun menjadi seniman jalanan.

Walau bagaimanapun, seperti pelajar lain minat Muhaimin mempunyai cabarannya yang tersendiri seperti perlu bijak mengatur masa.

Muhaimin adalah seorang pelajar di Kolej Tengah ITE dalam jurusan penerbitan persembahan dan sudah berjaya mendapat tempat di Politeknik Republik bagi kursus Diploma Seni Sonik.

Selain itu, beliau juga perlu bijak menangkis tanggapan negatif segelintir masyarakat seperti peruncit dan penduduk yang merasakan beliau "menyemak di kawasan berkenaan".

Beliau berkata: "Banyak juga usaha perlu dilakukan bagi membuat penyesuaian dan menjadi lebih fleksibel seperti tidak bermain muzik dengan kuat dan mencari ruang alternatif supaya tidak menceroboh ruang orang lain."

Sungguhpun demikian, beliau percaya bahawa pada jangka panjang persepsi orang ramai terhadap seniman jalanan seperti dirinya akan berubah.

"Dengan harapan saya untuk mendapatkan lebih penghargaan daripada orang awam, saya juga berharap 'buskers' diberi lebih banyak ruang khusus untuk membuat persembahan.

"Jadi kami dapat terus melakukan apa yang kami minati tanpa menjejas kebahagiaan orang lain," katanya.

'BUSKING' BERI PELUANG UNTUK BERAMAL

Bagi Syed Raizal pula, menjadi seniman jalanan membolehkannya untuk terus bermain muzik seperti dahulu meskipun sudah mempunyai pekerjaan tetap dan berkeluarga.

Suami dan bapa kepada tiga orang anak itu turut meluahkan rasa syukur kerana keluarganya tidak putus-putus menyokong usahanya menjadi ahli muzik sehingga ke hari ini.

"Saya sudah menjadi ahli muzik agak lama. Kehidupan mungkin berubah sekarang tetapi minat terhadap muzik itu terus berkekalan. Pada masa yang sama, ada kalanya saya dapat peluang untuk membuat kerja amal dengan bersedekah apa yang saya dapat pada hari itu," kongsi Raizal, 45 tahun.

Perkongsian Raizal itu membawa ironi memandangkan ada sesetengah generasi lebih tua menyifatkan seniman jalanan seperti pengemis, katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan mereka kerana hanya pada masa kini landskap seniman jalanan lebih berstruktur dan disertai ramai anak muda yang berbakat.

Lantaran itulah, beliau tidak dapat melupakan interaksi menarik beliau semasa menemui seorang warga tua yang menonton persembahannya.

"Ada satu kali itu, saya perlu mengejar seorang makcik tua yang memberi saya S$10. Saya pulangkan duit itu kepadanya kerana saya rasa beliau memerlukannya lebih daripada saya dan beliau terlalu baik," kata Raizal.

Pengalaman sedemikian membuat Raizal percaya menjadi seniman jalanan adalah mengenai pengalaman beremosi dan perlu untuk para seniman jalanan terus memperbaiki persembahan dan karya masing-masing agar lebih dihargai.

Dalam pada itu, NAC menyatakan projek rintis tersebut akan disemak dan dipantau sebelum rancangan masa depan dikongsikan.

"Kami akan memantau dan menyemak semula hasilnya dan mengalu-alukan permulaan semula bertahap-tahap kegiatan 'busking' di jalanan Singapura agar dapat dihidupkan dengan kesenian sekali lagi," kata Pengarah Kanan (Pendampingan dan Penyertaan) NAC Elaine Ng.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan