Images
  • baby generic
    (Gambar hiasan: Janko Ferlič/Unsplash)

Mohammed nama bayi lelaki paling popular di Berlin pada 2018

JERMAN: Nama 'Mohammed' adalah nama paling popular bagi bayi lelaki pada tahun lalu, menurut laporan akhbar Daily Mail.

Persatuan Bahasa Jerman mendedahkan nama 'Mohammed' adalah antara 10 nama paling popular di enam daripada 16 wilayah di negara itu.

Perangkaan 2018 turut menunjukkan selain Berlin, ia juga hampir mendahului senarai nama paling popular di Hamburg, North Rhine-Westphalia, Saarland dan Hesse.

Namun secara keseluruhannya, ia adalah nama paling popular ke-24 di Jerman setelah mengambil kira pelbagai ejaan nama itu dan digunakan sebagai nama tengah.

Di Berlin, nama 'Mohammed' melompat dari tangga keenam ke tangga pertama sebagai nama paling popular bagi bayi lelaki, mendahului nama 'Louis' dan 'Emil'.

Akhbar Daily Mail menukil Pengarah Urusan Persatuan Bahasa Jerman, Andrea Ewels, sebagai berkata nama 'Mohammed' semakin menjadi nama pilihan bagi bayi lelaki disebabkan oleh 'peningkatan pada bilangan pendatang asing ke negara itu'.

Pada tahun lalu, Cik Ewels berkata nama 'Mohammed' mungkin tersenarai antara 10 nama paling popular bagi bayi lelaki di negara itu menjelang 2021 atau 2022.

Lebih sejuta pendatang asing dari Timur Tengah dan Afrika Utara memasuki Jerman sejak Canselor Angela Merkel membuka pintu negara itu kepada golongan tersebut pada 2015.

Sementara itu, nama 'Ben' adalah nama paling popular bagi bayi lelaki manakala 'Emma' menjadi nama pilihan bagi bayi perempuan.

Paul, Leon, Noah dan Louis atau Luis adalah antara nama paling popular bagi lelaki, disusuli dengan Jonas, Elias, Henry atau Henri, Felix serta Lukas atau Lucas.

Bagi bayi perempuan pula, Hanna atau Hannah merupakan nama kedua paling popular, disusuli dengan Mia, Sophia atau Sofia dan Emilia.

Para pakar bahasa berkata ibu bapa di bahagian utara dan timur Jerman lebih berkemungkinan memilih nama-nama daripada generasi 'datuk nenek' mereka.

Ini termasuk nama-nama seperti Mathilda, Frieda, Ida dan Greta bagi bayi perempuan, serta Karl, Oskar, Anton, Jakob dan Theo bagi bayi lelaki.

Lebih 65,000 nama bayi direkodkan bagi kajian tersebut, lapor Daily Mail.  

- Agensi berita/AI/ai

Top