Images
  • partea
    (Gambar: Partea)

Minuman percuma bagi semua pengguna Huawei di S'pura

SINGAPURA: Jika anda masih menggunakan telefon bijak berjenama Huawei di Singapura, syabas! Ini kerana bermula Jumaat ini (5 Jul), syarikat tersebut ingin 'belanja' anda minuman atas sokongan anda.

Bermula Jumaat hingga Ahad (7 Jul), semua pengguna telefon Huawei boleh menerima minuman percuma di cawangan kedai Partea.

Promosi serupa juga berlangsung minggu depan - 12 hingga 14 Julai - bermula 11.00 pagi hingga 2.00 petang.

Anda hanya perlu menunjukkan telefon bijak Huawei anda di kaunter cawangan Partea yang mengambil bahagian dan mendaftar sebagai seorang ahli Partea untuk mendapatkan minuman percuma pilihan anda.

Minuman percuma ini ditawarkan di kesemua cawangan Partea kecuali di Orchard Plaza. Cawangan-cawangan di Downtown Gallery dan Clifford Centre pula tidak akan mengagihkan minuman percuma pada Sabtu dan Ahad.

Para pelanggan boleh memilih salah satu daripada 30 minuman dalam menu Partea, terhad kepada satu minuman percuma setiap pelanggan sehari, dan bagi 300 pelanggan pertama di setiap cawangan.

Mei lalu, Amerika Syarikat mengeluarkan arahan yang menyekat syarikat-syarikat di negara itu, termasuk Google, daripada bekerjasama dengan Huawei atas sebab-sebab keselamatan. Ini menyebabkan ketidaktentuan bagi syarikat pengeluar telefon bijak itu.

Namun pada hujung Jun di luar Sidang Puncak G20, AFP melaporkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberitahu para wartawan bahawa syarikat-syarikat di negaranya "boleh menjual peralatan kepada Huawei", membayangkan negara itu mungkin mengambil pendirian lebih lembut terhadap syarikat China itu.

- CNA/Agensi berita/TQ/tq

Top